Oleh Ummu Natasya

 

Usaha Akhir Umno Mencari Sokongan  

 

HARI ini, Umno sedang berhempas pulas mahu meminda perlembagaannya. Tujuannya hanya satu, menarik semula minat orang Melayu kepada Umno yang nyata sudah tidak menjadi parti tulang belakang kepada Barisan Nasional sekarang.

Apakah dengan meminda beberapa fasal dalam perlembagaannya, minat orang-orang Melayu akan datang semula kepada parti itu?

Apakah dengan merubah cara pemilihan Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden dan Majlis Tertinggi akan mampu menarik minat orang Melayu menjadi ahli Umno kembali?

Umno nyata sudah hilang pedoman. Pindaan Perlembagaan parti itu sebenarnya hanya usaha mencari semula sisa-sisa sokongan yang semakin meleset. Umno kini sudah tidak nampak jalan lain, selain meminda perlembagaan untuk mencari sokongan.

Yang pasti, golongan muda mahukan Islam sebagai tonggak. Selagi Umno bermain dengan semangat kebangsaan dan sekularnya, selama itulah generasi muda akan menjauhkan diri dari parti yang sudah mencatat rekod memerintah sesebuah negara dalam satu tempoh cukup lama.

Tetapi, kesilapan demi kesilapan yang mereka lakukan menyebabkan hilang minat orang-orang Melayu untuk terus kekal di dalamnya.

Jika dulu, anak-anak muda menyokong Umno kerana mahu berkongsi idealisme dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Tetapi, hari ini bila mereka melihat Dato’ Seri Anwar pun tersingkir… maka mereka beramai-ramai mengarahkan sokongan kepada Barisan Alternatif yang diketuai PAS dan kawan-kawan yang lain, keADILan, DAP dan PRM.

Lebih malang, generasi tahun 1946, tahun kelahiran Umno juga sudah mula meninggalkan Umno kerana mereka menyaksikan sendiri parti ini bukan untuk perjuangan orang Melayu, sebaliknya mengayakan beberapa orang yang memegang jawatan di dalamnya.

Kekayaan yang mereka miliki ditunjuk-tunjuk dan ditayang-tayang. Mereka tidak ingat dunia langsung. Setiap seorang wakil rakyat, memiliki sekurang-kurang lima atau lebih buah kereta mewah.

Contoh paling ketara Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang pernah dihina oleh Dr. Mahathir Mohamad. Dia memiliki berbelas-belas buah kereta mewah. Dia juga memiliki motorsikar bersaiz besar, lebih dari dua buah. Kemewahannya itu menyebabkan dia sanggup berlakon mengatakan apa yang dikatakan selama ini adalah diminta oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim. “Anwar yang suruh saya cakap,” Zahid dipetik sebagai berkata.

Dulu, ketika menang Ahli MT Umno dalam pemilihan 11 Mei 2000, Zahid mahu menjadi jambatan kepada kawan-kawan di dalam parti pembangkang supaya kembali ke pangkuan Umno.

Namun, hari ini Zahid menjadi orang yang sedang mengumpul kekayaan demi kekayaan dengan kedudukan istimewanya dalam Umno dan khabarnya menjadi kawan rapat Tun Daim Zainuddin, yang terlibat secara serius menjatuhkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Wahai semua kawan-kawan yang masih ada sedikit rasa bersimpati kepada Dato’ Seri Anwar, isteri dan anak-anaknya, marilah kita perbaharui tekad untuk mengajar Umno dan Barisan Nasional pada bila-bila masa sahaja, sama ada dalam pilihan raya kecil mahu pun pilihan raya umum. (3)