Oleh UMMU NATASYA

 

Umno Hanya Untuk Dr. Mahathir

 

JIKA Perhimpunan Agung Khas Umno yang dijadualkan 18 November 2000 akan datang bersetuju dengan cadangan pindaan hanya memilih MT setiap lima tahun sekali, bermakna ahli-ahli terperangkap dengan cadangan Dr. Mahathir Mohamad mengenai perkara ini.

Dr. Mahathir yang mencadangkan perkara ini kerana dia dikatakan akan ditentang di Kubang Pasu dan dengan mengadakan pemilihan sekali selepas pilihan raya, akan menyelamatkan kedudukannya.

Walaupun pindaan kali ini dikatakan mengutip dan mengumpul pandangan dari ahli di peringkat bawahan, hakikat sebenarnya hanya suara seorang dua pemimpin atasan yang dipakai.

Umno sedaya upaya mencari nyawa baru selepas gagal menjadi parti tulang belakang Barisan Nasional (BN) selepas pilihan raya umum lalu. Pindaan perlembagaan kononnya menjadi salah satu strategi untuk menarik minat orang-orang Melayu kembali menyokong Umno.

Naib Presiden Umno, Najib Tun Razak dikatakan tidak berminat untuk “membenarkan” pertandingan di peringkat bahagian tahun depan manakala Timbalan Presiden Umno, Abdullah Badawi dikatakan mahu pertandingan diteruskan.

Abdullah percaya, ketua-ketua bahagian sebahagian besar adalah bekas penyokong bekas Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang kini sudah beralih arah sokongan kepada Najib.

Manakala Najib yakin sebahagian besar Ketua Umno Bahagian sekarang “adalah orang-orangnya” yang sudah bersiap sedia untuk “menurunkan” Abdullah bila Dr. Mahathir sudah tidak ada.

Abdullah dikatakan bersetuju dengan penubuhan Puteri Umno kerana Rafidah Aziz dikatakan tidak menyokongnnya manakala Najib pula dikatakan tidak bersetuju Puteri Umno kerana Rafidah boleh memberi kelebihan kepadanya jika bertanding menentang Abdullah.

Segala pindaan Perlembagaan Umno dikatakan “menjaga hati Dr. Mahathir” dan tiada satu pun pindaan yang bakal dibuat berdasarkan kepentingan ahli-ahli yang didakwa berjumlah 2.3 juta.

Ini memberi makna, Umno sebenarnya dikuasai oleh Dr. Mahathir dan hanya dipinda jika dengan persetujuannya dan tidak ada pindaan yang boleh “menjejaskan” kedudukannya sebagai Presiden Umno dan Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu.

Tiada suara bawahan yang boleh diketengahkan kerana Umno dipenuhi mereka yang takut dengan kuasa dan tekanan dari Dr. Mahathir Mohamad.

Akhirnya, Dr. Mahathir meninggalkan Umno dalam keadaan Umno tinggal nyawa-nyawa ikan dan akan dimatikan dengan pertembungan pengaruh Tengku Razaleigh, Abdullah Badawi dan Najib Tun Razak.

Waktu itu, Dr. Mahathir akan berkata; “Tanpa saya tiada siapa dapat menjaga Umno dengan baik.”

 

habis