Umno Kehilangan Orang Muda

Dari MAT DESPATCH (Terima Kasih)

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika berucap merasmikan Persidangan Pemuda dan Wanita telah bercakap jujur apabila mengaku bahawa Umno sekarang kekurangan orang muda. Lantas beliau menyeru veteren Umno supaya mendekati anak-anak muda bagi menyertai parti itu.

Fenomena Umno kehilangan orang-orang muda belum dapat dipastikan sama ada gejala seketika atau berkekalan. Tetapi persoalannya kenapakah anak-anak muda sekarang menjauhi Umno? Tidak seperti pada tahun 80-an dan awal 90-an di mana begitu ramai anak-anak muda termasuk golongan profesional dan intelektual menyertai Umno. Adakah secara kebetulan atau ada kaitannya dengan kehadiran Anwar Ibrahim di dalam Umno sejak tahun 1982 apabila dijemput oleh Dr Mahathir Mohamad?

Ketika Anwar berada di dalam Umno dan kerajaan selama 16 tahun, ABIM juga kelihatan berada di pinggir-pinggir Umno. JIM juga berada dalam jarak yang dekat dengan Umno. Para pemimpin ABIM dan JIM yang rapat dengan Anwar telah menyertai Umno secara langsung atau menjadi pemikir dan aktivis di luar tetapi bersimpati dengan Umno. Ketika Anwar menjadi pemimpin penting Umno, parti itu telah dibanjiri dengan ramai golongan cerdik pandai, doktor, jurutera, peguam, akauntan, ahli ekonomi, ahli akademik dan pemegang-pemegang ijazah Phd. Mereka kemudian memegang pelbagai jawatan di dalam Umno, kerajaan dan badan-badan yang berkaitan dengan kerajaan secara langsung atau sebaliknya.

Pemuda Umno juga begitu rancak dan aktif dengan idealismenya, terutama ketika Anwar dan Ahmad Zahid Hamidi memimpin pergerakan itu. Mereka berdua ini dilihat memahami denyut nadi anak-anak muda dan golongan terpelajar. Kedua-dua mereka tumbuh dalam latarbelakang perjuangan generasi pelajar tahun 70-an. Tetapi apabila Anwar Ibrahim dipecat dan ditahan serta dipenjarakan, maka sebahagian daripada dahan Umno telah serkah dan patah. Dahan yang serkah dan patah itu ialah dahan tempat anak-anak muda berpaut. Kini anak-anak muda itu menjauhi Umno.

Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapannya itu juga berasa kesal kerana anak-anak muda Melayu yang berjaya kerana DEB yang dipelopori Umno kini menentang Umno pula. Bakal Timbalan Presiden Umno itu perlu memahami bahawa bukan anak-anak muda yang berpelajaran itu tidak mengenang budi Umno. Sebaliknya mereka menolak perbuatan zalim dan tidak adil yang dilakukan oleh Mahathir. Orang-orang seperti Abdullah Ahmad Badawi dan lain-lain kelihatan tidak berbuat sesuatu untuk mencegah segala perbuatan zalim dan tidak adil yang dilakukan ke atas Anwar Ibrahim.

Bagi anak-anak muda yang mempunyai idealisme dan cita rasa politik madani, mereka tidak dapat menerima politik kuku besi dan politik autokrasi. Agenda zaman sekarang ialah agenda demokrasi, keadilan sosial, dan hak asasi manusia. Sedangkan Umno di bawah Mahathir kelihatan beku, dipimpin secara keras dan menindas, tidak ada reformasi dan tidak ada demokrasi. Kelemahan Umno ini ditambah lagi dengan gejala rasuah dan politik wang yang membiak cepat sebagai ketumbuhan.

Abdullah Ahmad Badawi telah nampak masalah besar yang sedang dihadapi oleh Umno. Apa jadi pada Umno kalau kegersangan anak muda ini terus mengering-kontangkan parti itu dengan kekurangan “darah baru”? Jawapannya Umno akan menjadi seperti Parti Kongres India. Lebih 40 tahun berkuasa sejak Kemerdekaan. Kemudian tumbang. Dari Jewaharal Nehru, kemudian Parti Kongres diwarisi kepada anaknya Indira Ghandi. Selepas itu turun pula kepada cucunya Rajiv Ghandi. Kemudian kepimpinan parti itu diwariskan pula kepada Sonia Ghandi, isteri Rajiv. Jadilah parti pengasas Kemerdekaan India itu sebuah parti dinasti. Parti politik anak beranak. Dalam Umno pun itu gejala seperti itu sudah nampak. Siapa yang berada di galeri Umno waktu kini? Mereka ialah Najib anak Tun Razak. Hishamuddin anak Tun Hussein. Najib dan Hishamuddin pula saudara sepupu. Kelihatan juga Syed Hamid anak Syed Albar. Yang masih tersembunyi, Mokhzani, anak Mahathir sendiri.

Hakikatnya, Umno sedang menghadapi saingan dari Pas, Parti Keadilan Nasional dan juga PRM. Tiga parti berasaskan sokongan Melayu di dalam Barisan Alternatif ini sekarang menjadi tempat anak-anak muda berkampung. Sebab parti-parti ini dilihat mempunyai idealisme dan dasar perjuangan yang lebih mantap berbanding Umno.

Abdullah Ahmad Badawi akhirnya menyeru orang-orang Umno supaya memenangi hati anak-anak muda itu dengan tutur bahasa dan sopan santun adab Melayu. Bakal Timbalan Presiden Umno itu mungkinlah saki baki yang masih ada dalam Umno yang tutur bahasa dan sopan santun mereka mengikut resam adab Melayu. Tetapi sahsiah pemimpin-pemimpin Umno seperti Adnan Yaakob yang bertangan lucah dan Sanusi Junid yang cepat naik darah, tentu sekali bercanggah dengan selera anak-anak muda kini yang juga mementingkan budi pekerti.