"KEBERANIAN JATI DIRI PEMUDA"

UCAPAN MOHAMAD EZAM MOHD NOR
(KETUA  PEMUDA, PARTI KEADILAN NASIONAL)
DI KONVENSYEN PEMUDA KEADILAN 2000
PARTI KEADILAN NASIONAL
15 JUN 2000
DI WISMA UNGKU AZIZ, KELANA JAYA, SELANGOR DE.


Saya ingin mengucapkan dan mengalu-alukan kehadiran saudara-saudara sekalian di Konvensyen Pemuda KeADILan tahun 2000. Perhimpunan ini diadakan hanya beberapa hari setelah kita selesai mencurahkan keringat kita dalam pilihanraya kecil Parlimen Telok Kemang.  Di dalam pilihanraya tersebut kita menyaksikan bagaimana Parti KeADILan Nasional terus hidup sebagai sebuah parti yang terus maju dan berkembang.  Terdapat desas-desus dan cubaan yang mengatakan kononnya Parti KeADILan Nasional lesu selepas pilihanraya umum tahun lalu.  Ada juga pihak yang mempertikaikan daya tahan  KeADILan untuk terus berjuang dalam arena politik. Keputusan pilihanraya kecil Telok Kemang menyanggah segala dakwaan tersebut.  Jelas terbukti bahawa parti kita akan terus hidup bahkan akan terus berkembang dengan pesat sebagai satu kekuatan dalam arena politik nasional.

Kita bukan sebuah parti kecil, kita bukan sebuah parti serpihan tetapi kemunculan Parti KeADILan Nasional adalah hasil daripada gelombang kesedaran rakyat.  Apa yang disaksikan pada hari ini hanyalah secebis daripada potensi besar yang ada pada KeADILan. KeADILan adalah gelombang masa depan, gelombang generasi muda dan kekuatan sepenuhnya parti akan disaksikan beberapa tahun mendatang.  Kita telah menyaksikan bagaimana Barisan Nasional menggunakan propaganda murahan untuk menggambarkan seolah-olah wujudnya krisis dalaman di dalam parti kita. Khususnya Pemuda KeADILan.  Maka di sini saya ingin memberi sedikit nasihat kepada budak-budak suruhan Barisan Nasional yang memalu gendang propaganda tersebut -  serangan tersebut sedikit pun tidak mencalarkan Pemuda KeADILan.  Sebaliknya yang menjadi mangsa kepada propaganda tersebut ialah mereka yang merelakan diri untuk menjadi alat propaganda dan fitnah Barisan Nasional - para editor dan media massa perdana milik pemerintah.  Mereka inilah yang akan menjadi bahan ketawa rakyat kerana menyebarkan berita-berita buruk dan karut ciptaan mereka sendiri.  Pemerintah yang gelabah dan pengupah kepada budak-budak suruhan ini juga tidak akan terlepas daripada momokan dan ejekan rakyat.

Saya ingin mengucapkan setinggi terima kasih kepada semua tenaga pemuda yang telah berhempas pulas untuk meningkatkan sokongan rakyat di Telok Kemang. Telok Kemang menegaskan bahawa Parti KeADILan Nasional merupakan sebuah parti berbilang kaum.  Ahli-ahli kita yang terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan juga India berganding bahu sebagai satu pasukan dengan sokongan rakan-rakan di dalam Barisan Alternatif.  Sebaliknya yang terus terperangkap dalam politik perkauman adalah Barisan Nasional.  Di Telok Kemang kita melihat UMNO, MCA, MIC mengadakan bilik gerakan yang berasingan.  Bilik gerakan UMNO dipenuhi oleh bangsa Melayu, MCA oleh orang-orang Cina dan MIC oleh orang-orang India.  Barisan Nasional terus menerus menjalankan politik perkauman kuno.  Apakah sebuah parti yang mengasingkan orang-orang Melayu dengan orang-orang Cina antara orang-orang Cina dengan orang-orang India boleh diberikan kepercayaan untuk membina satu rupa bangsa Malaysia yang bersatu?  Perpaduan dalam Barisan Nasional merupakan perpaduan yang dangkal, persekongkolan beberapa  golongan atasan yang mempunyai kepentingan harta dan kuasa.  Sebaliknya perpaduan yang ada dalam KeADILan adalah perpaduan yang berdasarkan  prinsip kebenaran dan keadilan.  Kita bersatu berdasarkan cita-cita murni untuk membangun sebuah bangsa yang menghayati nilai-nilai kebebasan, demokrasi dan keadilan.  Kita berpadu untuk membanteras rasuah, kronisme, nepotisme dan sebarang bentuk dan helah salahguna kuasa yang menjadikan rakyat Melayu, Cina dan India menjadi mangsa.

Di sini saya ingin menyebut bahawa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu akan mengadakan Persidangan Sedunia untuk membanteras segala bentuk fahaman ras dan juga perkauman.  Jelas bahawa ideologi dan juga dasar yang diamalkan oleh Barisan Nasional bukan sahaja satu dasar yang sudah lapuk bahkan juga dasar yang ditentang oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.  Maka di sini saya menegaskan bahawa dari segi ideologi, Barisan Nasional akan mengalami 'natural death', ia akan mati seperti matinya fahaman 'Apartheid'.

Kita semua sedang menyaksikan "the rising tide of democracy" gelombang demokrasi sebagai satu kekuatan politik dan sosial rantau ini.  Sejak mencapai kemerdekaan kebanyakkan negara Asia Tenggara, meski pun pada awal pembentukan negara membuat komitmen untuk melaksanakan demokrasi, kebanyakkannya mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi yang palsu. Semangat kemerdekaan sebenarnya adalah untuk membentuk sebuah negara demokrasi berlandaskan prinsip kebebasan, keadilan seperti yang diungkap oleh Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj di hari pengisytiharan kemerdekaan.  Malangnya selepas kemerdekaan amalan demokrasi tidak pernah maju.  Undang-undang yang tidak demokratik seperti ISA yang diwarisi daripada penjajah diteruskan dan pelbagai undang-undang baru dicipta untuk menyekat kebebasan rakyat dan hak asasi manusia. Pada hari ini di bawah pemerintahan Dr. Mahathir Mohamad, Malaysia  telah menjadi sebuah negara diktator.  Dalam masa yang sama negara-negara  jiran telah berjaya membangun demokrasi.  Kita melihat kejayaan rakyat di Thailand, di Filipina dan juga di Indonesia membangun negara demokratik, hanya Malaysia satu-satunya negara yang menjadi mundur kepada pemerintah yang kediktatoran.  Dr. Mahathir pernah berhujah bahawa kita tidak boleh mengamalkan demokrasi sepenuhnya kerana ia tidak sesuai bagi masyarakat Asia kerana demokrasi berasal daripada barat.  Ini merupakan satu hujah yang lapuk. Beliau ingin berselindung di sebalik kebudayaan Melayu juga kebudayaan Asia untuk mempertahankan sistem diktator beliau.  Demokrasi merupakan satu nilai sejagat.   Inilah yang diungkap oleh Amartya Sen seorang pemikir di India yang memenangi Hadiah Nobel  Ekonomi dua tahun lalu.  Beliau menegaskan kesejagatan demokrasi berasaskan tiga faktor.  Pertama, peri pentingnya penyertaan politik dan kebebasan dalam kehidupan  manusia.  Kedua, peri pentingnya demokrasi  sebagai alat untuk mempastikan kerajaan melaksanakan tanggungjawab dan mengamalkan prinsip pertanggungjawaban, ketiga, peranan demokrasi dalam membentuk nilai-nilai dan memahami keperluan hak-hak dan juga tanggungjawab.  Justeru itu Pemuda KeADILan akan memperjuangkan demokrasi tanpa rasa apologetik. Bahkan kita akan menuntut demokrasi total, demokrasi yang menyeluruh dengan segala keadilan dan kebebasan  dengan  hak rakyat dikembalikan sepenuhnya.

Pemuda tidak melihat demokrasi sebagai kegiatan pilihanraya semata-mata.  Demokrasi adalah lebih besar daripada sekadar pilihanraya.  Proses demokrasi meliputi segala tindakan dan aksi politik yang dilaksanakan secara aman.  Kita yakin bahawa ada masanya kita perlu mempunyai sikap yang tegas dan berani dalam  menuntut hak kita yang telah dicerobohi oleh pemerintah yang menyalah gunakan kuasa.  Berhimpun secara aman merupakan satu hak politik yang tidak boleh dinafikan.  Ia merupakan aksi politik yang sah dan perlu dipertahankan.  Tidak ada perjuangan kemerdekaan yang berjaya tanpa aksi politik yang melibatkan perhimpuanan dan juga pergerakan rakyat. Tidak ada perjuangan pergerakan buruh yang berjaya tanpa tindakan kesatuan sekerja.  Kita harus ingat bahawa kita berdepan dengan kuasa yang biadap dan juga angkuh. Maka sudah pasti ia menuntut keberanian dan kecekalan dalam berhadapan dengan mereka.  Frederick Douglass, seorang perjuang Pergerakan Pembebasan Hamba di Amerika di abad ke 19 pernah berkata "Barang siapa mengingini kebebasan tetapi tidak mahukan agitasi adalah laksana  manusia yang mahukan tanaman tanpa mencangkul tanah.  Mereka mahukan hujan tanpa guruh dan halilintar.  Mereka mahukan lautan tanpa gelombang.  Perjuangan ini adalah perjuangan moral bahkan ia boleh menjadi perjuangan fizikal atau kedua-duanya sekali, moral dan fizikal tetapi yang pasti ianya adalah perjuangan.  Kekuasaan dahulu, sekarang dan selama-lamanya tidak akan mengalah tanpa tuntutan."

"Those who profess to favor freedom, yet deprecate agitation, are men who want crops without plowing up the ground.  They want rain without thunder and lightning.  They want the ocean withot the awful roar of its many waters.  This struggle may be a moral one; or it may be a physical one; or it may be both moral and physical; but it must be a struggle.  Power concedes nothing without a demand.  It never did and it never will."
Frederick Douglass, African-American abolitionist

Saudara-saudara yang saya kasihi sekalian,
Pada hari Ahad yang lalu, Parti Rakyat Malaysia telah mengadakan kongresnya dan meluluskan resolusi terpenting dalam mesyuarat tersebut untuk bergabung dengan KeADILan.  Resolusi tersebut harus dipandang serius dan perlu diteliti secara rasional dengan pandangan terbuka.  Cadangan tersebut bukanlah datang dari seorang individu atau pun pemimpin Parti Rakyat Malaysia tetapi ianya merupakan satu resolusi.  Ia mencerminkan satu komitmen sebuah parti politik yang telah berjuang begitu lama, menjalani pelbagai pahit getir perjuangan dan terus setia terhadap cita-cita keadilan sosial dan pembinaan satu bangsa Malaysia yang bersatu berdasarkan idealisme tersebut.  Di kalangan KeADILan pada semua peringkat isu ini mestilah  diperdebatkan baik di kalangan pemimpin mahu pun pada peringkat akar umbi.  Kita harus melihat resolusi tersebut sebagai satu perkembangan daripada sifat dan juga pembawakan asas kepada perjuangan reformasi. Apabila Dato' Seri Anwar Ibrahim melancarkan gerakan reformasi dari awal-awal lagi, kita telah nampak sifat asas gerakan tersebut.  Yang paling menonjol  ialah sifat terbuka atau 'inclusive' gerakan tersebut agar ianya disertai oleh masyarakat pelbagai kaum dan pelbagai agama disertai oleh individu semua susun lapis masyarakat, buruh, pegawai kerajaan, golongan profesional, masyarakat cendekiawan dan agamawan, ahli-ahli politik daripada pelbagai parti baik kerajaan mahupun pembangkang. Gerakan reformasi seharusnya setia dengan semangat tersebut iaitu semangat terbuka dan positif.  Kita tidak boleh menjadikan KeADILan milik mana-mana kumpulan atau pun dikongkong oleh ideologi tertentu.  Kita harus menerima sesiapa sahaja yang ingin bersama kita untuk menegakkan keadilan dan menumbang Barisan Nasional yang penuh dengan kebejatan dan kezaliman.  Tugas KeADILan adalah untuk menggembleng segala kekuatan bukan untuk membersihkan parti kita daripada mana-mana golongan.  Saya rasa inilah maksud di sebalik gesaan Dato' Seri Anwar Ibrahim agar usaha tersebut dialu-alukan dan dipandang serius.  Kita tidak boleh menjadi sebuah parti alternatif, alternatif kepada UMNO dan alternatif kepada Barisan Nasional sekiranya kita tidak punya sikap berlapang dada dan terbuka terhadap orang lain. Kita yakin melalui usaha ini kita dapat memperkukuhkan barisan pimpinan di peringkat pusat dan juga di peringkat negeri.  Apabila usaha ini terlaksana kita akan mencipta satu lagi sejarah politik negara.

Saudara-saudara sekalian,
Hari demi hari kita mengetahui bertambahnya jumlah bukti yang mengambarkan betapa korup, bejat dan rosaknya rejim Barisan Nasional di bawah pimpinan Dr. Mahathir Mohamad.  Kita tidak terperanjat dengan pendedahan yang dibuat oleh bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Dato' Shafie Yahaya dalam mahkamah beberapa hari yang lalu.  Dalam kesaksian beliau, Dato' Shafie memberitahu mahkamah bahawa Badan Pencegah Rasuah pernah menggeledah pejabat Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi ketika itu, Tan Sri Ali Abul Hassan dan mendapati sejumlah wang yang banyak yang tidak dapat dipertanggungjawabkan.  Dato' Shafie menjalankan tugas beliau berdasar aduan yang diterima tetapi apakah yang beliau perolehi hasil daripada menjalankan tugas secara dedikasi untuk membanteras rasuah? Tidak lain dari  herdikan Dr. Mahathir Mohamad.  Dr. Mahathir secara terang-terang melindungi golongan pelaku rasuah seperti Rafidah Aziz dan  Rahim Thamby Chik dan sekarang Tan Sri Ali.  Di sini saya ingin menegaskan bahawa Dr. Mahathir Mohamad telah melakukan jenayah kerana menghalang siasatan Badan Pencegah Rasuah.  Maka di sini saya mencabar Ketua Polis Negara untuk menangkap dan menahan Dr. Mahathir atas kesalahan jenayah tersebut. Saya juga mencabar Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah yang ada sekarang ini untuk menyiasat perlakuan seorang perasuah yang bernama Mahathir Mohamad.  Pemuda KeADILan juga menyokong gesaan Majlis Peguam supaya diadakan satu Tribunal untuk menyiasat perilaku Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin kerana melanggar Etika Kehakiman  Alasan Dr. Mahathir  bahawa tribunal tersebut tidak perlu ditubuhkan adalah tidak munasabah sama sekali.  Ini bukan persoalan politik tetapi kewibawaan dan integriti institusi kehakiman. Saya menyeru kepada semua Pemuda KeADILan supaya peka dengan isu-isu ini kerana ini adalah isu maruah negara, isu kewibawaan pemerintah dan isu pertanggungjawaban.  Kita bertanggungjawab mempertahankan kewibawaan pemerintah dan cara kita melaksanakan tanggungjawab tersebut ialah dengan mendedah segala salah laku pemimpin kerajaan.  Atas prinsip inilah maka saya mendedahkan dokumen rasmi kerajaan yang melibatkan rasuah Rafidah Aziz dan Rahim Thamby Chik.  Berjuang untuk membersihkan negara dari rasuah dan penyelewengan penguasa adalah tanggungjawab kita semua dan kita akan melakukannya meski pun berdepan dengan ancaman penjara.

Pemuda harus mempunyai keberanian. Bahkan keberanian adalah roh dan jiwa kepada Pemuda.  Pemuda harus berani bersuara tetapi keberanian bersuara sahaja tidak cukup.  Pemuda juga harus berani bertindak, kerana suara tindakan adalah lebih lantang dari suara lisan.  Ini adalah semangat yang kita warisi dari Dato' Seri Anwar Ibrahim dan perjuangannya.  Pengorbanan yang kita lakukan sangatlah  kecil berbanding dengan pengorbanan Dato' Seri Anwar Ibrahim.  Beliau bukan sekadar mempertaruhkan kedudukan malah nama dan juga keluarga beliau diancam.  Dato' Seri Anwar Ibrahim telah mempertaruhkan nyawa beliau demi perjuangan untuk keadilan.    Kita harus sentiasa mengingatkan masyarakat bahawa percubaan untuk membunuh Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah suatu perkara yang real dan bukan khayalan.  Percubaan Rahim Noor untuk membunuh Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah sesuatu yang real dan percubaan membunuh Dato' Seri Anwar Ibrahim secara perlahan melalui racun arsenik adalah juga sesuatu yang real.  Kita masih menuntut diadakan satu suruhanjaya bebas untuk menyiasat kes meracun Dato' Seri Anwar Ibrahim.  Perkara tersebut bukanlah satu perkara politik ia adalah satu jenayah yang terkutuk.  Kita tidak akan tahu keadaan sebenarnya tentang kes keracunan tersebut selagi tidak ada satu suruhanjaya menyiasat yang bebas.  Kita jangan termakan dengan propaganda pemerintah dan juga pihak polis yang ingin menutup perkara ini.

Saudara-saudara sekalian,
Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah seorang tahanan politik atau "tapol".  Dato' Seri Anwar Ibrahim bukan seorang penjenayah. Tuduhan jenayah dan juga perbicaraan beliau di mahkamah merupakan sebahagian daripada konspirasi politik yang dirancang dan dilaksanakan oleh Dr. Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin.  Apa pun yang dikatakan oleh Dr. Mahathir Mohamad kepada dunia kononnya kes Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah kes jenayah biasa - tidak akan merubah kenyataan ini. Bahkan tidak ada negarawan yang mempercayai kenyataan Dr. Mahathir.  Laporan empat badan peguam antarabangsa yang bertajuk 'Justice in Jeopardy : Malaysia 2000' menjadi satu lagi bukti yang memperkukuhkan keyakinan kita bahawa kes Anwar Ibrahim adalah kes politik dan bukan kes jenayah.  Sebagai seorang tahanan politik, beliau harus dilayan sebagai seorang tahanan politik.  Ini bukan bermakna kita menyetujui kedudukan beliau sebagai tahanan politik tetapi kita menyedari realiti bahawa dalam perjuangan politik apatah lagi di dalam negara autoritarian seperti Malaysia hari ini pasti wujud korban politik. Korban politik harus dilayani secara politik.  Rejim militia Myanmar memberikan layanan yang berperikemanusiaan terhadap Aung San Suu Kyi.  Rejim diktator Suharto juga memberikan layanan yang berperikemanusiaan kepada tahanan politik.  Inilah yang menyebabkan rakan-rakan Dato' Seri Anwar Ibrahim dari pelbagai parti politik dan organisasi di Indonesia begitu marah dengan Dr. Mahathir.  Mereka yang dahulunya pernah menjadi korban politik di zaman Suharto pun tidak diberi layanan seburuk yang dialami oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Di sini ingin saya menjelaskan bahawa kita tidak perlu apologetic apabila memperjuangkan kes Anwar Ibrahim. Dalam masa yang sama kita  tidak pernah mengatakan bahawa agenda Parti KeADILan Nasional hanyalah untuk membebaskan Dato' Seri Anwar Ibrahim.  Itu hanyalah fitnah dan tohmahan  Dr. Mahathir Mohamad.  Kita memperjuangkan kebebasan institusi kehakiman, keadilan ekonomi, keadilan sosial, perpaduan kaum dan lain-lain.  Kita memperjuangkan lebih banyak isu daripada yang diperjuangkan oleh Barisan Nasional.  Tetapi secara objektif kita harus mengakui bahawa gelombang politik yang berlaku sekarang adalah gelombang Anwar Ibrahim.  Ia bukan gelombang individu tetapi gelombang massa kerana Anwar Ibrahim bukan lagi seorang individu bahkan beliau telah menjadi suatu institusi yang hidup dan juga dinamis. Tetapi, untuk menafikan hakikat ini, Dr. Mahathir telah merosakkan dan menyalahgunakan berbagai institusi masyarakat madani, khususnya badan kehakiman, pihak polis dan juga media massa.  Justeru itu rakyat tidak boleh melupakan tarikh 14 April, tarikh di mana Dato' Seri Anwar dijatuhkan hukuman 6 tahun penjara, tarikh di mana keadilan dan institusi keadilan mati di Malaysia.  Kita menginsafi tarikh tersebut kerana tarikh tersebut adalah tarikh hitam dan kita akan terus mengorek segala kekuatan pemuda untuk mengembalikan keadilan di Malaysia yang mati pada tanggal 14 April.



Saudara-saudara sekalian
Kita juga tidak akan melupakan tarikh 20 September, tarikh Dato' Seri Anwar Ibrahim ditangkap dan dipukul sehingga separuh mati. Dan, tarikh tersebut juga adalah tarikh kesedaran rakyat di mana berlaku perhimpunan raksasa yang belum pernah disaksikan dalam sejarah Malaysia semenjak merdeka. Pemuda akan mengkeramatkan tarikh tersebut dan kita akan mengerakkan kekuatan Pemuda untuk menjayakannya.

Pada awal-awal tadi saya telah menegaskan bahawa KeADILan bukan sebuah parti kecil, KeADILan jelas sebuah parti politik yang didokong oleh rakyat.  Justeru itu kita mempunyai gagasan yang besar.  KeADILan memberikan tumpuan kepada persoalan rakyat di tanahair ini.   Tetapi KeADILan juga adalah sebuah parti yang memberikan perhatian yang berat dalam persoalan antarabangsa.  Penglibatan kita di arena antarabangsa bukan sekadar mengeluarkan kenyataan-kenyataan rasmi, tetapi kita juga menerokai bidang diplomasi. Justeru itu Pemuda telah mempelopori penubuhan sekretariat KeADILan antarabangsa dengan tertubuhnya KeADILan Antarabangsa Eropah di London.  Pemuda telah menubuhkan sekretariat KeADILan di Asia Tenggara yang berpusat di Jakarta.  Seterusnya kita akan menubuhkan sekretariat KeADILan di Timur Tengah, di Asia Selatan dan juga di Afrika, di Amerika Latin dan di Amerika Utara.  Kita memiliki pandangan global, tidak seperti UMNO yang pandangannya terbatas kepada kepentingan suku kaum semata-mata.  Tujuan kita menubuhkan sekretariat ini bukan sekadar untuk menyampaikan maklumat tentang KeADILan, Barisan Alternatif dan kemelut politik di Malaysia.  Tugas kita yang besar adalah untuk membina solidarity perjuangan untuk demokrasi dan keadilan.

Perjuangan untuk membebaskan demokrasi bukan sekadar perjuangan nasional; ianya merupakan perjuangan serantau.  Justeru itu kita akan menjalin kerjasama dengan setiap gerakan demokrasi di rantau ini dalam parti politik mahu pun NGO.  KeADILan juga akan bersama dengan gerakan demokrasi seluruh dunia ('World Movement for Democracy'). Kita perlu menegaskan di sini bahawa doktrin ASEAN yang menyanggah campur tangan dalam urusan mana-mana negara anggota adalah doktrin yang lapok dan tidak boleh dipakai lagi.  Zaman beredar.   Perjuangan zaman ini adalah untuk perjuangan menuntut demokrasi berasaskan prinsip keadilan dan hak asasi manusia.  Justeru itu, kita  menyanggah kenyataan Menteri Luar Dato' Syed Hamid Albar yang mengkritik Ketua MPR Indonesia Dr. Amien Rais kononnya dikatakan cuba campur tangan dalam urusan negara Malaysia.  Dr. Amien Rais membela Anwar dan menegur pemerintah Malaysia berasaskan prinsip keadilan sejagat dan hak asasi manusia.  Syed Hamid Albar masih berpegang pada doktrin usang dan tidak relevan lagi.

Saudara-saudara sekalian
Sebagai sebuah parti politik yang sah,  kita sepatutnya bergantung kepada media massa untuk menyalurkan maklumat dan mesej perjuangan kita kepada rakyat.  Malangnya media massa perdana hari ini lebih berminat untuk menjadi perkakas pemerintah dan alat kepada propaganda dan permainan politik murahan Barisan Nasional.  Media massa perdana dipimpin oleh para editor yang tidak memiliki kekuatan moral untuk mempertahankan etika dan juga kewibawaan kewartawanan.  Kita tidak mengharapkan apa-apa daripada mereka.  Namun begitu, kita ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada wartawan-wartawan dan penerbit akhbar dan majalah yang berani menyatakan yang benar meski pun dizalimi dan lesen perniagaan mereka ditarik.  Kita mengucapkan penghargaan kepada saudara Ahmad Lufti Othman yang terus gigih mempertahankan kebebasan beliau sebagai penulis.  Kita mengucapkan tahniah kepada mereka yang menubuhkan MalaysiaKini, akhbar internet yang pertama di Malaysia.  Juga tidak lupa kepada pengendali-pengendali laman-laman web pro reformasi yang terus menerus  memberikan maklumat kepada orang ramai dan saya ingin juga memberi penghargaan kepada pengendali free_malaysia.com yang membedah segala bentuk skandal politik dan ekonomi yang melibatkan Dr. Mahathir, Daim dan kroni-kroninya.  Akhir sekali, saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada Presiden kita yang dikasihi Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan juga Timbalan Presiden, Dr. Chandra Muzaffar yang banyak memberi tunjuk ajar juga nasihat kepada saya selaku Ketua Pemuda dan juga Pemuda KeADILan keseluruhannya.  Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dalam barisan kepimpinan Pemuda dan juga semua aktivis Pemuda KeADILan seluruh negara.  Rasa hormat dan penghargaan juga ingin saya rakamkan kepada para  reformis yang tidak serik-serik ditahan dan didakwa.  Semangat mereka untuk terus berhimpun secara aman walaupun dipukul, ditahan dan didakwa akan terus menjadi obor perjuangan kita.  Mereka mengajar kita bahawa kebebasan dan keadilan tidak datang percuma.  Sejarah juga mengajar kita bahawa kebebasan menuntut pengorbanan dari  jiwa-jiwa berani yang akan terus menebusnya.  Keberanian sewajarnya menjadi teras kepada jiwa perjuangan kita.  Keberanian adalah jati diri Pemuda KeADILan.

REFORMASI!    REFORMASI!   REFORMASI!