Teks Ucapan Perbahasan Belanjawan 2001

Oleh YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail,

Ahli Parlimen Permatang Pauh

 

 

Terima kasih Tuan Yang Di Pertua,

 

 

1.       PERTUMBUHAN MAMPAN

Izinkan saya menyentuh beberapa isu pokok dalam belanjawan yang dibentangkan. Belanjawan negara adalah untuk merangsang pertumbuhan, menjamin kemampanannya, tetapi perlu bertunjangkan prinsip kesejahteraan rakyat. Justeru itu, segala usaha, langkah fiskal dan pencukaian kearah itu perlu didukung dan disebaliknya kegiatan yang mengkhianati atau menggagalkannya perlu ditentang.

 

Kita tidak perlu terlalu awal mendabik dada secara angkuh seolah-olah sudah terlepas dari bahang kegawatan ekonomi sepenuhnya. Kewaspadaan adalah perlu dan pembaharuan atau reformasi dalam pengurusan ekonomi dan kewangan adalah satu keperluan. Menteri Kewangan mengakui bahawa diantara cabaran utama ekonomi adalah bagi “meningkatkan aliran masuk pelaburan langsung asing FDI” – Beliau sebenarnya menyentuh soal keyakinan pelabur asing.

 

Pemerhati perkembangan Bursa Saham Kuala Lumpur akan mendapati kelengangan penyertaan dana asing. Lonjakan berkala adalah akibat permainan institusi utama tempatan – iaitu dana yang dikuasai oleh kerajaan termasuk KWSP, PNB, Petronas, Tabung Haji dan sebagainya. Angka-angka pelaburan asing mengecewakan. Pengumuman besar yang dibuat dengan angka berbilion ringgit tidak disusuli dengan pelaburan sebenar.

 

Ini ada kaitannya dengan persepsi pelabur mengenai kaedah menjalankan perniagaan dalam negara. Menteri Kewangan menyentuh soal rasuah dan mengaitkan dengan ikan-ikan kecil dalam Jabatan Pengangkutan Jalan tetapi membisu terhadap laporan polis mengenai tuduhan rasuah terhadapnya, PM dan lain-lain pemimpin. Ini menjejaskan kredibiliti jentera pelaksana termasuk BPR dan pihak polis.

 

Undang-undang tidak memilih bulu – tetapi jerung besar terkecuali dalam negara kita. Sekiranya pemimpin-pemimpin negara benar-benar bersih, mereka tidak akan gentar disiasat. Bahkan, dengan heboh mengenai rasuah yang melibatkan pemimpin, dasar kronisme dan nepotisme, maka wajar sekali ditubuhkan Suruhanjaya di Raja menyiasat gejala rasuah dikalangan pemimpin, termasuk bekas pemimpin. Siasatan perlu melibatkan jumlah harta kekayaan yang dimiliki oleh pemimpin, keluarga terutamanya anak-anak, pemberian saham, kontrak dan cara meluluskan projek penswastaan. Hanya kalangan yang terconteng muka dengan arang rasuah akan takut disiasat secara terbuka.

 

Soal rasuah menjadi lebih mendesak bukan sahaja kerana laporan polis telah dikemukakan oleh bekas TPM, tetapi kenyataan bekas Ketua Pengarah BPR, Dato Shafie Yahaya mengenai penglibatan Dato Seri PM sendiri. Sebelum ini kita merasa yakin dengan kewibawaan BPR, lebih-lebih lagi dengan Akta BPR yang baru (1997). Kita tunggu tindakan yang serious daripada kerajaan membolehkan BPR bertindak tanpa campurtangan. Membasmi rasuah dengan tidak menekan kelompok kecil-kecil pegawai rendah sahaja tetapi juga tidak melindungi perasuah utama.

 

 

2.        KENAIKAN HARGA DAN BONUS

Angka inflasi yang dikemukakan tidak meyakinkan kerana kenyataan sebenar kenaikan harga di Lembah Kelang dan Johor Bahru adalah tinggi. Impot barang makanan keperluan perlu dilonggarkan bagi mengelakkan kesan monopoli yang menyebabkan kenaikan harga secara melambung.

 

Kenaikan harga petroleum baru-baru memberi kesan menyeluruh kenaikan barang-barang keperluan dan pengangkutan. Kami menolak alasan yang dikemukakan iaitu kerana jumlah subsidi oleh kerajaan melalui Petronas melebihi 3 bilion ringgit; dan bahawa harga petroleum di Malaysia adalah diantara yang terendah di rantau ini.

 

Saya ingin mengulas dengan menyatakan pertama : harga barang-barang makanan dan pengangkutan adalah lebih rendah di Thailand, Filipina dan Indonesia. Walhal harga di Malaysia adalah lebih tinggi maka pengawalan harga minyak boleh meringankan sedikit beban rakyat.

 

Kedua, mengapakah isu subsidi 3 bilion wang Petronas buat faedah 22 juta penduduk Malaysia dibangkitkan pada hal, 2 bilion ringgit wang Petronas boleh diagihkan untuk bailout menyelamatkan konsortium perkapalan; sementara berbilion ringgit lainnya ditumpukan untuk membangun projek mega?

 

Kenaikan harga barang-barang keperluan sewenangnya memberi kesan kepada rakyat – terutamanya petani, peladang, buruh, nelayan dan pegawai-pegawai rendah kerajaan. Ini dirumitkan dengan kejatuhan teruk, atau merudumnya harga getah, kelapa dan kelapa sawit. Saya cadangkan agar Belanjawan memperutukkan dana khas menampung kerugian penduduk miskin. Bagi syarikat-syarikat gergasi yang dipunyai oleh anak-anak, keluarga dan kroni pemimpin berbagai skim bailout, Danaharta, Skim Penyusunan Semula, Tabung Khas dan lain-lain yang mampu menyelamatkan kedudukan korporat besar dengan jumlah dana berbilion ringgit. Tetapi mengapa tidak dapat diusahakan Dana Khas bagi meringankan masalah yang dihadapi oleh peniaga kecil, petani, peladang?

 

Saya ingin menyentuh hal yang sama berkaitan dengan kedudukan pegawai-pegawai kerajaan terutama diperingkat rendah. Kerajaan telah memberikan kenaikan kecil 10% yang tidak setimpal dengan kadar kenaikan harga. Begitu juga dengan elaun kritikal yang saya kira perlu bagi doktor, polis, kastam dll. Tetapi, elaun kritikal ini perlu dikaji semula dan diperluaskan bagi semua kakitangan awam yang dibebankan dengan kerj lebih masa, risiko tempat kerja termasuk keselamatan. Maka kategori yang layak perlu diperluaskan kepada guru ko-kurikulum, penyelia asrama sekolah, jururawat, kakitangan penjara, kakitangan bidang penguatkuasaan termasuk kastam, jabatan pengangkutan jalan dan lain-lain.

 

Saya turut kesal kerana kegagalan kerajaan mengumumkan pemberian bonus kepada kakitangan awam. Yang dicanangkan ialah ekonomi sudah pulih, dasar ekonomi sudah berjaya. Disamping itu, projek-projek mega diberi keutamaan semula. Dengan harga barang yang melambung; kos persekolahan yang meningkat, saya ingin mendesak kerajaan supaya memberikan bonus kepada kakitangan kerajaan. Bonus RM1,000 setahun bagi pekerja awam patut dipertimbangkan. Saya dapat jangka jawapan Menteri Kewangan iaitu kenaikan sama dengan kategori lainnya iaitu 10%. Bedanya besar sekali : 10% dari gaji RM600 dan 10% dari gaji RM16,000 sebulan tidak termasuk semua kemudahan percuma lainnya; juga harta kekayaan yang menimbun atas nama anak-anak dan keluarga!

 

Secara umum, dengan pelbagai pendekatan yang berbeda, negara-negara di rantau Asia beransur pulih. Malaysia juga dapat bersama dengan aliran tersebut lebih-lebih lagi dengan sumber khazanah asli iaitu hasil minyak yang banyak. Justeru itu, pengurusan wang Petronas perlu lebih berhemah dan bertanggungjawab. Dengan sumber tersebut, janganlah kita memperlihatkan cara tamak, menyalahgunakan sumber tersebut untuk bermegah dan menjaga kepentingan sempit.

 

Kami ingin mendesak supaya dasar pembangunan terus menjuruskan kepada pertumbuhan; memulihkan keyakinan pelaburan, dan memelihara kesejahteraan rakyat.

 

 

3.       PENDIDIKAN DAN K-EKONOMI

Belanjawan Negara nampaknya mahu kearah seiring dengan iklim sejagat (globalisasi) dengan menggalakkan k-ekonomi. Tetapi penyediaan kemudahan, prasarana termasuk komputer di sekolah-sekolah tidak menyeluruh. Di Permatang Pauh pun, sekolah-sekolah tidak dibekalkan dengan komputer yang mencukupi. Perkara tersebut perlu ditangani segera. Jika tidak jurang bandar-desa; kaya – miskin; kian melebar dengan pengenalan k-ekonomi. Pimpinan kerajaan perlu bersedia merubah sikap; bersama anjakan paradigma. Bagi kawasan desa dan pendalaman, Sabah dan Sarawak termasuk di estet dan kawasan miskin di bandar, jalan tar dan projek kecil sahaja tidak memadai. Sekolah-sekolah mesti ditingkatkan mutunya beserta pembekalan komputer yang mencukupi.

 

Sementara peruntukan pendidikan ditambah, keutamaan dalam perbelanjaan agar dijamin keseimbangan di antara kawasan dan dielak kesenjangan yang melebar.

 

Teknologi maklumat juga bererti pendedahan kepada ilmu dan maklumat. Generasi muda perlu diberikan ruang dan kebebasan seluas mungkin berfikir, berbahas dan mencerdas alam pemikiran secara membina. Ini sekali lagi menuntut penumpuan dalam matapelajaran bahasa Melayu, sebagai bahasa pengantar utama; bahasa Inggeris juga perlu diberikan tumpuan yang lebih. Disamping itu, Kementerian Pendidikan perlu memberikan tumpuan yang bersungguh-sungguh mempastikan keperluan guru terlatih termasuk dalam bahasa Arab di Sekolah-sekolah Menengah Agama serta guru-guru bahasa Cina dan Tamil. Kita mesti elakkan dari isu pendidikan terus dipolitikkan lantaran kecuaian kementerian kerana gagal menyediakan guru dan kemudahan secukupnya bagi semua sekolah.

 

Keghairahan kita menekankan pembaharuan dalam pendidikan tidak perlu mengabaikan kedudukan dan mertabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Pembakuan bahasa telah menjadi korban pencakaran politik. Namun usaha memperkukuh kedudukan bahasa dengan menjamin sukatan, pembelanjaran termasuk penerbitan dan penterjemahan buku bermutu dan ilmiah perlu ditingkatkan. Begitu juga dengan tahap pencapaian matematik, sains, bahasa Inggeris dan kini pendidikan komputer di sekolah desa yang belum membanggakan. Berikan kemudahan dan galakan kerana gesaan semata adalah tidak mencukupi.

 

Saya juga ingin menekankan isu pendidikan Islam sebagai matapelajaran ilmu yang memerlukan penghayatan. Kita perlu menyesuaikan pendekatan pembelanjaran agama dengan kefahaman dan kegiatan amali, berjemaah, dan menyertai kursus agama sekurang-kurangnya sekali dalam satu semester persekolahan.

 

Dikaitkan isu pendidikan bahasa Cina dan Tamil kerana dasar pendidikan negara adalah jelas, memberi ruang penbelanjaran bahasa ibunda. Akan tetapi, tanpa guru terlatih yang mencukupi, dasar ini tetap dicurigai. Pihak Kementerian Pendidikan perlu mengambil langkah-langkah segera menyelesaikan permasalahan tersebut.

 

Ini berkaitan pula dengan penegasan Kementerian Pendidikan meneruskan dengan projek Sekolah Wawasan. Sementara konsepnya mungkin dipertahankan; tetapi cara memaksa konsep tersebut tanpa perundingan, muafakat dengan semua kaum akan memberikan kesan negatif bertentangan dengan hasrat perpaduan yang dicita-citakan. Saya ingin menggesa konsep dan perlaksanaannya dikaji semula dengan mengambil kira pandangan semua pihak. Cabaran utama Kementerian Pendidikan sekarang ialah melaksanakan dasar dan meningkatkan mutu pendidikan negara; dan bukannya meneroka dan mencuba sehingga menimbulkan ketegangan politik dan sosial.

 

Menteri Kewangan menyentuh mengenai sikap anak-anak kita mahasiswa yang mengkritik kerajaan sebagai destruktif. Apakah cara mengampu, menjadi pengecut, tidak berani menegur, membiarkan rasuah, maksiat dan penyelewangan itu sebagai konstruktif atau membina?

 

Kita jangan ketinggalan zaman. Kita tidak hidup di zaman feudal atau penjajah. Hanya rejim kukubesi yang menahan orang dari berfikir dan berbicara. Sikap mengongkong dengan Akta; menafikan hak mahasiswa berbicara adalah bertentangan dengan arus era maklumat dan k-ekonomi! Minda anak-anak tidak harus dikongkong memikirkan semata-mata kepentingan diri. Kerana jika ini yang dilatih, kita akan lahirkan generasi baru yang tamak dan tidak memperdulikan nasib rakyat terbanyak.

 

Saya ulangi cadangan supaya diberikan kelonggaran, dimansuhkan Akta Universiti dan diberikan kesempatan kepada anak-anak terlibat dalam wacana yang segar dan membina. Janganlah mengambil sikap feudal dan angkuh memikirkan hanya Menteri yang mempunyai monopoli kebenaran dan kebaikan. Jika mereka bersih dari rasuah, tamak dan penyelewengan, mereka tidak harus gentar dengan perbincangan terbuka dengan anak-anak muda.

 

Alasan Akta Universiti akan menjamin mutu pendidikan cemerlang tidak masuk akal. Universiti di negara kita belum termasuk senarai cemerlang berbanding Universiti di Jepun atau Amerika Syarikat yang tidak mempunyai Akta Universiti yang mengongkong tetapi melahirkan siswazah cemerlang dan ilmuan ulung. Pengurusan Universiti tidak boleh disamakan dengan pentadbiran sekolah rendah. Pemimpin perlu berani berdepan dengan kenyataan, menjawab teguran atau tuntutan anak-anak mereka.

 

Inilah matlamat pendidikan; menimba ilmu, membentuk syakhsiyah (peribadi) dan menegak keadilan. Mereka perlu didedahkan dengan maklumat secara terbuka, menilai diantara hak dan batil; dan tekun bergerak sebagai insan soleh.

 

Menurut Kung Fu Tze dalam Lun Yu (Analects), pendidikan mestilah berupaya menerapkan tradisi jen gabungan ilmu dan faham kemanusiaan. Ini bermakna tekun berusaha dengan matlamat kebaikan, “sedia menyoal dan bersungguh-sungguh menilai dan berfikir sendiri apa yang didengar dan dipelajari – inilah jalan jen (pencapaian kemanusiaan)”  (19:6).

 

Mahasiswa yang terdedah dengan konsep jen ini akan sedar bahawa pemimpin dikagumi kerana : “peribadi yang luhur (jen) yang dikagumi oleh rakyat dan bersedia taat kerana kekuatan moral pemimpin berserta peraturan tetapi tidak perlu didera atau dipaksa untuk mematuhi perintah ketua.” (2:A:3)

 

 

4.       RASUAH

Menteri Kewangan juga menyentuh soal daya saing kecekapan perkhidmatan awam. Sekali lagi hal tersebut berkaitan dengan kebersihan sistem dari rasuah yang berpunca di kepala dan prinsip pertanggungjawaban (accountability) dan ketelusan (transparency). Dasar perlu ditetapkan mengikut undang-undang dan kepentingan rakyat; dan bukannya bagi memelihara kepentingan politik atau tembolok, harta peribadi. Sepatutnya pemimpin-pemimpin merasa malu dan tersinggung dengan kekayaan melimpah mereka. Hampir semua pimpinan utama termasuk Menteri Kewangan mempunyai khazanah peribadi dan keluarga yang menjangkau berbilion ringgit!

 

Amat tidak pelik bagi rakyat menyuarakan hak dan meragui tindak tanduk pemimpin kerajaan BN. Paling akhir ialah kontroversi royalti minyak Terengganu. Selama 25 tahun ia tidak pernah dibangkitkan sebagai masalah. Sekarang timbul perasaan dendam kesumat dan faham politik sempit yang sengaja mengajak rakyat berpecah belah. Hormatilah hak dan keinginan rakyat Terengganu dan janganlah digunakan Belanjawan menegakkan benang basah, mempertahankan dasar yang angkuh dan sikap benci melulu kepada PAS atau BA. Menteri Kewangan minta perkara tersebut dirujuk ke mahkamah. Beliau nampaknya terlalu yakin dengan keputusan mahkamah.

 

Saya sekadar mengingatkan keluhan yang dilahirkan oleh Allahyarham Tun Suffian Hashim, bekas Ketua Hakim Negara bahawa persepsi umum rakyat ialah bahawa Badan Kehakiman terjejas kewibawaannya. Beliau sendiri tidak bersedia diadili oleh kehakiman yang ada; lebih-lebih lagi sekiranya beliau tidak bersalah. Saya tidak ingin membuat sebarang kesimpulan. Tetapi teguran ikhlas seorang bekas Ketua Hakim Negara yang berwibawa dan dihormati perlu diberikan pertimbangan oleh Dewan yang mulia ini.

 

Hal tersebut berkaitan dengan keyakinan para pelabur kerana sekiranya permasalahan perundangan dipertikai, jaminan keputusan yang adil akan dipersoalkan. Ini berkaitan dengan keputusan syarikat-syarikat asing memeterai perjanjian di negara luar dan menyelesaikan isu pertikaikan di negara asing. Hal ini telah juga dibangkitkan oleh banyak badan-badan lain (e.g. International Chamber of Commerce and Industry).

 

Saya ingin tegaskan bahawa kekuatan dan pengukuhan ekonomi tidak diukur semata-mata dari data atau angka sementara. Ia akan bergantung kepada 3 faktor utama :

Pertama : keupayaan memacu pertumbuhan yang segar.

Kedua : menjamin pembangunan yang adil dan seimbang.

Ketiga : menjamin pertumbuhan yang mampan atau sustainable dalam jangka panjang.

 

Mengingatkan faktor tersebutlah maka kita perlu meningkatkan kecekapan, membuat perubahan yang perlu dalam pengurusan ekonomi negara. Kita perlu mengalih dari keghairahan bermegah dengan projek mega, megah untuk memenuhi ego peribadi. Ia mempersonakan seketika bahkan mencatatkan kenaikan kadar pertumbuhan. Tetapi ia tidak mampu bertahan dan tidak mampan. Amalan pengagihan saham, lesen, penswastaan kepada keluarga dan kroni juga perlu dihentikan kerana ia menggalakkan sikap yang merestui rasuah dan penyelewengan. Kita perlu perkenalkan kaedah yang tetap dan tegas dalam cara meluluskan projek dengan proses tender dan pengagihan yang adil.

 

Sepertimana yang disebut dalam al-Quran, Surah Al-Hasyr (59) dari Ayat 7 :

 

 

 “…supaya harta itu jangan berlegar diantara orang-orang kaya diantara kamu.”

 

Lihat sahaja semua projek-projek besar yang diagih kepada sejumlah syarikat keluarga dan kroni!

 

Ini turut melibatkan isu perlantikan tokoh politik kroni dalam syarikat milik kerajaan. Contoh TNB jelas menunjukkan kegelisahan pelabur setelah kerajaan tidak melanjutkan tempoh perkhidmatan Pengurus yang berwibawa, Tan Sri Tajuddin Ali malah menggantikannya dengan ahli korporat UMNO yang punyai kepentingan dalam sektor yang sama!

 

Janganlah asyik menyalahkan pembangkang. Saya ingin tegaskan bahawa yang patut dipersalahkan ialah kezaliman, rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Apa jua langkah kearah kebaikan, membenteras penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah tetap disokong. Malangnya perkara tersebut tidak ditangani dengan sebaiknya.

 

Janganlah cuba strategi mengalih pandangan dari kezaliman dan rasuah dengan sengaja merekacipta isu ancaman asing; alat negara asing; membenci dan sebagainya. Kritikan dan teguran yang berasas bukannya pengkhianatan dan tanda tidak taat kepada negara. Malah membenci penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah adalah sebahagian daripada sikap patriotik, cinta negara dan tanda endah terhadap nasib bangsa dan tanahair.

 

 

5.       KESIHATAN

Saya ingin merujuk kepada peruntukan bidang kesihatan. Beberapa isu yang berbangkit – dari coxsackie, JE dan yang paling akhir, penyakit tangan, kuku dan mulut – menampakkan kelemahan ketara dalam cara menangani masalah. Pertama, maklumat tidak diberikan dan fakta sering bercanggah. Masalah kesihatan, implikasi jangkitan dan ancaman penyakit tidak boleh disembunyikan. Ini akan menimbulkan kerunsingan dan bahaya di kalangan rakyat sepertimana yang diperhatikan dalam kes JE yang lalu.

 

Kedua, harus ada unit bebas menangani krisis dengan kepakaran. Para doktor dan pakar perlu diizinkan menjalankan tugas tanpa campurtangan politik atau kenyataan politik yang mengelirukan. Ketiga, kelengkapan, ubatan dan dana secukupnya perlulah disediakan untuk maksud tersebut.

 

Selain itu, perkara yang sering dirungutkan oleh rakyat ialah kualiti dan kos perubatan yang meningkat di hospital kerajaan. Pesakit miskin yang mengidapi lemah jantung terpaksa menunggu giliran bertahun sebelum mendapat rawatan di IJN. Apakah dalam soal kesihatan dan perubatan kita mula bahagikan rakyat kepada kelas sehingga hak mereka mendapat rawatan dinafikan semata-mata kerana kurang mampu? Begitu juga dengan kos rawatan lainnya. Seorang mangsa kemalangan terpaksa membayar wang tunai sebelum dibuat pembedahan atau dipasang besi di kakinya. Demikian peraturan HKL di atas arahan Kementerian Kesihatan. Bagaimana pula dengan nasib pesakit miskin? Ditangguh perubatan atau diminta pulang sahaja?

 

Masalah ini berkaitan dengan kos perkhidmatan hospital yang terus meningkat sesudah penswastaan perkhidmatan hospital. Dari kelengkapan, ubatan hinggakan tong sampah hospital diambil alih oleh syarikat swasta dengan kos yang tinggi. Akhirnya pesakit dan kerajaan yang terpaksa membiaya. Apakah Menteri atau pegawai sedia menegur kos yang tinggi yang ditetapkan oleh syarikat manakala diketahui bahawa syarikat yang mengendalikan penswastaan perkhidmatan kesihatan dimiliki Kumpulan Tongkah.

 

Mengambil kira pelbagai permasalahan tersebut saya merasakan perlunya peruntukan untuk perkhidmatan kesihatan ditambah. Sejak 1987 peruntukan untuk kesihatan kurang daripada 2% dari KDNK. (Antara tahun 1987 dan 1997 kerajaan membelanjakan secara purata 1.55% KDNK untuk kesihatan).

 

Ini berbeda pada tahun 1970an dan awal 1980an dimana kerajaan membelanjakan 3% dari KDNK untuk kesihatan. (Purata antara 1975 – 1986 ialah 3.02% dari KDNK). Angka ini rendah juka dibandingkan dengan piawaian negara barat malah dengan negara-negara jutaan sekalipun. Anggaran untuk tahun ini juga tidak menampakkan banyak perubahan.

 

Tuan Yang Di Pertua,

Saya mencadangkan supaya belanjawan untuk kesihatan dinaikkan kepada 4% dari KDNK, selari dengan yang disyorkan oleh WHO iaitu antara 4% - 8% dari KDNK untuk perbelanjaan kesihatan negara.

 

Namun begitu, saya ingin menegaskan bahawa pertambahan peruntukan untuk kesihatan bukan sahaja perlu tetapi mestilah juga dijamin perlaksanaannya agar disalurkan untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan serta kebajikan kakitangannya.

 

Pertambahan dalam peruntukan tidak semestinya menjamin mutu dan “access” perkhidmatan kesihatan meningkat. Ini terutamanya apabila penswastaan telah banyak mewarnakan secara negatif perkhidmatan yang cukup mustahak ini.

 

Saya juga mencadangkan Belanjawan memperuntukkan dana khas membantu rawatan pesakit miskin. Disamping syarat-syarat perjanjian dengan syarikat tersebut perlu diteliti semula.

 

Tuan  Yang Di Pertua,

Menteri Kewangan mengakhiri ucapannya dengan merujuk kepada firman Allah swt dalam Surah Saba’ (34) Ayat 15 :

 

 

“Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada Nya; (negeri kamu) adalah negeri yang baik dan (Tuhan kamu) adalah Maha Pengampun.”

 

Saya pohon izin mengulas. Ayat al-Quran tersebut merujuk kepada Negeri Saba’ di Selatan Yemen, di bawah pimpinan adil lagi bijaksana, Nabi Sulaiman `alaihissalam dan Ratu Balqis. Mereka membangunkan negeri, memakmurkan dan mengindahkannya, menjalankan syariat Allah secara tekun dan adil. Maka Allah merestui mereka, menegaskan negara yang dimakmurkan akan dilimpahi nikmat dan keampunan.

 

Saya pohon agar kita semua membaca ayat-ayat berikutnya iaitu Ayat 16 dari surah yang sama :

 

 

“Tetapi mereka berpaling (dari ketaatan dan kesyukuran) lalu Kami lepaskan banjir batu batan (yang membinasakan mereka) dan Kami tukarkan dua kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kebun yang ditumbuhi pokok-pokok ‘khamt’ dan pokok-pokok ‘athl’ serta sedikit-sedikit pokok bidara.”

 

Yakni, manakala mereka bersikap takabbur dengan kesenangan dan kemewahan dan tidak sabar menghadapi kesusahan, mereka lantas berpecah-belah dan Allah membinasakan mereka. Iktibar dari pengalaman kerajaan Saba’ adalah penting agar kita mengelakkan dari mengamal sifat tamak, angkuh dan takabbur atau mengkhianati amanah dengan melanggar syariat dan hukum agama; tidak faham erti syukur sebenarnya dan tidak pula bersabar. Bersyukur kepada Allah di atas nikmatNya dengan mengamalkan perintahNya mengendalikan amanahNya dengan baik; dan bersabar menghadapi ujian. Kerana angkuh dan takabburlah maka Empayar kerajaan Negeri Saba’ yang megah itu pecah dan negeri karam diganti dengan pohon belukar dan berduri.

 

Tuan Yang Di Pertua,

Sesungguhnya kita dituntut bertindak mengikut jalan sederhana dan bijaksana. Saya ingin menyeru rakan-rakan supaya menghentikan ugutan, keganasan, penafian hak asasi, mempersendakan hukum dan ulama; supaya dapat dikekalkan penyelesaian masalah cara aman dan sederhana.

 

Semoga Allah swt memberikan petunjuk; melimpahkan nikmat dan rahmat Nya.