14 Jun 2000,Berita Harian Singapura


Hakim arah peguam bela Anwar tutup kes

KUALA LUMPUR -- Peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim diperintah menutup kes mereka, meskipun terdapat bantahan bahawa mereka masih ada saksi yang hendak dipanggil dalam perbicaraan liwat ke atas beliau.

Hakim Datuk Arifin Jaka berkata beliau akan mendengar pembentangan hujah terakhir pendakwa dan peguambela pada 21 Jun.

Perbicaraan ditangguhkan sehingga tarikh tersebut.

Beliau dijangka memberi keputusannya selepas mendengar pembentangan hujah terakhir, yang mungkin berlangsung beberapa hari.

Jika didapati bersalah, Datuk Seri Anwar boleh dipenjara sehingga 20 tahun.

Peguam kanannya, Encik Christopher Fernando, berkeras berkata kes pembelaan tidak dapat ditutup sehingga Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, harus dipanggil sebagai saksi.

"Kami tidak dapat menutup kes kerana Mahkamah Persekutuan belum memberi tahu kami mengenai rayuan yang sudah kami kemukakan," katanya.

"Maaf, tangan saya terikat. Saya terpaksa teruskan," jawab Hakim, yang menarik perhatian sebuah mahkamah rayuan telah memerintah perbicaraan diteruskan tanpa penangguhan berhubung rayuan melibatkan Dr Mahathir. -- AP, AFP.