Tragedi Kg. Medan: Penduduk Lembah Klang Sukar Menerima Penjelasan Kerajaan

Ketika hendak ke pejabat pagi ini, IB singgah disebuah gerai dan kebetulan bertemu dengan seorang rakan yang kini menjadi professor dan dekan di sebuah universiti di sini. Beliau secara terangan menyatakan sukarnya menerima penjelasan dan helah yang diberikan oleh media perdana berhubung tragedi Kg. Medan.

Di antara sebab utama beliau sukar menerimanya ialah kerana salah seorang kakitangan beliau sendiri tinggal di kawasan yang terlibat. Kakitangan ini mencerita dengan penuh lengkap insiden-insiden yang berlaku. Dia juga memetik beberapa pesanan dan cerita yang dilaporkan sendiri oleh pihak polis yang beruniform di tempat-tempat mereka. Kebanyakan cerita ini amat bercanggah dengan laporan media rasmi.

Professor tersebut bukan seorang sahaja yang berpendirian demikian. Terdapat 100,000 penduduk sekitar tempat kejadian dan perkampung sekitarnya. Mereka semua ini melihat sendiri dengan mata kasar mereka apa yang berlaku. Para penduduk ini pula bekerja di sekitar Lembah Klang. Mereka akan ke tempat kerja mereka dengan menceritakan apa yang mereka sendiri alami atau jiran terdekat mereka alami.

Jika 15 peratus dari 100,000 penduduk tadi bekerja (15,000) dan menceritakan apa yang berlaku kepada sekurang-kurangnya 10 orang rakan sekerja, maka sekurang-kurangnya 150,000 orang akan mendengar cerita itu secara langsung (first hand). Saya yakin, 150,000 percaya rakan sekerja mereka tidak berbohong.

Dari 150,000 ini mungkin berkembang kepada 6 orang setiap satu. Jika separuh dari mereka menerimanya bermakna 150,000 x 3 = 450,000 orang lagi. Menjadikan jumlah 600,000 penduduk sekitar Lembah Klang yang meragui laporan media perdana.

Teori di atas tadi berdasarkan sebaran cerita melalui rakan kerja. Bagaimana pula bagi mangsa yang tercedera dan terbunuh, mereka mempunyai saudara mara yang ramai juga. Satu lagi gelombang sebaran maklumat tersebar secara gandaan yang hampir serupa di atas. Dan jika cerita di atas kebetulan serupa dengan maklumat dari sumber-sumber lain, ianya menambah kepercayaan penduduk Lembah Klang bahawa media perdana tidak melaporkan sebenarnya apa yang berlaku.

Dan jika penduduk Lembah Klang di sekitar 3 juta orang dan mungkin 40 peratus terdiri dari mereka yang masih bersekolah, maka terdapat hampir 1.8 juta penduduk yang matang untuk berfikir dan dari bilangan itu mungkin hampir separuh atau lebih dari mereka sangsi dengan laporan media!

Kemudian ditambah lagi cerita-cerita dari saudara mara mangsa, kenalan rapat mangsa, mangsa-mangsa sendiri dan sebagainya kepada rakan, saudara mara dan lain-lain di kampung dan cerita itu dipantul balik ke Lembah Klang menjadikan bilangan mereka yang mencurigakan laporan media perdana bertambah berganda.

Tambahan pula terdapat insiden-insiden lain hampir menggemparkan dan mencemaskan seperti yang dilaporkan di Puchong, Kelana Jaya dan Sentul. Insiden-insiden ini disaksikan dan dilaporkan juga melalui “network” yang serupa seperti di atas tadi.

Ada pula penduduk Lembah Klang ini mempunyai saudara mara dan rakan taulan yang bekerja di institusi keselamatan negera seperti Polis, Tentera, dll yang mendapat akses maklumat yang lebih tepat turut “membocorkan rahsia” yang cuba diselindungi ini.

Dengan suasana telinga penduduk Lembah Klang sudah matang selepas mendengar “gembala kambing melaungkan kambingnya dimakan serigala” terlalu kerap, mereka ini bertambah bijak untuk mendengar serta menapis maklumat yang dibaca dan tonton dalam media perdana kerajaan. (Contoh-contoh sebelum ini seperti insiden Jalan Kebun, DPS Jalan TAR, Black 14, 20 Sep 1998 dsbnya).

Siapakah yang mahu dipersalahkan?

IB tertarik dengan artikel Siapa Yang Tidak Telus: Senaraikan Nama 6 Yang Terbunuh http://tranung.tripod.com/mac/kenari6.htm tulisan Kenari2001, bahawa kerajaan mesti menyenaraikan secara penuh nama-nama mangsa yang terlibat.

Pak Lah dan polis melenting bila pimpinan BA sangsi dengan kebenaran angka kematian yang dilaporkan polis. Sebenarnya, para pimpinan BA, hasil lawatannya di tempat kejadian, menerima pelbagai laporan dari para keluarga dan jiran mangsa yang terlibat. Apabila disenaraikan ianya melebihi angka yang disebut kerajaan. Cuma yang menjadi rumit ialah kerajaan tidak mengisytiharkan nama mangsa. Mungkin bila disenaraikan nama-nama mangsa, baru boleh pimpinan BA berikan nama-nama lain lagi yang tidak tersenarai untuk tindakan dan siasatan lanjut pihak polis.

Yang lebih menyulitkan lagi ialah, kini polis telah memberi angka mereka. Jika terbukti terdapat angka sebenar yang lebih – ini akan mengakibatkan kredibiliti polis tercabar (memang pun sudah tercabar banyak kali). Dan konsekuesi ini tidak dapat ditoleransikan oleh polis. Dilemanya – angka yang diberikan oleh pimpinan BA mesti dinafikan. Bagimana caranya?

Bak kata seorang rakan “as you compound a lie, you compounded the consequences”. Lebih kurang ertinya, apabila kita berbohong sekali kita sebenarnya sedang menambahkan akibat-akibatnya.

Sekian
Ibrahim Baba
16 Mac 2001