Oleh Pena Suasa

 

Peluang BA Berkuasa Di Selangor

 

SEKALI lagi Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad (PM) memperlekehkan kepimpinan Umno Selangor dengan menolak syarat yang mereka kenakan dalam memilih Menteri Besar (MB).

Pemilihan Dr. Mohamad Khir Toyo sebagai MB sekaligus membuktikan Dr. Mahathir sendiri sudah tidak percaya kepada Ketua-ketua Umno Bahagian di Selangor yang ada, khususnya di kalangan Timbalan Menteri Besar, Exco dan Adun.

Dr. Mohamad Khir adalah ‘dari kem Dato’ Seri Abu Hassan Omar’ bekas MB yang lalu. Sebelum ini, Abu Hassan berusaha keras mahu meletakkan Dr. Mohamad Khir sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri Selangor dan mengarahkan Setiausaha Politiknya, Dato’ Aziz Mohd Noh menjalankan kerja memastikan Jaya Kesuma disingkirkan.

Apa lagi yang ketua-ketua bahagian di Selangor hendak tunggu? Apa lagi yang mereka harapkan daripada Dr. Mahathir? Dr. Mahathir jelas menolak mereka buat kali kedua. Kali pertama, ketika Tan Sri Muhammad Muhd Taib diberhentikan dahulu, tiada seorang pun wakil rakyat di Selangor yang mendapat kepercayaan Dr. Mahathir. Tetapi disebabkan mereka semuanya bebal, tidak ada kekuatan sendiri maka mereka terima bulat-bulat kehadiran Abu Hassan yang akhirnya merosak terukkan nama Selangor akibat tuduhan skandal dan memperkayakan suku sakatnya.

Bayangkan, dari sebelas nama yang dihantar kepada Perdana Menteri tiada seorang pun mendapat tempat, malahan mereka mungkin digugurkan dari kerusi Exco.

Apa lagi Dr. Zainal Abidin Ahmad hendak tunggu? Nak tunggu kucing bertanduk ke baru nak ‘melawan’ sedikit Dr. Mahathir? Apakah Dr. Zainal Abidin tidak cukup bersih, tidak cukup syarat atau tidak cukup pelajaran yang menyebabkan namanya tercicir?

Para penyokong orang-orang seperti Dr. Zainal Abidin ini perlu meninggalkan Umno. Ajar sikit Dr. Mahathir dan baru dia tahu, kerana rakyat dia dapat duduk di situ dan bukan kerana kehebatannya. Marilah bersama-sama Barisan Alternatif (BA) dalam mencorakkan kepimpinan Selangor. Usah beri semua kuasa kepada Dr. Mahathir.

Dr. Zainal Abidin boleh terus tunggu di situ kerana dia penakut. Dia boleh terus gigit kuku setiap kali mesyuarat. Dia boleh terus lembab kerana dia bukan jenis pahlawan. Biarlah dia terus diperlekehkan Dr. Mahathir kerana dia sendiri rela diperlakukan sedemikian.

Begitu juga dengan Dato’  Mokhtar Dahlan. Sebagai Ketua Umno Bahagian dan Exco di Selangor, ini kali kedua dia terlepas peluang hanya kerana Dr. Mahathir syak dia penyokong kuat Muhammad Mhd Taib dan ‘office boy’ istana Selangor.

Orang-orang seperti Idris Abu Bakar, Dato’ Salamon Selamat, Mufti Shuib, Ahmad Bhari Abd Rahman, Zakaria Md Derus, Fatah Iskandar, Satim Diman, Shariff Jajang memang tidak layak. Mereka hanya disenaraikan bagi menjaga hati. Mereka ini semuanya tukang buka pintu kereta Menteri Besar dan kaki cium tangan sahaja. Tidak ada apa yang hendak dirahsiakan keperibadian manusia seperti ini.

Bila Muhammad dilantik menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Selangor semula, sibuklah dia jual tanah dan pungut zakat semula dari tokoh-tokoh korporat. Silap-silap dia akan perkudakan Dr. Mohamad Khir yang tidak tahu apa soal ‘tanah dan pembangunan’ di Selangor.

Para penyokong dan pendokong keADILan di Selangor, marilah sama-sama kita rapatkan saf dan susun arah tuju perjuangan dengan lebih kemas lagi.

Begitu juga para pendokong dan penyokong BA yang lain, temasuk dari Pas, DAP dan PRM. Usah berbalah dalam isu-isu kecil kerana peluang untuk menang kali ini cukup cerah. Ingat dahulu bila wakil-wakil rakyat di Kedah menolak kehadiran Tan Sri Sanusi Junid? Bila Dr. Mahathir teruskan juga niatnya untuk melantik Sanusi sebagai MB Kedah, akhirnya dari 36 kerusi Dun, PAS menang 12. Dari 15 kerusi Parlimen, PAS menang lapan. Ini satu pengajaran yang cukup baik.

Dekati penyokong Umno yang kecewa dan pujuk mereka untuk menyokong BA. Kali ini BA akan memerintah Selangor seperti yang berlaku Kelantan dan Terengganu, insyaAllah jika kita sabar dan efisen.

Yakinlah kepada kepimpinan YB Mohd Azmin Haji Ali, seorang tokoh muda yang lantang dan berani. Di Dewan Undangan Negeri Selangor, soalan yang diajukannya menyebabkan Abu Hassan ‘tidak senang duduk’ dan akhirnya meninggalkan kerusi MB.(PS)