tMK

 

19 Jun 2000

Edisi 160

16 Rabi'ul Awal 1421

 


muka depan

Sistem Kehakiman dikomersialkan?
[ download ]

Plaintif-plaintif kaya seperti Vicent Tan, Ananda Krishnan, dan Halim Saad tentu gembira. Peguam-peguam seperti V.K. Lingam juga turut gembira. Tetapi kenapa? Kerana Eusoff Chin, Ketua Hakim Negara yang bermasalah itu baru sahaja mengumumkan bahawa sistem kehakiman di Malaysia akan dikomersialkan. Majlis Hakim-Hakim Malaysia sebulat suara mencadangkan bayaran antara RM300 hingga RM500 sejam dikenakan sebagai yuran perbicaraan kepada pihak yang mngemukakan kes sivil seperti plaintif, perayu atau pemohon ke mahkamah. (Utusan Malaysia 17 Jun)

Tetapi kenapa tokoh-tokoh korporat itu gembira? Sebab mahkamah sekarang hanya terbuka kepada golongan kaya seperti mereka. Mahkamah akan lebih cekap dan pantas menyelesaikan masalah kes mereka. Tetapi kenapa hakim-hakim juga gembira? Sebab hakim-hakim yang hampir bersara seperti Eusoff Chin itu dan kini dijanjikan Perdana Menteri jawatannya akan disambung semula akan senang kerja. Tidak banyak kes baru di mahkamah. Mereka hanya akan kendalikan kes-kes yang dibawa oleh peguam-peguam seperti V.K. Lingam bagi pihak syarikat-syarikat besar sahaja. Bagi hakim-hakim itu, kes rakyat biasa yang bertimbun di mahkamah itu hanya menyibuk sahaja. Membuang masa mereka. Mereka sebagai hakim, juga manusia, sepatah kata Eusoff Chin yang bijaksana. Mereka perlukan banyak masa luang untuk bermain golf dengan tokoh-tokoh korporat terkemuka atau melancong ke luar negara bersama peguam-peguam yang mengendalikan kes-kes orang-orang kaya.

Demikianlah senario sistem mahkamah Malaysia tidak lama lagi. Majlis Hakim-Hakim yang bersidang pada 16 Jun itu sepatutnya membincangkan cara-cara untuk memulihkan imej institusi kehakiman dan mempertahankan kebebasannya dari campurtangan badan Eksekutif. Tetapi lain pula yang mereka bincangkan. Sistem kehakiman mahu dikomersialkan.

Lalu kita mahu bertanya: Apa sebenarnya tugas mahkamah? Yang kita tahu bidang kehakiman merupakan satu cabang bagi kerajaan. Dua yang lain ialah cabang Perundangan yang mengubal undang-undang iaitu Parlimen, dan satu lagi ialah cabang Eksekutif yang melaksanakan pemerintahan berdasarkan undang-undang yang digubal itu. Manakala mahkamah fungsinya sebagai tempat untuk menyelesaikan pelbagai kes sama ada jenayah dan juga sivil. Mahkamah menjadi tempat rujukan bagi mencari kebenaran dan keadilan.

Tetapi apabila bayaran dikenakan bagi kes-kes sivil, ini akan menimbulkan persoalan bahawa bidang keadilan juga mahu diperdagangkan? Yang paling terjejas ialah orang-orang miskin yang berpendapatan rendah dan juga golongan pertengahan, kelas menengah. Bagi rakyat bawahan, sekarang ini pun banyak pelanggaran hak-hak mereka berlaku tanpa mereka mampu mempertahankannya kerana tiada wang untuk mendapat khidmat guaman. Dengan peraturan baru yang ingin diperkenalkan oleh Eusoff Chin ini, maka rakyat miskin semakin susah untuk mendapatkan keadilan di mahkamah.

Memang benar mungkin ada skim untuk membantu golongan miskin dalam hal yuran perbicaraan ini. Tetapi cuba bayangkan: Di hospital, golongan miskin terpaksa meminta ihsaan untuk dikecualikan dari bayaran. Bila anak dapat belajar tinggi, sekali lagi orang-orang miskin terpaksa mengemis mendapatkan bantuan pinjaman kerajaan. Dan sekarang, apabila mahu menuntut keadilan di mahkamah, nampaknya mereka terpaksa mengemis lagi. Sampai bila keadaan seperti ini akan berterusan?

Mahkamah bukan tempat untuk orang berduit sahaja. Hakim-hakim perlu sedar ini. Rakyat biasa juga kadang kala terpaksa ke mahkamah untuk mempertahankan hak mereka. Misalnya, golongan rakyat biasa, yang tidak miskin, yang tidak kaya, tetapi memiliki tanah luas "sekangkang kera", tiba-tiba tanahnya mahu diambil secara tidak adil oleh pihak berkuasa di bawah Akta Pengambilan Tanah. Bagaimana orang itu mahu mempertahankan haknya ke atas tanah itu? Tentu dia perlu pergi ke mahkamah. Tetapi dia bukan orang berada. Apabila memikirkan dia terpaksa membayar yuran mahkamah RM300 hingga RM500 sejam, sedangkan tuntutannya belum tentu menang. Tidakkah ini akan menghalang dia dari merujuk ke mahkamah? Adilkah hal semacam ini?

Begitu juga banyak kes pekerja yang cedera, kemalangan perusahaan atau kes-kes kecuaian dalam sektor perubatan. Akan ramai orang yang teranianya sama ada dibuang kerja, atau jadi mangsa kecuaian pihak majikan atau pusat perubatan. Kenapa? Kerana mangsa atau pihak yang kerugian itu tidak sanggup pergi ke mahkamah untuk menuntut gantirugi atau pampasan. Puncanya? kerana bimbang tak terbayar yuran perbicaraan di mahkamah yang mahal itu.

Begitu juga para penduduk miskin di kawasan setinggan atau peneroka bandar yang sedikit sebanyak dalam kes-kes tertentu, mereka ada hak yang diktiraf oleh undang-undang. Beberapa kes peneroka bandar dan setinggan telah diperjuangkan dari Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan hingga ke Mahkamah Persekutuan. Tuntutan mereka ada asas. Kes mereka kuat. Dalam beberapa kes, mereka telah menang di Mahkamah Persekutuan. Proses perbicaraan itu memakan masa sampai bertahun-tahun. Pada mulanya, mereka kalah di Mahkamah Tinggi. Mereka membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan. Pihak pemaju yang ingin merobohkan rumah mereka menang. Para penduduk setinggan atau peneroka bandar itu kemudian membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan. Akhirnya mereka menang untuk mempertahankan hak perumahan mereka. Bayangkan pada masa akan datang bagi kes seperti ini. Rakyat miskin itu terpaksa mengadakan wang yang banyak untuk mendapatkan keadilan. Kerana Mahkamah hanya akan mendengar secara percuma bagi lima jam yang pertama. Selepas itu yuran akan dikenakan pada kadar RM300 hingga RM 500 sejam.

Jadi banyak ketidakadilan akan berlaku jika cadangan Eusoff Chin dan Hakim-hakim yang "arif" itu dilaksanakan. Tetapi lucunya, Eusoff Chin menyebut Singapura dan Hong Kong sebagai contoh negara yang telah memperkenalkan sistem bayaran yuran mahakmah itu. Kita mahu bertanya kepada Ketua Hakim Negara yang bijaksana itu: "Sejak bila Malaysia perlu belajar perkara-perkara seperti ini daripada Singapura dan Hong Kong?" Singapura bukan sebuah negara yang patut dibuat contoh teladan dalam soal berhubung keadilan. Ia sebuah negara kota dagang yang mengutamakan komersial. Hong Kong pula bukan sebuah negara yang berdaulat. Ia sebuah wilayah autonomi, dengan sistem perundangan sendiri. Namun ia berada di dalam sebuah negara yang mempunyai sistem perundangan yang jauh berbeza daripada Malaysia.

Ketua Hakim Negara berkata lagi, bahawa tujuan bayaran mahkamah ini untuk mengatasi beratus ribu kes yang tertangguh. Tentu ada cara lain untuk mengatasi masalah lapuk yang diwarisi sejak bergenerasi itu. Tentu sekali bukan dengan cara mengenakan bayaran ke atas plaintif, pemohon atau perayu yang membawa kes sivil mereka ke mahkamah untuk mendapatkan keadilan. Jika sistem ini mahu diperkenalkan juga, sudah barang pasti, ia akan menjadi satu kelucuan. Mahkamah kita akan menjadi seperti tempat letak kereta. Masa letak kereta itu dikira oleh meter. Meter akan membaca berapa lama kereta itu berada di kawasan letak kereta itu. Apabila keluar kena bayar.

Itu di tempat letak kereta. Di mahkamah siapa yang akan jaga jam tentang banyak mana masa hakim digunakan untuk sesuatu perbicaraan. Kalau pihak plaintif dan peguam asyik melihat jam sahaja, mungkin ada ketergesaan supaya kes itu segera ditamatkan bagi mengelakkan beban bil yuran perbicaraan. Lalu dengan cara ini mahkamah akan jadi seperti pasar borong menjual ikan- di mana timbangan tak perlu dibuat secara teliti, ambil agak patut sahaja. Jika ikan yang ditimbang, tidak mengapa juga. Tetapi bagaimana kalau keadilan yang sedang ditimbang?

Cukuplah sudah, air, elektrik, pos, telekom, sistem kumbahan, lebuhraya, pendidikan universiti dan beberapa aspek hospital telah diswastakan oleh kerajaan. Mengapa sampaikan soal keadilan juga mahu dikomersialkan? Sudah bangkerap sangatkah Malaysia ini? n

tMK