UMNO: CHE DET KEPALA “TIDAK BEGITU BETUL”!

KOMENTAR: Tarmizi Mohd Jam

 

Betapa Umno yang ada sekarang turut dipenuhi oleh orang-orang yang tidak begitu betul telah diakui sendiri oleh Presidennya, Mahathir Mohamad. “Jelas, untuk bersihkan politik parti bukan sesuatu yang mudah. Kalau ada orang yang “tidak begitu betul”, maka politik wang akan berlaku”, katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno 17 April lalu.

 

Dalam kenyataannya itu, Mahathir turut mendedahkan perangai buruk ahli-ahli partinya, terutama mereka yang menjadi perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno. Kata beliau, “Ini (membanteras politik wang) bukan sesuatu yang mudah dilakukan kerana kita dapati ada juga mereka yang akan menjadi wakil ke perhimpunan agung ini cuba mendapatkan sesuatu dengan berjumpa dengan calon-calon, jika ingin mendapatkan undi daripada mereka”.

 

Dua hari selepas itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengesahkan berlakunya kes politik wang membabitkan calon-calon MT. Jawatankuasa itu, katanya sedang menyiasat sekurang-kurangnya tiga kes politik wang bersama bukti kukuh.

 

Ada pihak yang menyifatkan bahawa satu-satunya persamaan antara Perhimpunan Agung Umno dahulu dan sekarang ialah pakaian perwakilannya. Baju Melayu, songkok dan sampin bagi yang lelaki. Manakala bagi yang perempuan pula ialah baju kurung dan selendang. Ada pun aspek-aspek yang lain, keseluruhannya amat berbeza.

 

Delegasi Umno dahulu kebanyakannya dipenuhi guru-guru, kakitangan kerajaan dan ahli perniagaan yang menghayati perjuangan sedari usia muda. Mereka hadir ke ibukota dengan menaiki bas atau keretapi, dan menginap di hotel kelas ekonomi atau rumah tumpangan.

 

Umno Alaf Baru pula dipenuhi oleh para aktivis muda yang berpendidikan tinggi dan mempunyai pekerjaan yang baik. Mereka datang dengan kereta sendiri, atau dengan khidmat kapalterbang dan menginap pula di hotel-hotel kelas pertama. “Kemewahan” yang mereka kecapi itu ada sebabnya. Pertama, mungkin kerana mereka memang berpendapatan agak lumayan. Kedua, mungkin kerana kehadiran mereka mendapat sponsorship daripada pihak-pihak tertentu, terutamanya pihak yang mahu mengekalkan reputasi kepimpinan masing-masing atau sedang merebut sesuatu kedudukan dalam parti. Rupa-rupanya pendidikan yang tinggi dan pekerjaan yang baik serta usia yang muda itu gagal menjadi satu aset berguna untuke menguatkan Umno.

 

“Ramai antara mereka mula berjuang untuk kepentingan peribadi dan bukan lagi demi parti dan orang ramai”, kata Tan Sri Aziz Tapa, seorang veteran Umno yang masih setia dengan perjuangan asal Umno. Beliau turut percaya bahawa delegasi generasi baru ini lebih cenderung menggunakan wang untuk mencari kedudukan di dalam parti.

Kenyataan kedua-dua pemimpin utama Umno dan juga pengamatan veteran parti itu secara kesimpulannya mendedahkan bahawa politik wang memang wujud dalam Umno. Manakala orang yang terlibat dengan politik wang ini, sama ada pemberi atau penerima, telah disifatkan oleh Presidennya sendiri sebagai “tidak begitu betul”. Mengaku atau tidak, itulah perangai yang mendominasi politik dalaman Umno kini.

 

Dalam ertikata yang lain, orang-orang yang, menurut Mahathir, “tidak begitu betul” inilah yang mewarnai politik Umno kini. Itu bermakna kerajaan yang ada sekarang juga turut diwarnai sebahagiannya oleh orang-orang yang menurut Mahathir “tidak begitu betul” itu. Inilah yang geli geleman untuk diulas panjang. Mahathir mengakui secara berjela-jela tentang wujudnya ahli Umno yang “tidak begitu betul” dalam parti Umno (Baru) nya itu. Sama ada benar atau tidak, ini diakui sendiri oleh Mahathir.

 

Sebagai penganalisis politik, tidak segan silu untuk saya membuat hepotesis bahawa Mahathir pula KEPALA kepada ahli-ahli Umno yang “tidak begitu betul” itu. Alangkah terperangjatnya kita bila membelek-belek kenyataan Mahathir pada bulan April, lalu. Pengakuannya adalah pendedahan berani. Mengganggap ahli-ahli dan para perwakilan Umno sebagai orang yang “tidak begitu betul” ibarat meludah ke langit. Air liur tersembur, balik-balik Mahathir juga menadah muka. Macam orang tak tahu, beliau juga seorang  yang “tidak begitu betul” apabila pengikutnya berperangai seperti yang dikaitkan tadi. Akhirnya, Mahathir sendiri disahkan sebagai pemimpin yang mengepalai orang-orang “yang tidak betul” itu. Mereka dituduh tidak betul kerana terlibat “kununnya” dengan politik wang dan rasuah!

 

Hari ini Che Det pula didedahkan terlibat dalam rasuah, menyekat BPR dari menyiasat adanya rasuah dan politik wang dalam kerajaan di Unit Tindakan Ekonomi JPM. Ali Abul Hassan dipertahan, diselindungi dan dipayungi habis-habisan.  Mahathir sendiri bisu seribu kata-kata terhadap rasuah yang melibatkan merudumnya Perwaja Steel kendalian Tan Sri Eric Chia, dan memekakkan telinga terhadap isu pemberian saham kepada menantu Rafidah Aziz. Hari ini juga, barulah orang Melayu tahu, siapa yang “tidak begitu betul”. Hari ini juga, baru mereka tahu, kepala orang yang “tidak begitu betul” itu ialah Che Det yang menyorak “pencuri, pencuri, pencuri” sambil berlari-lari mengah “kununnya” ada pencuri di depannya sedang dikejar. Rupa-rupanya, dia sendirilah “pencuri” yang dijerit-jerit sambil terjelir-jelir lidah.

 

Ahli dan perwakilan Umno yang terlibat dengan politik wang dan rasuah semasa kempen pemilihan Umno Mei lalu dikatakan oleh Mahathir sebagai orang yang “tidak begitu betul”. Maka dengan terjumpanya penemuan yang lebih baru dan tangkas ini, sudah tentulah Mahathir sendiri lebih afdal dan amat layak menjadi kepala orang yang “tidak begitu betul” itu!

 

Rakyat yang sedar akan hakikat ini tentu sekali merasa malu dan tebal muka untuk terus berkerajaankan sebuah parti yang didominasi oleh orang-orang yang “tidak begitu betul”. Kecualilah rakyat itu sendiri tergolong dalam kalangan yang “tidak begitu betul”. Cukuplah setakat Umno saja yang “tidak begitu betul” itu. Teman dah getek bebeno dengan koje kome....udah lee tak sape sio pangkah lagi!!