MAHATHIR: PIL KUAT ATAU BOM JANGKA?

KOMENTAR: Tarmizi Mohd Jam

 

Gombak Ria: Mahathir terus cuba menutup isu rasuahnya. Presiden Majlis Peguam, tidak jadi diambil tindakan. Mahkamah berpuashati dengan alasan dan sebab musabab yang dikemukakan oleh peguam kepada hakim, semalam. Signal ini juga, pastinya langkah-langkah diplomasi untuk tidak memanjangkan “pertelingkahan” antara Majlis Peguam dengan badan Kehakiman itu. Kalau terus bertelagah, berselisih, bertembung; Mahathir bimbang ia akan menyeret kesnya ke mahkamah jua akhirnya. 

 

PM yang berada di Kaherah tidak pula bercakap tentang “rasuah” yang melibatkan dirinya. Majlis Peguam hanya dituduh sebagai alat politik untuk mengelirukan rakyat. Mahathir terus menembak; “Ketuanan Melayu tidak boleh dikekalkan dengan sekadar jaminan Perdana Menteri mesti daripada kalangan Melayu”.  Bagi Mahathir, beliau lebih percaya tentang kekuatan Melayu hanya boleh dipertahankan jika orang Melayu itu sendiri berusaha menjadi kaum yang terkuat di Malaysia.

 

Cukup jelas. Kenyataan itu menyimpan nada perkauman sempit. Katanya, orang Melayu boleh bertahan dalam negara ini, apabila mereka mantap dalam segala segi. Ini memang diakui! Tidak siapa mahu mempertikaikan keinginan murni itu. Orang Melayu mestilah memperlengkapkan diri mereka dengan pelbagai ilmu, pengetahuan dan teknologi bagi menghadapi persaingan yang makin melebar pada masa depan. Tanpa ini semua, orang Melayu  yang menjadi “tuan punya” Malaysia ini, akan terkulai layu akibat tenggelam dalam nostalgia silam.

 

Mahathir menyifatkan, orang Melayu tidak boleh menjadi yang “terkuat” dengan berpegang kepada kepercayaan jawatan Perdana Menteri itu mestilah terdiri dari mereka yang berbangsa Melayu. Jaminan ini katanya, tidak akan memberi makna sekalipun orang Melayu itu dipanggil “tuan” di tanahair sendiri. Isyarat terbaru Mahathir itu, mahukan orang Melayu menjadi bangsa yang terkuat. Terkuat dalam segala segi yang boleh menyaingi bangsa-bangsa lain dalam satu “perlumbaan” politik di negara ini.

 

“Pil Kuat” yang dipertkenalkan Mahathir ini, tentunya akan menimbulkan rasa tidak senang kaum Cina dan India yang duduk sebangku dengan Umno dalam BN. Umno jelas menolak konsep Malaysian Malaysia, gagasan DAP yang menyerupai “keinginan” Mahathir untuk melihat suatu bangsa Malaysia di negara ini. Tetapi dengan perkembangan terbaru, Mahathir sudah mengecewakan orang-orang Cina dan India, yang sudah tentu inginkan satu bangsa Malaysia yang aman damai.

 

Mahathir sudahpun memperkenalkan “pil kuat” untuk orang Melayu menjadi bangsa yang terkuat di Malaysia. Terkuat bermakna tenaganya, keupayaannya, kuasanya dan kekentalannya mengatasi apa yang ada pada bangsa Cina dan India. Ini suatu perlumbaan. Mahu tidak mahu, perlumbaan adalah suatu peperangan politik antara kaum. Untuk menguatkan bangsa Melayu seperti yang dicakapkan Mahathir itu, tentunya bukan sahaja menggalakkan mereka menelan seberapa banyak “pil kuat” yang diperkenalkan itu tetapi dalam masa yang sama, pentas yang sama dan negara yang sama, tentu sekali bangsa Melayu yang dimaksudkan Mahathir itu juga “terpaksa” mengambil langkah-langkah dan tindakan drastic secara politiknya dalam melemahkan bangsa lain yang menjadi saingan kepada Melayu tadi. Perlumbaan yang diperkenalkan Mahathir ini adalah perlumbaan politik. Dalam politik, semua boleh terjadi. Apatah lagi, kegemaran Mahathir menuruti aktiviti politik menghalalkan cara, amat menakutkan bangsa lain. Taktik dan strategi “kotor” juga boleh terdedah dalam perlumbaan begini. Mengejar kuasa akan menolak soal kebenaran. Mempertahankan kuasa juga, akan menggelapkan keadilan dan keputihan.

 

Bunyinya indah; “Ia hanya boleh dijamin dengan berusaha menjadi kaum terkuat di negara kita. Daripada segi pelajaran, penguasaan ilmu, teknplogi, perniagaan dan sebagainya,” kata Mahathir kepada wartawan Malaysia di Kaherah, semalam. Maknanya, Mahathir cuba mencampakkan “pil kuat” yang diperkenalkannya itu untuk “membenamkan” kaum lain supaya bangsa Melayu menjadi bangsa yang terkuat di Malaysia. Jika Mahathir menafikan kenyataan sebegini, tentu sekali, “pil kuat” tadi tidak banyak memberi erti kepada perlumbaan kuasa di negara ini.

 

Mahathir terus menerangkan sebab-musabab mengapa jawatan Perdana Menteri Malaysia itu boleh juga disandang oleh kaum-kaum lain seperti Cina dan India. Alasannya berlapik, itupun kalau semua rakyat negara ini menerimanya. Ketidaktegasan Mahathir itu, telah mendorong kaum-kaum lain terutama dari MCA+Gerakan dan MIC membuat tuntutan politik dari sehari ke sehari. Apatah lagi, Mahathir dilihat sebagai PM yang kurang kecintaannya terhadap bangsa Melayu yang mendokong cita-cita politiknya selama ini. Menjadikan Melayu bangsa terkuat sekaligus akan mewujudkan “perlumbaan haram” dikalangan parti-parti perkauman sempit seperti Umno, MIC dan MCA+Gerakan  demi untuk mengejar ketuanan dan kekuasaan peringkat tinggi.

 

Bercakap dalam Perhimpunan Agung MCA, Mahathir “kununnya” bersikap terbuka untuk membuka laluan menjadi PM di kalangan  bukan Melayu. Di Kaherah pula, beliau memperkenalkan “pil kuat” untuk menyaingi kaum-kaum lain. Tujuannya, untuk meningkatkan semangat orang Melayu agar “kununnya” lebih kuat menelan “pil kuat” yang diperkenalkannya itu. Untuk menjadi bangsa yang “terkuat”, Mahathir lupa kenyataannya itu boleh ditafsirkan sebagai suatu “peristiharan perang” terhadap kaum lain di negara ini.

 

Jika dalam perlumbaan senjata, apabila sesebuah negara “A” membeli senjata apa jenis sekalipun, maka sudah tentulah negara jirannya juga terpaksa melangkapkan diri dengan senjata yang sama atau lebih canggih dari apa yang dibeli oleh negara “A” tadi. Negara jiran itu, tentunya bimbang dengan tindakan negara  “A” yang sedang memperlengkapkan diri dengan pelbagai senjata. Khuatir, takut-takut diserang dan dijatuhkan dalam  keadaan lemah dan tidak kuat. Perlumbaan senjatapun berlaku, apabila negara “A” tadi cuba untuk menjadi negara yang terkuat di rantau sekian, sekian atas permukaan bumi ini.

 

Apakah Mahathir sedar dengan “pil kuat” yang diperkenalkannya itu? Bagaimana sikap kaum-kaum lain yang mewakili MCA, Gerakan dan MIC? Mungkinkah mereka duduk diam melihat orang Melayu menelan dan mengunyah “pil kuat” Mahathir itu bergantang-gantang banyaknya… Sedangkan mereka tahu, jika bangsa Melayu menjadi bangsa  “terkuat”, maka mereka pula pastinya, mahu tidak mahu, akan menjadi bangsa yang lemah atau tidak sekuat bangsa Melayu tadi. Dalam kepala mereka, “pil kuat” yang diperkenalkan Mahathir adalah “bom jangka” bagi dunia mereka. “Perlumbaan haram” ini baru dimulakan oleh Mahathir…implikasinya belum boleh dihidu!