Mahathir PM Terakhir Dari Spesis Umno…

KOMENTAR Tarmizi Mohd Jam

 

Gombak: Maharisrisme makin  menebal dalam Umno. Kini, PM dan Presiden Umno, Mahathir Mohamad sudah menjangkau 20 tahun menguasai pentadbiran negara dan pucuk pimpinan Umno. Tempoh 20 tahun yang berlalu, harapan orang Melayu dan Umno khususnya terlalu tinggi terhadap Mahathir. Malangnya kini, harapan itu tidak kesampaian.

Surat terbuka Mahathir kepada Tun Abdul Rahman pada tahun 1969 lebih merupakan perasaan marahnya kepada Tunku kerana kekalahan beliau dalam pilihanraya umum 1969 itu. Mahathir ditumpaskan oleh Haji Yusuf Rawa dari PAS di Kota Setar Selatan.

Mahathir menyatakan Tunku Abdul Rahman nyanyok dan gila kuasa. Usia Tunku ketika itu hanya 65 tahun. Hari ini Mahathir sudah berusia 75 tahun. Jadi terserahlah kepada masyarakat untuk menilai siapakah yang nyanyok dan gila kuasa.

Mahathir sebenarnya menolak Ketuanan Melayu dan juga Perjuangan Melayu, sebaliknya berkehendakkan Ketuanan Malaysia dan Perjuangan Malaysia, dalam agenda Bangsa Malaysia. Beliau tidak banyak membuat perubahan kepada orang Melayu, kecuali kepentingan beberapa orang. Perjuangan Melayunya hingga menyebabkan tidak ada lagi simpanan harta generasi Melayu akan datang.

Dasar-dasar kerajaannya lebih banyak merugikan dari segi jangka panjang. Betapapun, beliau megah dengan pelaksanaan projek-projek mega dan megahnya dalam jangka pendek. Namun begitu, inilah Mahathir yang memimpin negara Malaysia dan Umno hari ini. Inilah Mahathir yang enggan mempertandingkan jawatan Presidennya dan Timbalan Presidennya, kerana khuatir akan kalah dan tidak lagi menguasai “kuasa” dalam kerajaan mahupun dalam Umno.

Pertandingan dalam Umno tidak salah. Arahan MKT itu hanyalah muslihat, jika ianya baik untuk perpaduan parti. Namun begitu, arahan itu, jelas bertentangan dengan semangat Perlembagaan Umno yang mengkehendaki setiap jawatan mesti dicalonkan oleh persidangan Perwakilan Umno Bahagian, setiap tiga tahun sekali.

Masalahnya sekarang, seperti yang dibangkitkan oleh ahli-ahli Umno akar umbi ialah terdapatnya kekosongan jawatan Timbalan Presiden, setelah penyandangnya Anwar Ibrahim dipecat pada September 1998. Sekiranya jawatan ini tidak dipertandingkan, ianya menjadi kosong untuk selama penggal perkhidmatan 2000-2003.

Ahli-ahli Umno berpendapat, sekiranya jawatan itu tidak dibebaskan untuk pencalonan, seolah-olah mengesahkan tuduhan parti pembangkang, khususnya parti PKN, bahawa Umno tidak relevan dalam mengamalkan demokrasi, bukan sahaja dalam kerajaan tetapi dalam partinya sendiri.

Bila ahli Umno memilih Ahli Majlis Tertinggi untuk tempoh tiga tahun, bukan bererti mereka memberi sekeping “blank cheque” yang boleh ditulis sesuka hati mereka, sebaliknya ada had yang perlu dirujuk semula kepada ahli-ahli melalui Perhimpunan Agung.

Usul tiada pertandingan jawatan bagi penyandang sepatutnya dibawa dalam Perhimpunan Agung Umno tahun lepas. Dengan demikian ahli umno bebas untuk menyatakan pendapat mereka.

Keputusan pilihanraya baru-baru ini, ada petanda kepimpinan Umno sudah ditolak oleh pengundi, termasuk ahli-ahli Umno sendiri.  Penilaian itu menyebabkan mereka memerlukan satu pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, bagi memahami hala-tuju ahli-ahli Umno di semua peringkat.  Sekiranya Umno mengekalkan status quo, kemungkinan besar Umno akan tewas dan terhakis kuasa Parlimen dan Negeri dalam pilihanraya umum ke 11 nanti.

Mereka memberikan pendapat sedemikian mungkin disebabkan tekanan daripada penyokong Umno diperingkat akar umbi. Kemungkinan Mahathir tidak menyedari keresahan ini. Sebaliknya Mahathir membuat alasan kononnya pertandingan akan membawa kepada perpecahan. Sebab itu, beliau seringkali mengingatkan ahli-ahli Umno agar patuh kepada nasihat MKT agar jangan ada pertandingan untuk dua jawatan teratas itu.

Ahli Umno sebenarnya tidak bersetuju dengan hujah itu. Pemilihan 1987 tidak menyebabkan perpecahan. Bila Mahathir terpilih semula menjadi Presiden, tugas pertama yang dilakukannya ialah memecat beberapa menteri dan timbalan menteri yang tidak berpihak kepadanya semasa pemilihan 1987. Ini membuktikan perpecahan itu dimulakan oleh Mahathir sendiri, padahal antara mereka yang dipecat it telah memenangi kerusi Majlis Tertinggi Umno.

Perpecahan 1987 dan pengharaman Umno 1988 adalah disebabkan “keras kepala”  Mahathir yang tidak mahu tunduk kepada tuntutan beberapa pihak supaya diadakan semuala pemilihan Umno dalam bulan April 1987, kerana terdapatnya beberapa perkara yang tidak betul seperti menipu usia dan juga cawangan tidak berdaftar menjadi perwakilan dalam Umno bahagian.

Jika Mahathir tidak “keras kepala”,  sebaliknya berpegang kepada kata-kata “saya tidak penting dan yang penting ialah Umno”, kemungkinan besar perkara Umno tidak akan dibawa ke mahkamah.

Pada pemilihan 1981 dan 1984, Mahathir mengekalkan Ku Li dan para penyokongnya dalam kerajaan. Maka pada pilihanraya 1982 dan 1986, Umno berjaya dengan kemenangan besar. Pada tahun 1999, Majlis Tertinggi menangguhkan pemilihan Umno, maka Umno menghadapi kekalahan 32 kerusi daripada 104 yang dipertandingkan dalam pilihanraya itu. Mana relevannya pendapat yang menyatakan Umno akan berpecah jika ada pertandingan dalam jawatan tertinggi parti.

Sebenarnya, yang boleh memecahkan parti ialah apabila pemimpin mempertahankan jawatannya setelah ahli parti mempunyai pilihan untuk menerajui kepimpinan parti. Allahyarham Datuk Onn Jaafar, Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan Allahyarham Tun Husein Onn adalah antara contoh pemimpin yang mementingkan parti dan meletakkan jawatan setelah adanya pertentangan pendapat, dan bukannya dia dicabar dalam pemilihan jawatan tertinggi.

Hakikatnya, ahli-ahli Umno sekarang kebanyakkannya tidak matang. Tetapi hanya pada zaman Mahathir sahaja, kerana sikapnya yang tidak mempunyai hubungan langsung dengan ahli Umno.

Di zaman kepimpinan dahulu, Presiden Umno mempunyai pintu terbuka. Kesemua masalah parti ada dalam pengetahuan Presiden dan diselesaikan secara lansgung oleh Presiden. Selemah-lemah Tun Husein Onn dan di zaman Tun Razak, Umno terlalu dekat dengan Presiden.

Perbandingan ini menunjukkan ahli-ahli Umno sudah diasuh takut kepada pemimpin, dan menganggap pemimpin sebagai “tuhan” nombor dua dan juga maksum. Tambahan pula pemimpin bahagian sudah mula bergantung hidup dengan Umno. Untuk mendapat kemewahan sudah pasti terpaksa menyokong kepimpinan ketua, walaupun dia sedar ketua itu lebih bodoh daripada dia.  Akibatnya, Umno dilanda krisis keyakinan dari kalangan ahli-ahli Umno sendiri diperingkat akar umbi. Mereka menghukum Umno dalam pilihanraya umum yang baru lalu. Siapakah yang hendak disalahkan apabila tragedi begini terjadi?

Kekalahan ini mestilah diterima dan ketua mesti bertanggungjawab. Jika kita berperang, kesilapan seorang jeneral boleh menyebakan kehilangan  berjuta nyawa. Kekalahan ini mestilah dipikul oleh Mahathir sendiri. Dia tidak boleh lari dari tanggungjawab kekalahan itu. Kebencian ahli-ahli Umno dan para pengundi telah disalurkan ke dalam peti-peti undi sebagai tempat meluahkan kebencian itu, dalam pilihanraya lalu.

Sebenarnya Mahathir tidak kuat selaku Presiden Umno. Dia merasakan dia kuat, tetapi sebenarnya dia tidak dihormati. Ahli Umno diperingkat pemimpin hanya takut kepadanya. Itu sebabnya ahli Umno tidak menghormati beliau, sehingga mereka tidak komited dalam pilihanraya umum lalu.

Kesilapan terbesar Mahathir ialah melantik mereka yang bertaraf Menteri Besar  dan Ketua Menteri menjadi Pengerusi Umno Negeri. Ini tidak berlaku di zaman sebelumnya, di mana kesemua Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri diketuai oleh seorang menteri kabinet yang datang dari negeri berkenaan.

Memberikan jawatan pengerusi kepada Menteri Besar dan Ketua Menteri akan menjadikan penyandang berkuasa penuh untuk bertindak meletakkan calon pilihanraya yang menguntungkan politiknya. Menteri Besar dan Ketua Menteri tidak merasa bertanggungjawab kepada parti, cukup kepada Presiden atau Perdana Menteri.

Dulu chek and balance seorang Menteri Besar dan Ketua Menteri dilakukan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri yang merupakan seorang menteri kerajaan Pusat. Sebarang masalah parti dapat diselesaikan segera, dan semua dasar dapat disampaikan segera kepada Menteri Besar atau Ketua Menteri. Sekarang terdapat menteri kabinet yang takut dengan Menteri Besar atau Ketua Menteri dan juga tidak tahu apa perkembangan di negerinya, kerana tidak “dimaruahkan” oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Bilakah reformasi dalam Umno akan berlaku? Jika senario begini terus-terusan dilangsungkan, kemungkinan Umno bertembung dengan masalah dalaman, tidak dapat dielakkan. Ramai kalangan ahli-ahli Umno percaya, reformasi dalaman tidak mungkin boleh dilakukan kerana ia sepatutnya telah dijalankan 10 atau 20 tahun dahulu. Dalam pilihanraya umum ke 11 nanti, Umno pasti akan ditolak oleh  orang Melayu secara total, kerana mereka telah mempunyai parti alternatif lain, khususnya PAS.

Jika ada reformasi dalaman hanya berlaku waktu Umno tidak menjadi tunjang BN lagi. Nasib Umno sama dengan yang telah dialami oleh Usno di Sabah. Betapapun Usno cuba mengadakan reformasi dalaman, dengan menukar kepimpinannya, namun kepimpinan yang diasuh oleh Allahyarham Tun Mustapha Datu Harun tidak berjaya membetulkan imej Usno yang rosak teruk. Begitu juga halnya dengan Umno, jika ada pemimpinnya yang diganti ditunjuk oleh Mahathir, maka Umno akan terus rosak dan binasa.

Namun begitu, berdasarkan pengamatan sesiapapun, dalam Umno tidak mungkin ada orang yang akan mencabar Mahathir. Bukan kerana tiada calon lain tetapi disebabkan ketakutan yang diwujudkan oleh Mahathir sudah  menjadi sebati kepada ahli-ahli Umno.

Lagipun Mahathir tahu bahawa Umno akan tewas dalam pilihanraya umum akan datang. Jadi ia merasakan biarlah Umno tumbang dalam pilihanraya kerana sudah tidak ada lagi orang lain yang boleh menjadi Perdana Menteri atas nama Umno pada waktu itu! Mahathirlah PM terakhir dari Umno…