RASUAH: MAHATHIR LEBIH LICIK DARI BELUT!

KULIAH 5 MINIT: Tarmizi Mohd Jam

 

Akibat terlalu ghairah untuk “mengambil” hati kaum Cina, Mahathir menampilkan resepi baru kepada mereka. Tujuannya bagi mengukuhkan sokongan kaum itu kepada Umno melalui BN. Atau lebih tepat lagi, memberikan “taatsetianya” kepada Mahathir sebagai Perdana Menteri. Amanat Mahathir di Perhimpunan Agung MCA itu juga, lebih merupakan “azimat” dan “tangkal” bagi menyelamatkan maruah Ling Liong Sik, Presiden MCA yang baru pulih dari merajuk.

Menyelamatkan Liong Sik amat penting bagi Mahathir. Kejayaannya memujuk atau membuat “tukar-ganti” supaya Liong Sik terus memimpin Kementerian Pengangkutan masih menjadi misteri. Tidak siapa tahu, apakah janji Mahathir terhadap MCA pada kali ini. Sepertimana tidak siapa tahu, apakah pula “permintaan” parti Cina itu dari Perdana Menteri yang sudah “pening kepala”. Yang jelas, tertegaknya Liong Sik di kementerian itu semula,  beberapa masalah “perniagaan” yang melibatkan anak-anaknya lebih mudah dibereskan.

Ramai pemerhati politik sependapat, isu “kununnya” orang Cina atau orang India boleh memimpin negara ini adalah isu Mahathir untuk mengalihkan “pemerhatian” rakyat dari  terus “membeliakkan biji mata” terhadap ketempangan perilakunya dalam  “rasuah” yang melibatkan Tan Sri Ali Abul Hassan, bekas Ketua Pengarah Unit Tindakan Ekonomi JPM. Mahathir juga dengan sengaja membesar-besarkan cerita metosnya; selain dari beliau,  orang Cina juga boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia bagi mencapai  niat untuk “menggelapkan” mata rakyat dari  “melihat” pakatan tersembunyi di sebalik “cuti manusia elit” Ketua Hakim Negara, Tun Eusuff Chin dengan peguam kesayangannya, Dato’ V.K Linggam di New Zealand.

Mahathir sebenarnya sudah mulai lemas dan rimas dengan kedua-dua isu ini. Ia jelas melibatkan dirinya tanpa boleh bersembunyi disebalik batang lalang lagi. Mahathir bimbang, jika rakyat keluar beramai-ramai ke jalan raya seperti ketika mereka “menentang” pemecatan Anwar dulu, maruahnya kian tercabar. Kebimbangannya berasas, bahawa sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Ini yang ditakuti Mahathir, sekalipun beliau kebal ditembusi apa-apa jenama undang-undang dalam negara ini.

Dalam Perhimpunan Agung Umno Mei lalu, Mahathir telah menyuarakan kebimbangan itu kepada para perwakilan dan ahli-ahli Umno. Katanya, kakitangan kerajaan sudah terang-terang menyokong pembangkang. Ia merujuk kepada “fenomena” ketika pilihanraya umum lalu. Keadaan yang sama juga terjadi di Teluk Kemang apabila undi pos tentera memberi signal masih bersama BA. Kekhuatiran Mahathir itu mungkin juga, sudah terngiyang-ngiyang dan berputar-putar dalam kepalanya tentang gelagat jentera kehakimannya. Bagaimana kalau ada antara mereka yang belot?

Minggu lalu, saya membuat pertanyaan dalam artikel siber ini bertajuk “Rasuah: Siapakah Berani Tangkap Mahathir?” ketika mengulas isu yang didedahkan oleh bekas Ketua Pengarah BPR, Datuk Shafie Yahya di mahkamah 12 Jun 2000. Mahathir kata Datuk Shafie telah mengarahkan beliau agar menutup kes siasatan yang melibatkan Tan Sri Ali Abu Hassan yang ketika serbuan dibuat, menjumpai wang tunai RM100,000 di dalam pejabatnya. Abu Hassan disyaki terlibat dalam rasuah itu. Sementara Mahathir pula, cuba melindungi Abu Hassan atas kuasa politiknya sebagai Perdana Menteri, walaupun beliau tahu itu kerja salah di sisi undang-undang negara. Isu ini, amat berat dan lebih teruk dari apa yang dihadapkan oleh Mahathir ke atas Anwar Ibrahim yang “kununnya” terlibat dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Hari ini, Allah SWT, Tuhan Yang Maha Esa, menunjukkan kepada rakyat Malaysia atas isu yang serupa. Mahathir telah menggunakan kuasanya untuk menutup isu yang mengaibkan negara. Malah dengan niat dan sangkaan jahat, Mahathir menuduh Datuk Shafie berbuat demikian kerana menerima arahan Anwar yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri, untuk memerangkap “orang-orangnya”.

Mahathir mengharapkan, dengan mengalihkan isu ini kepada isu baru, ia akan menamatkan terus dari dibincangkan oleh rakyat, media dan pembangkang. Rupa-rupanya tidak. Isu orang bukan Melayu boleh menjadi PM, terus memberatkan kepala hotak Mahathir. Ramai juga pemimpin yang sekutu dengannya, cuba menyokong isu ini tetapi tidak disambut. Orang Cina lebih tahu tujuan Mahathir. Selain untuk menukar chanel isu, Mahathir sebenarnya sedang “mengugut” orang Melayu atas nama ugutan politik. Mahathir cuba menakut-nakutkan mereka dengan “ancaman” orang Cina dan India, jika orang Melayu terus berpecah, “kununnya”.

Kelicikan Mahathir ini sedang dipantau oleh rakyat. Mereka mulai meluat dan getek terhadap tingkah laku PM itu. Khabarnya, Ibu Pejabat Umno juga turut menerima pelbagai panggilan telefon dari ahli-ahli, bertanyakan tentang “repekkan” baru Mahathir itu. Kata mereka, dulu Mahathir tendang Hak-Hak Keistimewaan Orang-Orang Melayu, hina guru-guru Melayu di sekolah Cina, dan hari ini nak bagi jawatan PM kepada MCA dan MIC pula. Rungutan mereka ini, katanya, amat merunsingkan Ibu Pejabat Umno dan menurut satu sumber, Setiausaha Kerja, Tengku Adnan sedang menyiapkan teks jawapan bagi menangkis dan membetulkan apa yang diucapkan oleh Mahathir untuk penjelasan kepada ahli-ahli dan bahagian-bahagian Umno.

Kenyataan Mahathir itu, sebenarnya tidak popular. Ia mengundang lebih banyak masalah baru terhadap Umno dan dirinya. Percubaannya untuk mengalihkan isu “rasuah” yang melibatkan anak-anak buahnya itu, kelihatan gagal. Tindakan menyeret Presiden Majlis Peguam Malaysia, Sulaiman Abdullah sebagai “menghina mahkamah”, sekaligus menerbangkan isu PM bukan Melayu ke tempat asalnya. Sebaliknya pula, kewibawaan Mahathir dan system kehakimannya terus dipersoalkan!

Majlis Peguam cuba untuk mencadangkan supaya sebuah tribunal ditubuhkan bagi menyiasat kontroversi percutian Tun Eusoff Chin di New Zealand pada tahun 1994 bagi mengembalikan ketelusan system perundangan negara. Bagaimanapun, usaha yang dikatakan “didalang” oleh Mahathir untuk mengambil tindakan injuksi mahkamah menghalang mesyuarat luar biasa majlis itu yang akan diadakan pada 24 Jun ini, terus memanjangkan perbahasan yang cubadibungkus oleh Perdana Menteri.

Sehingga semalam, Peguam Negara, BPR dan pihak polis belum membuat apa-apa kenyataan sama ada akan menyiasat Mahathir ataupun tidak. Masing-masing kelu tidak terkata dan cuba menyelamatkan periuk nasi mereka. Rais Yatim juga, hanya lancang dalam isu Tun Eusoff Chin tetapi menikus apabila “kemungkaran politik” dilakukan oleh tuannya. Menurut sumber, Rais adalah bakal Peguam Negara merangkap Menteri Undang-Undang, jika rombakan kabinet dilakukan oleh Mahathir. Sementara, Mohtar Abdullah dikatakan akan diangkat Ketua Hakim Negara yang baru. Kemajuan ini, tentunya menyulitkan lagi Mohtar dan Rais untuk bertindak terhadap tuanya yang dituduh terlibat melindungi perasuah dan melakukan rasuah terkutuk itu! Jika benar, inilah kebijaksanaan Mahathir bermain politik. Ternyata Mahathir lebih licik dan licau daripada belut di dalam selut…