KHABAR ANGIN YANG MENAKUTKAN MAHATHIR!

Komentar: Tarmizi Mohd Jam

 

Gombak: “Khabar Angin” menjadi istilah pendinding Mahathir untuk menolak dan menafikan “kununnya” berlaku krisis antara beliau dengan Daim, Menteri Kewangannya. Bercakap kepada wartawan di Tokyo, Mahathir menggunakan method reverse psaikology untuk mengalihkan “keyakinan” tandatanya para pengamal media berkenaan isu “panas” itu. Katanya, “khabar angin” ini amat sukar untuk dihalang kerana semua mendakwa “mereka tahu segala-galanya”. 

 

Mahathir mengeluh “kununnya” setiap kali beliau menjelaskan perkara itu bahawa Daim akan terus berada dalam kabinet kerajaan, maka setiap kali itulah “desas-desus” ini terpancut dari mulut speculator menyatakan itu semua “adalah benar”.

 

Mahathir lupa, galakkan untuk para pelabur membuat pelaburan dalam “kilang khabar angin” di negara ini berkembang pesat sejak ianya diperkenalkan oleh Mahathir sendiri sebagai orang nombor satu negara. Sebelum itu, orang-ramai teragak-agak juga untuk percaya kepada produk “kilang khabar angin” ini, kerana nilainya tidak boleh dipertanggungjawabkan!

 

Terdapat dua insiden besar yang begitu klasik sekali dalam sejarah “khabar angin” negara kita. Kedua-duanya dipelopori oleh Mahathir sendiri dan “khabar angin” seolah-olah sengaja dilancarkan untuk mendahului tindakan yang bakal menyusul terhadap sasaran utamanya.

 

Mahathir pernah menolak “telahan” dan “jangkaan” para pemberita, pengamal media, pemerhati politik, pemimpin pembangkang, ahli perniagaan malah dari kalangan ahli dan pemimpin Umno sendiri “kununnya” Musa Hitam yang menjadi Timbalan Perdana Menteri, orang dibawah dagunya, “berkrisis” dan “berselisih faham” dengan dirinya.

 

Beberapa gambar yang unik dan penuh misteri sempat dirakamkan oleh jurugambar media cetak tentang bagaimana “lakonan” Mahathir terpaksa dijayakan oleh Musa dalam salah satu Perhimpunan Agung Umno --- dengan memeluk, berpelukan sambil tersengih, tersenyum dan ketawa antara Musa dan Mahathir. Bukti itu ada pada Utusan Melayu Berhad.

 

Tentunya, Musa terpaksa menerima pelukkan, menyambut senyum dan sengeh Mahathir pada ketika itu. Pelbagai corong kamera dari aneka jenis media dalam dan luar negeri sudah mendepani mereka. Jadi, mahu tidak mahu, Mahathir “terpaksa” menjawab “khabar angin” itu dengan “lakonan” spontan.

 

Musa tentunya lebih faham bahawa “lakonan” itu hanya untuk “menguntungkan” Mahathir. Tetapi orang “jenis” Musa acapkali memikirkan soal kepentingan parti bukan keuntungan peribadi. Musa tahu, itu strategi Mahathir untuk mengabui mata para perwakilan dan penyebar “khabar angin”.

 

Akhirnya, tidak lama, tidak terlalu letih menunggu; sahlah cerita “khabar angin” yang bertiup kencang itu “kununnya” Mahathir dan Musa berselisih faham. Sekalipun, orang-ramai lebih percaya “lakonan” Mahathir pada Perhimpunan Agung Umno itu, akhirnya terpaksa akur, bahawa “orang politik” memang munafik, hipokrik, berpura-pura dan suka memperbodohkan orang lain.

 

Musa terpelanting atas nama “meletakkan jawatan” TPM, jawatan nombor dua selepas PM yang dipegang Mahathir itu. Siapa yang nak percaya cerita “selisih faham” antara Musa-Mahathir ketika itu. Mereka dianggap pemimpin dua sejoli, bagai pinang dibelah dua, serasi dan secucuk. Intimnya mereka ditandai dengan iklan mega “Kepimpinan 2M” (Mahathir-Musa) malah lebih dahsyat lagi untuk memberitahu rakyat betapa akrabnya mereka, kereta Nasional Malaysia hampir-hampir berjenama “Mahamusa”!

 

Episod yang sama, oleh orang yang sama, Mahathir bin Mohamad jugalah yang terus menghumbankan “khabar angin” untuk menguji pasaran politik di kalangan rakyat apabila tiupan kencang menyatakan “Anwar akan meletakkan jawatan TPM” atas alasan masalah peribadi!

 

Kilang “khabar angin” bertiup kencang di Kuala Lumpur. Pelbagai desas-desus, pelbagai gossip kedai kopi, pelbagai telahan, pelbagai jangkaan tercipta sendiri akibat “khabar angin” yang sudah tentu datangnya dari Pejabat PM di JPM. Orang boleh mengandaikan, Mahathir “menggunakan” budak-budaknya untuk mencampakkan isu itu bagi melihat respon rakyat terhadap tindakan yang bakal dibuat.

 

Cerita Anwar “liwat”, “zina”, “agen negara asing”, “simpan betina”, “ada komplot nak jatuhkan Mahathir”, “sekongkol dengan Al-Gore” dan entah apa-apa lagi itu, semuanya sudah bertiup dan ditiupkan oleh Mahathir sendiri. Rakyat tertanya-tanya dan tergaru-garu kepala mereka?

 

Namun begitu, Mahathir memberitahu perwakilan Umno pada tahun 1998 bahawa beliau tidak ada apa-apa masalah dengan Timbalannya, Anwar. Kenyataan yang sama juga sudah “muak” didengar oleh perwakilan parti itu sejak bertahun-tahun lamanya dalam perhimpunan Umno di PWTC.

 

Tidak cukup dengan itu, Mahathir terus “ratib” menafikan dia berkrisis dengan Anwar. Pengamal mediapun sudah naik “getek” atau mual dengan jawapan dan penjelasan Mahathir itu. Boleh semak kembali Berita Harian dan Utusan Malaysia setiapkali Perhimpunan Agung Umno tahun 1990-1998.

 

Untuk menolak “khabar angin” kununnya Mahathir dan Anwar bersengketa, berkali-kali juga Mahathir memberitahu perwakilan Umno dan rakyat negara ini bahawa Anwar Ibrahim, iaitu Timbalannya, adalah “penggantinya” apabila beliau berundur kelak. Banyak keratan akhbar yang boleh membuktikan kenyataan itu. Semua rakyat Malaysia tahu, pengakuan Mahathir itu. Hanya setakuk lagi, Anwar menunggu dengan penuh sabar dan percaya penuh “pengakuan” Mahathir dari lidah tak bertulang itu.

 

Senyum, sengeh dan peluk memeluk juga turut “dilakonkan” oleh Mahathir bagi “mengtongsampahkan” cerita  “khabar angin” itu. Setiap kali Perhimpunan Agung Umno, Mahathir memuji dan memuja Anwar. Bertepuk tangan tanda “sokong” pada Anwar. Malah dalam “Amanat Presiden” dan “Ucapan Penggulungan”, Anwar terus menjadi “sasaran” puji dan puja beliau.

 

Semuanya untuk apa? Kalau tidak untuk menepis pelabur “kilang khabar angin” dari teus mengeluarkan produk baru mengenai “krisis dalaman mereka”. Untuk memekup lubang hidung mereka dari terus “menghidu” bau busuk krisis mereka!

 

Akhirnya juga, Anwar terpelanting dari Umno dan kabinet Mahathir. Malah terperosok ke dalam penjara “gara-gara” menentang Mahathir dari dalam. Gara-gara tidak mahu tunduk dengan “keinginan” orang nombor wahid negara. Gara-gara ingin menunjuk dan berlagak pandai dengan Sang Presiden!

 

Musa dan Anwar adalah bekas-bekas TPM yang terpelanting dari kabinet! Semuanya bermula dari cerita-cerita “khabar angin” yang ditiup kencang, yang diyakini oleh orang-ramai dimulai oleh Mahathir sendiri. Ternyata “terpelantingnya” mereka bukan cerita metos dan terbukti juga “khabar angin” itu juga, bukan pula cerita rekaan atau mimpi ngeri seorang yang berserabut akalbudinya.

 

Di Tokyo, Mahathir menampakkan “lakonan” yang serupa. Daim pula sibuk menafikan “krisis” itu dan dimuatkan dalam akhbar primitif  Mingguan Malaysia semalam, 11 Jun 2000 (Ahad).

 

Sebelum itu, pada 8 Jun, Daim pernah menyifatkan, arah aliran menurun di BSKL adalah kesan daripada sikap pelabur yang mudah dipengaruhi “khabar angin”. Daim tidak mengaitkan “khabar angin” itu dengan desas-desus krisis antara beliau dengan Mahathir.

 

Namun begitu, jawapan demi jawapan. Penjelasan demi penafian yang “terpaksa” dicampakkan kepengetahuan rakyat, “menimbulkan” tanda-tanya. Apakah, kisah ini juga sama seperti kisah “pengkafanan” Muda dan Anwar?

 

Orang terbanyak percaya, lagi kuat “penekanan” atau “bold” pada penafian oleh Mahathir maka lagi “betullah” desas-desus yang bersifat “khabar angin” itu. Rentetan “perselisihan” Daim dengan Mahathir sudah diketahui umum. Bermula dari isu penggabungan bank-bank, perlantikan Gabenor Bank Negara, kegagalan Renong dan Time Dot Com-nya, hinggalah kepada perlantikan Penasihat Ekonomi PM. Khabarnya Daim “kurang selesa” dengan langkah panjang Mahathir itu. Mahathir pula tidak mahu tunduk dengan cadangan Daim!

 

Mahathir nampaknya semakin takut dan sugul dengan krisis ini. Penafiannya tidak dipercayai lagi oleh rakyat setelah meletupnya isu pemecatan Anwar. Daim tentunya lebih banyak tahu akan “penyelewengan” dalam kerajaan yang menyabitkan Mahathir dan anak beranaknya.

Berbanding Musa dan Anwar, Daim ibarat “anak nyamuk” yang kehilangan ibu oleh Mahathir. Apalah sangat dengan Daim! Anwar yang hebat, gagah perkasa, lantang, memiliki sebilangan pengikut yang taksub-pun boleh tumbang atas nama “undang-undang”, inikan pula Daim yang diam.

 

Pelbagai kemungkinan, dapat diandaikan. Apapun yang bakal terjadi, beberapa “factor” dan “lakonan” yang pernah menimpa Musa dan Anwar, sudah terhidang dihadapan sekarang. Soalnya mampukah Daim bertahan jika Mahathir “mengnyahkan” dirinya esok atau lusa? Realitinya, di Malaysia dan di luar negara, orang mula bercakap soal “krisis” dan “khabar angin” ini. Sasaran pentingnya ialah Daim!  Mahathir akan terus “berlakon” bagi menyelamatkan diri dan kepentingan KKn-nya.