Kenapa Tiru PAS?

 

Analisis : Mohd Ihsan Sungai Besi

 

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad betul-betul kering idea. Tandus dan kering kontang. Siapa yang jadi penasihat dia sekarang? Kenapa harus tiru Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat bila mengeluarkan kenyataan?

Sebelum pilihan raya, dipercayai kerana komen Tuan Gurulah yang menyebabkan Dr. Mahathir Mohamad membubarkan Parlimen. Tuan Guru berkata mengenai bukan Melayu boleh jadi Perdana Menteri. Surakhabar yang pro pemerintah bukan main hebat pusing cerita ini, kononnya hendak ambil kesempatan menekan PAS.

Namun, mereka gagal. Keputusan pilihan raya menyebelahi Barisan Alternatif (BA), walaupun mereka masih berkuasa di peringkat pusat.

Jika kita masih ingat, ketika mengulung perbahasan Perhimpunan Agung Umno, Dr. Mahathir yang juga Presiden Umno meminta ahli-ahli Umno berfikir cara pembangkang.

Sebelum itu, dia juga sudah mengizinkan Sabtu minggu pertama dan minggu ketiga dijadikan cuti umum. Semuanya tiru kerajaan PAS Kelantan pimpinan Tuan Guru.

Dari segi pemikiran Dr. Mahathir nyata tertinggal banyak. Cuma, akhbar yang pro pemerintah memainkan cerita kononnya Dr. Mahathirlah pemikir ulung. Betul, ada yang dia buat baik untuk negara tetapi bukan semuanya dia mendahului.

Malangnya, di Malaysia, jika idea baik datangnya dari PAS atau mana-mana parti pembangkang, tiada media yang mahu mengakuinya. Malahan, ada syaitan besar yang akan memusing dan memutar belitkan berita itu supaya menjadi “buruk” dan menakutkan.

Orang Melayu sudah cerdik. Tidak semua yang dilaporkan akhbar kebangsaan dipercayai bulat-bulat. Mereka sudah tahu menapis dan menimbang benar atau salah.

Jika semua pembaca percaya apa yang dilaporkan media massa pro pemerintah, PAS tidak mungkin menang semula di Kelantan di samping menawan Terengganu.

Tidak mungkin PAS boleh bertapak di Selangor, Pahang, Pulau Pinang selain Kedah dan Perlis. Itulah sebabnya Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berusaha keras menyekat kehadiran akhbar yang sedikit bebas seperti Harakah, Eksklusif, Majalah Detik, Majalah Panji Masyarakat dan Warta Prima yang tidak panjang umurnya.

Akuilah bahawa banyak yang BN belajar dari PAS. Akuilah, kalian semua semakin kering idea dan tidak terlawan dengan idea pembangkang. Akuilah, Utusan Malaysia dan Berita Harian yang bersaiz besar masih gagal untuk bersaing dengan Harakah dan Eksklusif!!!

 

 

tamat