Oleh Pena Suasa

 

Apa tindakan yang Dr. Mahathir ambil?

 

SEBELUM pemilihan Umno, 11 Mei 2000 lalu, Presiden Umno yang menang percuma, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad memberi amaran akan menyebut nama mereka yang terlibat dengan politik wang dalam pemilihan parti itu.

Pelbagai sekatan termasuk tidak boleh mengedar kad nama, tidak boleh menghubungi perwakilan dengan telefon atau faksimili dan menjamu mereka makan.

Bagaimana pun, Dr. Mahathir sendiri menghambat perwakilan yang berada di sekitar ibu negara supaya balik ke kampung masing-masing sebelum “ditangkap”.

Ramailah yang tertunggu-tunggu siapakah yang menjadi “mangsa” gertakan Dr. Mahathir ini. Malangnya, sehingga hari ini, tiada siapa yang ditangkap, tiada nama yang disebut ketika ucapan dasar dan tiada seorang pun yang dikenakan tindakan.

Maknanya, Dr. Mahathir berbohong. Dia hanya acah-acah sahaja sebab, dia tahu dia sudah menang mudah, dengan menipu perwakilan Umno supaya bahagian-bahagian hanya mencalonkan namanya sahaja sebagai Presiden manakala Abdullah Ahmad Badawi sebagai timbalan.

Ahli-ahli Umno yang berani bersuara cuba mencalonkan nama Tengku Razaleigh Hamzah tetapi hanya satu bahagian sahaja, iaitu Tanah Merah di Kelantan yang berjaya. Bahagian-bahagian lain, sudah disusun begitu rupa, tidak boleh mencalonkan orang lain selain dari namanya.

Maknanya, dia sendiri boleh berkempen, iaitu dengan mengenakan “syarat” tetapi yang lain-lain disekat itu dan ini.

Saban minggu, Dr. Mahathir akan memanggil ketua-ketua bahagian dan pemimpin-pemimpin negeri berjumpa dengannya, bagi memastikan hanya namanya sahaja mesti dicalonkan sebagai Presiden. Berjela-jela dia berleter, membebel dan “menasihatkan” supaya Umno perlu diselamatkan. Kononnya, kalau jawatan presiden dipertandingkan akan hancurlah Umno.

Ahli-ahli Umno yang dungu terus terpaku dan terkelu. Tidak boleh berbuat apa-apa selain akur sahaja dan kalau berani pun mengata-ngata di belakang. Bukan sedikit yang mengutuk-ngutuk Dr. Mahathir, tetapi bukan di depan sebaliknya di belakang.

Ada yang lebih berani akan bercakap, sudah sampailah masanya Dr. Mahathir melepaskan semua jawatannya dan memberikan peluang kepada Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri. Mereka beramai-ramai bertanya; Bila lagi Dr. Mahathir hendak berhenti. Sudah terlalu banyak kerosakan yang dilakukannya.

Dan perlantikan 10 MT tambahan serta pengerusi-pengerusi perhubungan negeri membuktikan, Dr. Mahathir sudah putus asa untuk melayan karenah ahli-ahli Umno.

Itulah sebabnya, dari dia memilih Syed Hamid Albar lebih baik dia melantik Azlina Othman, anak kepada seorang pegawai kerajaan yang pernah dituduh rasuah. Azlina juga merupakan jurucakap RTM yang paling lantang mengkritik demontrasi jalanan yang dianjurkan penyokong reformasi. Kononnya, suara rakyat yang menentang kerajaan itu tidak betul semuanya. Inilah penyebab mengapa Dr. Mahathir melantiknya.

Begitu juga Ghani Othman (MB Johor). Dia dilantik semula kerana dia antara MB yang paling lantang menuduh Dato’ Seri Anwar Ibrahim mempunyai agenda mahu menjatuhkan Dr. Mahathir. Dia menuduh Anwar selepas Anwar dipenjarakan. Sedangkan dia sebenarnya orang kedua selepas Zahid Hamidi menyebut perkataan reformasi. Nasib dia baik kerana dia cepat berpatah balik dan belot, lebih awla dari Zahid.

Dari dia melantik Dr. Rais Yatim yang lebih sudu dari bubur, lebih baik dia lantik Azimi Daim yang “mentah” duduk sebagai Ahli Majlis Tertinggi.

Dari dia melayan Isa Samad yang asyik bertanding jawatan-jawatan tinggi tetapi kalah, lebih baik dia lantik Idris Jusoh yang berangan-angan hendak jadi Menteri Besar Terengganu.

Maknanya, Dr. Mahathir tidak memerlukan Rais, Isa, Abu Hassan, Syed Hamid, Kasitah Gadam dan Sharizat Jalil yang “bertanding” secara tidak bersih. Hanya mereka dan Dr. Mahathir sahaja yang tahu selain Allah SWT.