MASALAH PEMANDU TEKSI DI JOHOR BAHRU
 
 
Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) cawangan Johor berasa
kesal dengan sikap pihak kerajaan Negeri Johor di
bawah pimpinan Ghani Othman yang tidak serius terhadap
tuntutan dan keluhan para pemandu teksi syarikat
kawasan Johor Bahru. Ghani Othman yang sebelum ini
(Satu bulan yang lepas) membuat perjanjian untuk
berdialog dengan wakil Persatuan Pemandu Teksi
Syarikat Johor Bahru (PPTS-JB) telah gagal untuk
menepati janji beliau apabila dialog pada pagi ini
telah dibatalkan atas alasan yang tidak munasabah.
Notis pembatalan dialog yang bertarikh 22 September
2000 tersebut hanya disampaikan ke pejabat PPTS-JB
pada tarikh 23hb September yang lalu, yakni 2 hari
sebelum dialog diadakan.
 
Oleh kerana notis pembatalan yang terlalu singkat dan
segala persediaan telah dibuat untuk menghadiri dialog
tersebut, pihak persatuan terpaksa meneruskan dialog
tersebut seperti yang dirancangkan. Walaubagaimana
pun, rombongan tersebut masih gagal untuk bertemu
dengan Ghani. Sebelum itu, Ketua Setiausaha Sulit
Ghani, Haji Rashid Bin Sihes telah mengesahkan
pembatalan dialog tersebut atas alasan Ghani berasa di
luar negeri pada tarikh dialog tersebut. Malangnya,
alasan yang direka oleh Ghani terbongkar sama sekali
apabila berita tentang kecederaan pada bahagian kaki
beliau semasa bermain badminton di Kluang malam
semalam (24-9-2000) disiarkan oleh sebuah akhbar
tempatan (China Press). Beliau masih berada di Johor
bukan di luar negeri.  Ghani tidak harus mempermainkan
PPTS-JB dan sebaliknya harus memandang serius perkara
ini.
 
Pemandu teksi syarikat Johor Bahru sememangnya
menghadapi pelbagai masalah selama ini. Mereka yang
kebanyakannya terdiri daripada rakyat golongan
pertengahan dan golongan bawahan mula menandatangai
perjanjian dengan pihak pengusaha syarikat pada 6
tahun yang lepas. Dengan harapan untuk menyara hidup
sendiri serta keluarganya, mereka yang rata-rata buta
huruf atau lepasan sekolah rendah telah menandatangai
suatu perjanjian yang tidak dipasti kandungannya. Atas
kehadiran peguam sebagai saksi, mereka berasa selamat
untuk menurunkan tandatangan tanpa penjelasan yang
selanjutnya.
 
Kini, 6 tahun sudah berlalu, pihak pengusaha
memberitahu mereka supaya pemperbaharui perjanjian
tersebut. Semuanya akan berulang seperti 6 tahun yang
lepas, dengan 6 atau 7 ribu pendahuluan, insuran kelas
ke-3, RM50 dan ke atas sehari sebagai sewa beli, tiada
pakaian seragam, tiada EPF, tiada SOCSO, dan begitu
juga tidak dibenarkan untuk memperolehi salinan surat
perjanjian untuk dirinya sendiri. Kini, mereka mulai
sedar bahawa hak mereka sudah dipijak tanpa
pengetahuan mereka. Segala perjanjian yang dibuat oleh
pihak pengusaha tidak mematuhi "Syarat Bagi Penyediaan
Perkhidmatan Teksi Oleh Syarikat Bhd. / Sdn. Bhd./
Koperasi"  yang dikeluarkan oleh Lembaga Perlesenan
Kenderaan Perdagangan (LPKP).
 
Setelah bersusah-payah mereka membayar lebih kurang
RM1,500.00 sebulan sebagai syarat sewa beli termasuk
peralatan radio, kereta, dan station radio selama 6
tahun, mereka terpaksa kehilangan kesemuanya. Apabila
tamat tempoh perjanjian, kereta tersebut seolah-olah
menjadi besi buruk kerana pihak JPJ enggan meluluskan
kereta tersebut walaupun sebagai kereta pakai
persendirian dengan pelbagai alasan. Bentuk perjanjian
yang dibuat ternyata memihak kepada golongan pengusaha
dengan perahan darah daging pemandu teksi tersebut.
 
Sedang pemandu meraikan kejayaan permohonan 100 permit
individu di Johor dan 300 di Lembah Kelang, pemandu
teksi syarikat di Johor Bahru diberitahu bahawa mereka
tidak layak untuk memohon kerana tidak dapat
menyertakan surat perjanjian yang lama. Mereka telah
bersetuju supaya tidak diberi hak untuk menyimpan
apa-apa salinan surat perjanjian tersebut dalam
perjanjian tersebut. Pihak pemaju berujar dengan penuh
yakin bahawa mereka mengikut undang-undang, sebaliknya
pemandu teksi sendiri yang tidak faham undang-undang.
Ini dapat diterangkan dalam kes-kes saudara Lau Kim
Wat dan saudara Mohd Bin Abd Rahman.
 
Disamping itu, terdapat pelbagai kes yang juga berlaku
terhadap pemandu teksi syarikat yang masih tidak dapat
diselesaikan. Di antara yang paling teruk ialah kes
saudara Azeman Bin Abdulah (Nombor plat HJ 3665) di
mana beliau dirompak dan teksi beliau dilarikan oleh
penyamun. Pihak syarikat telah menuntut sebanyak
RM58,648.00 daripada beliau. Ini jelas bahawa pemamdu
teksi syarikat di Johor Bahru tidak mempunyai apa-apa
bentuk jaminan keselamatan untuk dirinya sebagai
pekerja syarikat tersebut. Beliau kini sudah pulih
daripada kecederaan yang teruk di sebelah kepalanya,
namun masih tidak berupaya untuk bekerja.
 
Suaram mengecam para pengusaha syarikat teksi yang
tidak bertanggungjawab dalam hal ini dengan penindasan
hak ke atas pemandu teksi syarikat di sekitar Johor
Bahru. Di samping itu, Suaram Johor juga ingin
mengecam beberapa pihak kerajaan terutamanya Kerajaan
Negeri Johor, khasnya Ghani Othman yang tidak mahu
mengambil berat terhadap isu ini, begitu juga pihak
LPKP yang cuba melepaskan tanggungjawab mereka dalam
hal ini. Seolah-olah penindasan ini telah diwujudkan
atas kerjasama beberapa pihak ini untuk kepentingan
bersama.
 
Ini adalah suatu bentuk penindasan hak dari segi Hak
Ekonomi, Sosial dan Budaya (Economy, Social and
Culture Right) seperti yang termaktub dalam perkara 23
Perisytiharan Sedunia Mengenai Hak Asasi Manusia 1948.
Perkara 23 telah mengariskan keperluan untuk
melindungan hak kebajikan pekerja dari segi gaji,
tempat kerja, dan kebebasan untuk menubuh atau
menyertai apa-apa kesatuan pekerja.
 
Perkara 10 dalam Piagam Hak Asasi Manusia Malaysia
yang diusahakan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)
pada tahun 1994 juga menekankan kepentingan menjaga
hak kebajikan para pekerja yang termasuk menikmati
syarat-syarat kerja yang saksama, persekitaran kerja
yang selamat dan pengurusan yang berperikemanusiaan
serta demokratik. Semua pekerja mesti menerima upah
yang adil dan saksama yang membolehkannya dan
keluarganya menikmati taraf hidup yang memadai.
 
Suaram mengesa ketiga-tiga pihak yang terlibat ini
menghormati hak-hak kaum pekerja seperti yang tertera
dalam Piagam Hak Asasi Manusia Malaysia 1994 dan
Perisytiharan Sedunia Mengenai Hak Asasi Manusia 1948.
Segala penindasan yang telah dibuat selama ini
haruslah diberhentikan dengan bayaran pampasan yang
setimpal.  Semua pengusaha yang melakukan
penyelewengan haruslah dibawa ke muka pengadilan
dengan segera.
 
Kembalikan keadilan pemandu teksi segera.
 
 
 
 
 
Yang Benar,
 
Eugene Tan
Ko-ordinator
Suara Rakyat Malaysia (Cawangan Johor)
012-7081959