KOMENTAR

Komentar 1

050500

 

Berita penolakkan Black 14 oleh suara-suara sumbang dalam parti terus kedengaran. Berita ini bukan direka-reka oleh Komentar tetapi ianya satu kebenaran dan bagi mereka yang rapat dengan parti pasti tahu akan perkara ini. Apakah motif mereka, sedangkan mereka tahu asas Parti Keadilan Nasional adalah desakan rakyat dari jalanan. Apakah kehebatan kita khususnya keADILan datang dari saluran strategi politik sahaja tanpa gerakan reformasi jalanan. Saranan Sdr Anwar Ibrahim untuk memperjuangkan keadilan dan menghapuskan kezaliman datang dari lancaran gerakan reformasi dan bukan dengan penubuhan parti atau memasuki parti pembangkang yang sedia ada sebelum tertubuhnya keadilan. Sdr Anwar Ibrahim dengan laungan reformasinya terus mendapat sokongan rakyat dan sokongan inilah yang menjana kepada penubuhan Parti Keadilan Nasional bagi menyempurnakan perjuangan menuntut keadilan, menghapuskan kezaliman dan menyiapkan diri untuk menghadapi pilihanraya. Parti Keadilan Nasional tidak boleh melarikan diri dari landasan desakkan pembaharuan melalui gerakan reformasi jalanan. Desakan melalui reformasi jalanan dengan mengadakan perhimpunan aman tidak salah dan jangan pula ada antara kita dalam parti menolak perlaksanaan ini. Menolak ini bermakna kita dalam parti juga menolak hak dan kebebasan rakyat berhimpun secara aman dan menyuarakan ketidakpuasan kita secara kolektif.

 

Suara itu teguh mengatakan bahawa Reformasi Jalan sekarang diubah dengan landasan berpolitik melalui parti.  

 

Suara itu tetap mengatakan bahawa kita telah mempunyai landasan bagi memperjuangkan keadilan dan menghapus kronisma,nepotisma dan korupsi. Landasan yang disebut-sebut itu adalah landasan politik dengan mengadakan satu parti bagi menyuarakan pendapat. Dengan tertubuhnya Parti Keadilan Nasional perjuangan akan diteruskan melalui parti ini. Mereka menegaskan bahawa reformasi jalanan tidak perlu. Bagi Komentar apa yang dimaksudkan oleh suara-suara ini adalah kita berjuang mengikut rentak dan kehendak Mahathir. Cha-cha kata Mahathir maka ber-cha-cha kita, Joget kata Mahathir maka berjoget-jongket kita. Mahathir menyatakan bahawa mereka (kerajaan) telah membuka peluang seluas-luasnya untuk kita mengemukakan pendapat. Peluang ? Seluas-luasnya? Harakah disekat, Detik dikuburkan dan Eksklusif terus dipadamkan. Apakah  ini yang dinamakan peluang. Jelas  senario politik ini di gubah oleh mereka . Desakan perlu diteruskan. Fikirkanlah

 

Komentar1