JANGAN NAIKKAN TAMBANG MAS

Menteri Kewangan Daim Zainuddin memberikan jawapan panjang lebar tentang kedudukan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dalam Parlimen semalam. Beliau menafikan bahawa pembelian saham MAS daripada Naluri ialah tindakan untuk menyelamatkan (bailout) Tan Seri Tajuddin Ramli. Penafian ini tidak meyakinkan sama sekali kerana ia sebenarnya selari dengan banyak lagi tindakan-tindakan “bailout” sebelum itu untuk menyelamatkan syarikat-syarikat kroni seperti Syarikat Perkapalan (Mirzan Mahathir), Renong (Tan Seri Halim Saad) dan sebagainya.

Daim juga menjelaskan bahawa tujuan utama sekarang ialah untuk memulihkan MAS supaya ia boleh mendapat untung. Salah satu langkah untuk meningkatkan keuntungan ialah dengan menaikkan tambang penerbangan tempatan. Percubaan untuk menaikkan tambang ini sudah lama dan berkali-kali dibuat, akan tetapi ditangguhkan kerana ditentang oleh banyak pihak. PRM terus menentang percubaan yang kami percaya akan dibuat sekali lagi untuk menaikkan tambang tempatan ini.

Daim memberikan alasan bahawa ramai yang menaiki kapal terbang MAS terdiri daripada orang kaya yang tidak patut diberi subsidi dengan tambang murah. Daim tidak memberikan angka, yang kami akui memang susah hendak diberi, tentang pendapatan mereka yang selalu menggunakan MAS. Akan tetapi, dari pengalaman dan pemerhatian sendiri, kami melihat ramai juga orang yang menaiki pesawat MAS itu terdiri daripada mereka yang berpendapatan sederhana, bahkan ada juga yang berpendapatan rendah. Mengapakan kepentingan mereka ini mahu dikorbankan?

Sekiranya betul Daim tidak mahu memberikan subsidi kepada orang kaya, kami ingin bertanya: mengapakan Kerajaan bermurah hati sangat memberikan subsidi kepada syarikat-syarikat besar melalui Danaharta? Begitu juga, mengapakah begitu mudah sekali digunakan wang yang bersumber daripada PETRONAS dan juga cukai yang dikutip daripada rakyat untuk “bailout” syarikat-syarikat kroni yang tenat, seperti yang disebutkan di atas?

Lagi pula, jikalau Daim benar-benar hendak memberi subsidi kepada golongan miskin, mengapakah beliau dan Kerajaan BN tidak melakukan sesuatu yang bermakna untuk menaikkan harga barang pengeluaran petani-petani? Kita ketahui bahawa harga kelapa sawit sudah turun daripada kira-kira RM400 satu tan tiga tahun dulu kepada RM80 saja sekarang. Mengapa tiada jumlah subsidi yang besar dikeluarkan kepada mereka? Juga kepada penoreh getah dan pengait kelapa, kerana harga getah dan kelapa pun sekarang ini sudah turun rendah. Jumlah bantuan kepada petani-petani ini sekarang kecil sangat jikalau dibandingkan dengan jumlah wang yang digunakan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat kroni itu.

Dr Syed Husin Ali Presiden PRM

22hb Mac 2001