PAS KAWASAN PARIT UCAPKAN TAKZIAH

DAN TERUSKAN PERJUANGAN PERTAHAN HAK ASASI

Inna lillahi wa inna ilaihi raji’uun.

Seluruh Ahli Jawankuasa, ahli-ahli serta para penyokong PAS dan BA di Kawasan Parlimen Parit, Perak mengucapkan takziah kepada keluarga Datuk Sri Anwar Ibrahim atas kembalinya bonda tersayang, tercinta dan terkasih -- kerahmatulLah pada kira-kira jam 8.30 malam, bersamaan hari Selasa 3hb. April 2001 di Hospital Universiti Kuala Lumpur.

Pemergiannya adalah suratan takdir tetapi kami amat sedih dan kesal apabila sikap acuh tak acuh pihak berwajib memberi izin kepada Datuk Sri Anwar untuk menziarahi bondanya yang sedang nazak, tidak dilihat penting dan perlu. Jam 7.00 malam barulah beliau dibenarkan melawat iaitu kira-kira satu jam setengah sebelum bondanya menghembuskan nafas terakhir.

Padahal, bondanya sudah nazak sejak jam 2.00 petang yang sepatutnya Datuk Sri Anwar boleh tiba lebih awal jika sikap tolak-ansur menjadi amalan. Kami benar-benar amat sedih dengan apa yang terpaksa ditanggung oleh Datuk Sri Anwar, dalam situasi yang menyayatkan hati itu.

PAS Kawasan Parit meminta pihak yang berwajib dapat memberikan kelonggaran kepada Datuk Sri Anwar bukan sahaja berada mengiringi jenazah bondanya ke tanah perkuburan esok (4 April 2001 selepas solat zohor) tetapi juga memberi peluang kali terakhir untuk beliau bersama-sama di sisi jenazah bondanya pada malam dan pagi (sebelum di kebumikan) di rumah beliau di Bukit Damansara.

Kami sependapat dengan Jawatankuasa Memorandum Rakyat bahawa keperluan Datuk Sri Anwar berada di samping jenazah bondanya adalah “hak asasi” beliau sebagai anak dan rakyat Malaysia.

PAS Kawasan Parit juga  menggesa agar kerajaan membenarkan Datuk Sri Anwar untuk berada di sisi jenazah bondanya sepanjang masa sehingga selesai upacara pengkebumian esok.

 

Ketua Penerangan PAS Parlimen Parit

Merangkap Pengarah MTD Bota

TARMIZI MOHD JAM