TERKADANG AKU TAKUT JUGA

Pendekar Melayu

24.9.2000

 

Aku terkadang takut juga. Pendekar tidak boleh melawan berseorangan dalam memastikan agenda rakyat berjaya. Kita perlu bersatu dan kita perlu fokus dalam menghunus keris dan menikam lawan. Kita perlu tahu siapa lawan kita. Kita perlu tahu kelemahan mereka. Kita tidak boleh menganggap kita kuat. Kita sering mengukur kekuatan kita dari kaca mata kita. Kita dalam arena lawan. Mereka menentukan perundangan dan sistem dalam arena ini. Kita mahu mereka berlaku adil dalam pertempuran ini tetapi mereka tidak. Harus apakah yang kita perlu lakukan? Kita perlu kekuatan menyeluruh. Kita perlu faham bahawa tanpa sokongan menyeluruh kita tidak mungkin berjaya. Setakat ini apakah kita menjerumus kepada kejayaan. Kalau dilihat, kita sedar kita sudah nampak sedikit kejayaan iaitu membuka mata masyarakat kita tentang kepincangan kepimpinan khususnya Dr Mahathir. Malangnya cukup kuatkah kita untuk bertahan sehingga ke pilihanraya akan datang. Cukupkah semangat kita untuk tentera kita terus berjuang. Ini perjuangan alaf baru. Ini bukan sejarah perjuangan Mat Kilau, Datuk Bahaman dan pejuang yang seangkatan dengan mereka. Mereka cukup kental. Kita berjuang di alaf baru. Peperangan yang kalanya tidak langung wujud secara maya. Peperangan di belakang komputer dengan coretan yang tidak terbatas. Media lain sudah dilanggari. Apakah kita cukup bala tentera untuk terus berjuang atau kian lama tentera kita kian sunggul dan hilang maya.

 

Tok Guru saya juga pernah menghina saya. “Langkah sumbang macam kera”, “ Tumbukkan macam perempuan” dan pelbagai kata yang menyakitkan saya sewaktu itu tetapi berjasa sewaktu ini. Kata-kata itu sebenarnya seakan satu cabaran bagi saya membetulkan langkah dan mempadukan tumbukan. Itu anjakkan semangat secara “reverse”. Tok Guru juga menilai kelemahan saya dan saya berusaha memperbaikinya. SAYA TIDAK BERUSAHA UNTUK MENUTUP KELEMAHAN KERANA TIDAK MAHU TEWAS KELAK KERANA EGO DAN MALU MENGAKUI KELEMAHAN.

 

Kini saya bimbang, kita tidak boleh menegur kelemahan, kita tidak mahu mengukur kekurangan dan kita hanya mahu pujian. Ini semua bukan boleh menjana kekuatan tetapi lebih kepada menipu diri dan perjuangan.

 

Kita tidak boleh terus leka. Kita tidak boleh terus khayal kerana guru reformasi kita kini di penjara oleh negara yang dikemudi oleh petualang bangsa. Negara yang di kendali oleh pengkhianat agama dan negara yang di jajahi oleh orang kita yang sentiasa lapar akan kuasa.

 

Fikirkan, apakah langkah kita sudah begitu kental atau kita masih terumbang ambing walaupun asas perjuangan telah diajar dan ditunjukkan oleh GURU REFORMASI kita.

 

Fikirkan, apakah kita benar bersatu atau dalam kita khususnya Parti Keadilan Nasional penuh dengan ahli majmok yang kekadang rakus dan tidak tetap jalan perjuangan kita.

 

Fikirkanlah, selesaikan , agar hadir Pendekar di jalanraya nanti tetap teguh pada satu perjuangan yakni TUNTUTAN REFORMASI.

 

Langkah pincang mahu diperbetulkan.

 

Pendekar Melayu