Baca Surat Ini

(disalin semula oleh Ummu Natasya)

 

 

8hb. Oktober 2000

 

YAB Dato’ Seri Syed Razak Syed Zain

Ketua Perhubungan Umno Negeri Kedah

Merangkap Menteri Besar Kedah.

 

YAB Dato’ Seri,

 

AKHBAR BEBAS BIL. 12 PP11412/3/2001 1hb.-15hb. Oktober 2000

(SALINAN HALAMAN 17 DISERTAKAN-MUDAH DIRUJUK)

 

Saya merujuk kepada halaman 17 akhbar yang tersebut di atas bertajuk “Syed Razak Harus Berhati-hati”. Antara lain rencana ini telah menimbulkan isu-isu berikut:-

 

1.      Saya akan menentang YAB bagi jawatan Timbalan Ketua Umno bahagian untuk melenyapkan peluang Dato’ Seri terus menjadi MB.

2.      Saya bertanggung jawab melenyapkan wang Umno negeri sewaktu menjadi Bendahari Perhubungan Umno negeri.

3.      YAB Dato’ Seri dikatakan seorang pemimpin yang cukup baik dan cukup popular dan amat disenangi oleh orang ramai tidak kira apa pun fahaman politik. Sedangkan saya dituduh sebagai pemimpin yang angkuh, sombong cepat lupa diri, tidak berwibawa, tidak tahu menjaga hati rakyat, sudah ketinggalan zaman. Bolehlah dikatakan segala tingkah laku yang buruk adalah saya yang memilikinya dan semua yang baik-baik adalah tingkah laku YAB Dato’ Seri.

 

Akhbar “BEBAS” dimiliki dan dikendali sepenuhnya oleh YAHYA ISMAIL. Kalangan penulis-penulis, kalangan ahli-ahli politik cukup kenal dengan YAHYA ISMAIL. Orang tahu siapa dia YAHYA ISMAIL.

 

Nampaknya Dato’ Seri telah memilih YAHYA ISMAIL melalui akhbar BEBAS nya untuk menaikkan nama dan imej Dato’ Seri. Itu pilihan Dato’ Seri. Apa yang perlu saya ingatkan ialah apa pun usaha yang dibuat untuk menaikkan imej Dato’ Seri sebagai pemimpin ulung di Kedah dan di Malaysia, janganlah sampai membuat fitnah dan memburuk-burukkan orang lain.

 

YAHYA ISMAIL tidak akan menulis secara pecuma. Dalam kes ini dia menulis untuk menaikkan Dato’ Seri. Saya tidak persoalkan maksud menulis, yang saya persoalkan kenapa mesti menjatuhkan maruah saya semata-mata untuk menaikkan Dato’ Seri. Mudah saja untuk berdalih, katakan saja yang Dato’ Seri tidak tahu. Tapi tidak semudah itu. Soalnya kenapa tidak diberi panduan kepada penulis supaya tidak menyentuh peribadi dan tidak memfitnah orang lain. Berlah syarat kalau nak menulis rencana untuk memuji-muji dan menaikkan nama Dato’ Seri tidak payahlah memfitnah dan memburuk-burukkan orang lain.

 

Sewaktu Dato’ Seri Sanusi menjadi MB saya dikatakan EXCO kesayangan Sanusi. Apakah Dato’ Seri ingat waktu itu juga Dato’ Seri telah menghantar juak Dato’ Seri untuk menghasut melalui Rozai Sapian. Isu yang sama juga Dato’ Seri gunakan. Juak Dato’ Seri waktu itu menghasut Rozai bahawasanya saya ini sombong, bongkak, tidak berwibawa, penting diri, rakyat tak suka saya dan juak Dato’ Seri juga menyifatkan saya seperti PELAK. Saya tahu Rozai terpengaruh dengan hasutan Dato’ Seri dan Rozai pula mempengaruhi Dato’ Seri Sanusi. Hasilnya Dato’ Seri telah dilantik sebagai EXCO kanan dan saya diketepikan.

 

Tektik memfitnah dan menghasut telah memberi kejayaan kepada Dato’ Seri dan juak Dato’ Seri. Berhati-hatilah kerana akan sampai masanya tektik yang dulu berkesan tidak selalunya akan terus berkesan.

 

Saya ahli Umno, Dato’ Seri ketua di peringkat negeri. Presiden parti mahu parti diperkukuh dan diperkuatkan. Kalau ahli yang sedia ada pun Dato’ Seri tindas dan fitnahkan bagaimana ahli-ahli baru nak masuk parti. Dato’ Seri ada amanah besar yang mesti dilaksanakan. Jangan buang masa untuk bermusuh dengan saya, jangan buat aktiviti dan kerja-kerja untuk memperkuatkan Dato’ Seri saja. Rancang dan buatlah kerja-kerja dan aktiviti yang boleh memperkuatkan parti. Parti kuat dan kukuh semua selamat tapi kalau Dato’ Seri kuat, ianya tidak menjamin parti selamat.

 

Nampaknya Dato’ Seri masih lagi mahu menggunakan isu kehilangan wang Umno negeri untuk memburuk-burukkan saya. Dato’ Seri sengaja membiarkan isu ini berlarutan tanpa penyelesaian. Sedangkan Dato’ Seri mempunyai rekod-rekod kewangan yang boleh menjelaskan kedudukan sebenar. Mengapa membisu. Katakan yang benar. Kalau saya salah dan bersalah Dato’ Seri boleh pecat saya dari parti atas alasan melenyapkan wang parti dan seterusnya bolehlah dimulakan tindakan mahkamah. Ambillah tindakan yangb wajar, jangan memfitnah kerana akibatnya amat buruk. Hanya ALLAH yang maha mengetahui.

 

Saya kenal benar dengan mainan Dato’ Seri. Jangan anggap orang lain tidak tahu mainan kita. Contohnya orang tahu telah ada pertemuan antara YAHYA ISMAIL dengan Dato’ Seri melalui Setiausaha Politik Dato’ Seri. Selepas itu keluarlah rencana-rencana di dalam akhbar BEBAS yang memuja-muja Dato’ Seri dan mencerca orang lain. Tidak usah gunakan kedudukan untuk mencerca dan menyusahkan orang lain. Jaga tingkah laku juak-juak Dato’ Seri, itupun nanti akan menimbulkan rasa benci rakyat kepada parti. Ingatlah iaitu tingkah laku pemimpin dan juak-juaknya adalah salah satu faktor penting mempengaruhi rakyat memberi sokongan kepada parti. Bercakap jangan bohong, berjanji jangan mungkir dan apabila memegang amanah jangan khianat.

 

Sekian terima kasih.

 

T.T

 

Dato’ Abdullah Hasnan bin Kamaruddin

 

 

 

Nota dari Ummu Natasya: SILA EDARKAN SAMA ADA MELALUI E MAIL ATAU POS

 

ummu-natasya@hotmail.com