PAS/DPPP/1.03/(110)
26 SEPTEMBER 2000 

Sdr Zulkifli Mohd Alwi
Penolong Setiausaha
Pergerakan Pemuda Umno Malaysia
Ting 38, Menara Dato Onn,
Jln Tun Ismail,
50480 KUALA LUMPUR. 

DEBAT DEWAN PEMUDA PAS PUSAT DENGAN PERGERAKAN PEMUDA UMNO 

Dengan hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas dan surat saudara Bil. UMNO/PM/PSU/02/JLD.1/59 yang bertarikh 25 September 2000. 

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) merakamkan terima kasih kepada Pergerakan Pemuda Umno atas kesudian menerima cabaran untuk berdebat dengan DPP Pusat berkaitan isu hak istimewa orang-orang Melayu.  

DPP Pusat bersetuju supaya perdebatan ini berlangsung dalam keadaan tertib  dan beradab sebagaimana lazimnya. Namun DPP Pusat mempersoalkan mengapakah perlu perdebatan ini berlangsung dalam dewan yang terpisah di antara pendebat dan penonton. Bukankah lazimnya perdebatan berlangsung dengan tidak memisahkan di antara penonton dengan pentas pendebat. Oleh itu, DPP Pusat berpandangan perdebatan ini mesti berlangsung seperti lazimnya iaitu dengan tidak memisahkan antara pendebat dan penonton. DPP Pusat yakin perdebatan ini akan berlangsung dalam ketertiban dan adab walaupun turut melibatkan penonton. 

DPP Pusat juga mencadangkan supaya perdebatan ini dilangsungkan di Dewan Merdeka, PWTC kerana ia mempunyai kemudahan yang lebih baik berbanding tempat lain. Komando Umno boleh bertindak untuk mengawal keselamatan dan kelakuan penonton dengan lebih berkesan di sana. DPP Pusat juga mengulangi cadangan supaya Prof Diraja Ungku Aziz dipilih sebagai pengerusi debat memandangkan beliau seorang yang sangat berjasa kepada pembangunan bangsa Melayu di negara ini. 

DPP Pusat memahami masalah siaran langsung yang berada di luar bidang kuasa Pemuda Umno dan DPP Pusat tidak mendesak agar Pemuda Umno menyediakan kemudahan siaran  langsung tersebut. Namun DPP Pusat akan mengusahakan supaya perdebatan ini dapat disiarkan secara langsung melalui Harakah Web TV ataupun televideo. Segala peralatan untuk siaran langsung ini akan disediakan oleh DPP Pusat.  

DPP Pusat sangat berharap agar perdebatan ini menjadi kenyataan demi untuk kebaikan agama, bangsa dan negara pada masa hadapan. 

Perhatian pihak saudara saya dahului dengan ucapan terima kasih. 

Sekian. 

PAS MEMIMPIN PERUBAHAN
MENGASAK PERJUANGAN 

 Yang Menjalankan Amanah 

HAJI IDRIS HAJI AHMAD
Setiausaha
Dewan Pemuda PAS Pusat