DARI DATARAN SUMPAH KERAMAT TAMAN MEDAN

 

DUA TIGA KUCING BERLARI
PERMIT BATAL KITA LAWAN LAGI


14hb Mei, 2000 – Dataran Sumpah Keramat Taman Medan, Petaling Jaya digegarkan sekali lagi oleh Pergerakan Pemuda KeADILan Malaysia.  Program Debat Pemuda – Memorandum Rakyat anjuran Pergerakan Pemuda Keadilan Malaysia hari ini telah  diteruskan walaupun permohonan permit yang telah dibuat mengikut peraturan telah ditolak oleh PDrM.  Program tersebut terpaksa dimulakan kira-kira jam 9.00 mlm walaupun tanpa menggunakan pembesar suara oleh Sdr Tian Chua disebabkan penyokong yang telah memenuhi hampir separuh padang yang begitu lama dahagakan peluang untuk mendengar amanat pemimpin-pemimpin mereka.  Ini merupakan program ceramah umum pertama di dalam Kawasan Parlimen Petaling Jaya Selatan yang dilaksanakan sejak pihak PDrM mengambil sikap tidak mengizinkan sebarang perhimpunan politik atau bukan politik di sekitar Lembah Kelang.

Kira-kira jam 9.30 mlm, Sdr Ezam Md Nor, Sdr Hamdan Taha, Sdr Zahid Md Arip dan Sdr Lokman Adam telah sampai untuk memulakan majlis secara formal.  Sdr Lokman telah mengambil alih program sebagai pengerusi majlis dan sekaligus membuka tirai perhimpunan tersebut dengan memanggil Sdr Zahid sebagai pemidato pertama.  Selepas ucapan panas dan berapi oleh Sdr Zahid Md Arip, Sdr Hishammuddin Rais iaitu seorang aktivis pelajar yang tidak asing lagi sejak dari era 60 dan 70an telah menyampaikan pidatonya.  Nasib beliau agak baik kerana belum lama berliau berucap, alat pembesar suara yang menggunakan bateri kereta telah sampai.  Selepas anak jati Negeri Sembilan tersebut berucap,  penyokong reformasi yang memenuhi padang tersebut telah dipukau dengan ucapan Sdr Hamdan Taha yang telah mengupas keputusan Pemilihan UMNO yang baru selesai secara terperinci.

Sdr Malik Hussein yang baru tiba tak sampai 10 minit di tapak ceramah, kemudiannya telah dijemput untuk mengambil alih pentas yang didirikan menggunakan meja ping-pong itu.  Ucapan beliau yang diselang-selikan diantara nada keras dan lawak cukup konsisten menegur kezaliman PDrM.  Upacara kemuncak pada malam tadi telah diisi dengan ucapan sepanjang 1 jam 15 minit oleh Sdr Mohd Ezam Mohd Nor, Ketua Pemuda KeADILan Malaysia yang baru sahaja 2 hari pulang daripada rangka lawatan kerja bertemu dengan pelajar dan pimpinan kerajaan di Eropah selama 10 hari.

Sdr Ezam banyak menceritakan tentang pengalamannya sewaktu ditahan oleh pihak PDrM kerana dituduh merancang rusuhan dalam kes “The Black 14” yang akhirnya tiada langsung tuduhan yang dikenakan ke atas beliau berkaitan dengan “The Black 14”.  Dalam ucapannya beliau juga turut menyatakan bagaimana Dr Rais Yatim yang langsung tidak berani menyentuh soal rasuah yang dibangkitkan oleh Sdr
Ezam sewaktu beliau berdebat  dengan Rais di London.  Menurut Sdr Ezam lagi, beliau dan Dr Syed Hussein Ali telah  mendapat sambutan luar biasa daripada pelajar dan warga Malaysia yang tinggal di Eropah, berbanding dengan sambutan yang diberikan ke atas kehadiran Menteri-menteri Kabinet  dari Malaysia.  Selain daripada usaha menubuhkan KeADILan Antarabangsa di United Kingdom, beliau juga berpeluang bertemu dengan Pegawai Atasan Kementerian  Kewangan serta Kementerian Luar & Komenwel Britain untuk menerangkan senario politik semasa di Malaysia.  Menurut beliau perhatian yang diberikan oleh dunia luar terhadap apa yang berlaku di Malaysia amat memberangsangkan.  Esok Sdr Ezam dan beberapa teman Exco Pergerakan Pemuda KeADILan akan berangkat ke Jakarta untuk bertemu dengan Presiden Indonesia,  Tokoh Agama dan Pimpinan Parti Politik utama di Indonesia untuk memberikan penjelasan dan meraih sokongan khususnya dalam kes liwat Dato’ Sri Anwar Ibrahim yang dibicarakan  jelas bertentangan dengan kaedah Islam.  Selain daripada itu juga pertemuan dengan pelajar untuk menubuhkan sekretariat KeADILan Antarabangsa peringkat ASEAN akan dibuat sebelum ke Amerika Utara dan Timur Tengah bagi tujuan yang sama.

Dalam ucapan penggulungan beliau, beliau telah menyeru rakyat untuk bangkit menentang kezaliman dan sekaligus terus melawan penindasan yang dibuat ke atas rakyat .  Sdr Ezam telah membuat pengistiharan bahawa beliau tidak akan sekali-kali memberikan kerjasama kepada pihak PDrM dan bersedia ditangkap jika itu yang mereka mahukan.  Beliau juga menegaskan bahawa Pemuda KeADILan akan meneruskan usaha untuk turun kesetiap Negeri bagi menganjurkan Program Memorandum Rakyat dengan mengikut prosedur permohonan permit sepertimana yang dikehendaki oleh pihak PDrM.  “Tapi! jika ianya tidak diluluskan, kita akan tetap teruskan” ujarnya.

Suasana pada malam ini dipenuhi dengan gema reformasi yang cukup bersemangat disulami dengan naluri waja pejuang  gagah berani sepertimana Malam Pelancaran Sumpah Keramat tahun lalu.  Walaupun lebih dua jam setengah terpaksa duduk dan berdiri dalam keadaan yang tidak selesa berikutan alat pembesar suara yang begitu sukar didengari, namun ianya langsung tidak mematahkan semangat penyokong reformasi yang tidak langsung berganjak hingga jam 11.40 Malam tadi.  Sebaik sahaja Sdr Ezam selesai berpidato, berpusu-pusu rakyat yang hadir cuba mencari peluang untuk bersama pejuang-pejuang pujaan mereka.

Hadi Koh