Apa Itu Kontrak Sosial

Oleh Hassan Karim

Idea tentang kontrak sosial (social contract) telah dikemukakan oleh Plato, seorang ahli falsafah Greek lebih 2500 tahun yang lalu dalam tulisannya Republic. Ramai ahli falsafah terkemudiannya menerangkan konsep kontrak sosial ini, antaranya ialah Hugo Grotius, Kant, Rousseau dan Hobbes. Ahli-ahli falsafah ini bersetuju tentang wujudnya kontrak sosial antara pemerintah dengan rakyat. Idea kontrak sosial itu diasaskan atas premis bahawa kuasa terletak pada rakyat jelata.

Dalam masyarakat Melayu purba pernah dikisahkan tentang perjanjian semacam kontrak sosial sifatnya antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba, mengenai sama ada raja itu boleh ditentang atau tidak. Kontrak sosial itu menegaskan perlunya rakyat patuh kepada raja kalau raja itu adil. Tetapi dalam sejarah  tamadun Melayu kemudiannya berlaku peristiwa Sultan Mahmud Mangkat Dijulang dalam kerajaan Melayu Johor lama  yang berpusat di Kota Tinggi. Dalam tragedi di mana isteri Laksamana yang sedang mengandung dibunuh oleh Sultan hanya kerana memakan seulas nangka milik Sultan telah mencetuskan penentangan terbuka Laksamana terhadap Sultan. Kata-kata yang keluar dari mulut Laksamana ketika dia mencabar Sultan Mahmud itu ialah:

“Raja adil raja disembah;
Raja zalim, raja disanggah,”

Dialog Laksamana itu berupa satu kontrak sosial antara raja dengan rakyat. Perkataan disembah itu membawa erti dipatuhi atau dituruti; manakala disanggah bererti ditentang atau dilawan. Dalam kejadian itu Laksamana menuntut membela kematian isterinya ditangan Sultan yang zalim itu dengan membunuh Sultan Mahmud yang ketika itu sedang dijulang. Ini cerita benar dan Sultan Mahmud yang mangkat ketika dijulang atau diusung itu dikebumikan di Kota Tinggi [ di Kampung Makam, berdekatan jalan ke
Desaru]

Terdahulu dari peristiwa itu telah berlaku peristiwa penderhakaan Hang Jebat terhadap Sultan Melaka. Hang Jebat telah menentang Sultan Melaka secara terbuka kerana Sultan telah menjatuhi hukuman bunuh secara tidak adil terhadap Hang Tuah, sahabat Hang Jebat. Peristiwa penentangan Hang Jebat itu merupakan cabaran terbuka kontrak sosial antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba. Seperti Laksamana di Kota Tinggi, Hang Jebat juga berpendirian raja yang zalim tidak wajar dipatuhi, sebaliknya perlu
ditentang. Tetapi karekter Hang Tuah menggambarkan watak yang mahu mempertahankan status quo bahawa “pantang Melayu menderhaka terhadap rajanya”.

Hang Tuah ingin mengekalkan kontrak sosial yang bersifat sepihak iaitu raja perlu dipatuhi. Rakyat tidak boleh menentang. Pendirian ini semacam ada persamaan dengan definisi kontrak sosial yang dikemukakan oleh seorang ahli falsafah Inggeris bernama Hobbes (1588-1679) iaitu rakyat perlu mengikut perintah raja secara mutlak dan kontrak itu tidak boleh dirungkai sampai bila-bila.

Dalam masyarakat  Malaysia moden hari ini wujud juga kontrak sosial antara pemerintah satu pihak dan rakyat di pihak yang lain. Dalam sistem demokrasi yang wujud pilihanraya, setiap lima tahun pemerintah perlu menyerahkan kembali kuasa kepada rakyat. Untuk berkuasa semula, pemerintah perlu mendapatkan  mandat baru daripada rakyat melalui proses pengundian sulit; satu orang, satu undi. Kerajaan yang dilihat tidak adil, rasuah, zalim, menyeleweng dan sebagainya akan ditolak oleh rakyat melalui proses undi. Syaratnya sistem pilihanraya itu dijalankan secara adil tanpa penyelewengan dan penipuan seperti wujudnya “Pengundi Hantu”.

Pilihanraya kecil di Lunas baru-baru ini satu contoh di mana BN yang merupakan parti yang sedang memerintah tewas dalam pilihanraya itu. Walaupun BN menggunakan wang kerajaan untuk membeli undi rakyat di Lunas melalui projek segera mengetar jalanraya dan sebagainya, tetapi rakyat
tetap menolak. Walaupun BN disokong oleh jentera-jentera kerajaan  seperti Pejabat Penerangan, Kemas, BTN, dan media massa milik kerajaan (RTM) serta televisyen swasta serta akhbar-akhbar harian, BN tewas juga akhirnya. Melalui keputusan pilihanraya Lunas itu bermakna  rakyat di  Lunas telah membatalkan kontrak sosialnya dengan BN. Penentangan rakyat di Lunas itu dalam bentuk demokratik tidak seperti Hang Jebat di Melaka atau Laksamana Bentan di Kota Tinggi.

Tetapi penentangan terbuka terhadap pemerintah masih berterusan dalam  masyarakat Melayu moden dan masyarakat Malaysia waktu kini. Kebangkitan gerakan reformasi terutama reformasi jalanan yang dimanifestasikan dengan demonstrasi dan perhimpunan awam besar-besaran adalah satu
fenomena  bahawa rakyat sekarang sedang mencabar kontrak sosial antara kerajaan yang berkuasa sekarang dengan rakyat jelata. Slogan-slogan seperti “menegakkan keadilan”; “memperjuangkan kebebasan”; “lawan tetap lawan”; serta “undur Mahathir undur” adalah tanda jelas bahawa kesahan
atau legitimasi kerajaan yang berkuasa sekarang telah terhakis di hati rakyat kerana berlaku ketidakadilan dan kezaliman yang nyata.

Dari kezaliman dengan perobohan rumah-rumah setinggan dan peneroka bandar miskin; penindasan para pekerja bawahan terutama pekerja-pekerja kilang dan estet; penahanan tanpa bicara di bawah ISA; skandal penyelwengan dalam syarikat dan dalam pentadbiran kerajaan; gejala nepotisme dan kronisme sehinggalah kepada kes Anwar Ibrahim, telah menyebabkan sebahagian besar rakyat menolak kerajaan yang ada sekarang kerana dianggap tidak adil, zalim dan rasuah. Ini bermakna rakyat mahu
kontrak sosial antara BN dengan rakyat jelata tidak dipakai lagi kerana BN, parti yang memerintah itu tidak lagi bersikap adil, bersih dan amanah.

Dalam Manifesto Bersama Barisan Alternatif  yang bertajuk “Ke Arah Malaysia yang Adil” ada disebutkan idea kontrak sosial. Pada muka surat 26 manifesto itu, disebut:

“Keghairahan Kerajaan BN memajukan projek ‘mega’ dan menswastakan kemudahan-kemudahan sosial telah mengenepikan kepentingan dan keperluan rakyat jelata. Maka, perlu dijalin satu ‘kontrak sosial’ baru antara
pemerintah dan rakyat- yang akan mengutamakan keperluan dan kepentingan rakyat pada masa depan,”.

Tetapi dalam beberapa minggu ini di Malaysia, rangkap kata kontrak sosial telah muncul kembali iaitu berkaitan dengan kontroversi rayuan pilihanraya Suqiu. Penentang-penentang rayuan Suqiu itu menggunakan hujah bahawa rayuan 17 perkara itu telah melanggar kontrak sosial. Kontrak sosial yang mereka maksudkan ialah persefahaman dan perjanjian tak bertulis antara masyarakat Melayu dengan masyarakat bukan Melayu pada awal pembentukan negara ini ketika mencapai Kemerdekaan pada tahun
1957. Sebahagian daripada kontrak sosial itu dikatakan telah dimaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang bertulis yang tidak boleh dipinda tanpa majoriti dua pertiga di Parlimen.
Manakala sebahagian lagi kontrak sosial itu wujud dalam bentuk tidak bertulis, semacam konvensyen dalam tradisi British yang tidak mempunyai perlembagaan bertulisnya.

Di dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3 (Islam ialah agama Persekutuan); Perkara 32 (Yang di-Pertuan Agong Ketua Utama Negara bagi Persekutuan); Perkara 152 (bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan); dan


Perkara 153 (Perizapan kuota mengenai perkhidmatan, permit dsb untuk orang Melayu dan bumiputera bagi mana-mana Negeri Sabah dan Sarawak) adalah dianggap oleh  sesetengah pihak sebagai sebahagian daripada  kontrak sosial antara orang-orang Melayu dengan orang-orang bukan
Melayu.

Mereka yang menentang Suqiu berhujah bahawa rayuan Suqiu telah mencabar Perkara 153 apabila mengesyorkan supaya dihapuskan sistem kuota yang berasaskan “kaum” dan menggantikannya dengan sistem pengagihan yang    berasaskan “kebolehan”. Hujah mereka ialah peruntukan Perkara 153 itu
merupakan kedudukan istimewa Melayu. Apabila ia mahu dihapuskan bererti  Suqiu mahu menghapuskan kedudukan istimewa Melayu itu.

Amat membimbangkan lagi menakutkan apabila membaca komen-komen yang tersiar di akhbar sepanjang kontroversi terhadap rayuan Suqiu itu. Hujah-hujah rasional berdasarkan legalistik atau perundangan tidak lagi diambil kira. Ia dianggap tidak penting dan tidak relevan. Sebaliknya retorik politik dengan sentimen kaum mengambil tempat di atas pentas. Misalnya banyak pihak yang  menentang Suqiu berhujah Perkara 153 itu sebagai hak istimewa Melayu. Tetapi jika dihalusi, istilah undang-undangyang dipakai dalam Perlembagaan itu bukan “hak istimewa Melayu” tetapi “kedudukan istimewa Melayu”. Dalam keadaan normal, tenang dan waras tentu dapat dilihat perbezaan yang besar antara “hak” dengan “kedudukan”. Lebih-lebih lagi satu kegemaran ahli-ahli undang-undang ialah “membelah rambut” iaitu setiap perkataan di dalam statut atau buku undang-undang, lebih-lebih lagi Perlembagaan akan didefinasikan dengan
tepat dan jelas. “hak” tentu lebih kuat berbanding “kedudukan”.

Tetapi itu semua tidak relevan apabila masing-masing dengan hati panas berhujah dan berpolemik mempertahankan apa yang dipanggil kontrak sosial antara Melayu dan bukan Melayu. Jika telah reda, ada eloknya masing-masing melihat kembali Perkara 153 dalam Perlembagaan. Antaranya “kedudukan istimewa orang-orang Melayu” di bawah Perkara 153 itu mengenai jawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa, bantuan dan lain-lain keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya, permit
atau lesen hendaklah diberi kepada orang-orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak pada suatu kadar yang difikirkan patut oleh Yang di-Pertuan Agong [atas nasihat Kabinet atau Perdana Menteri]. Ini
bermakna perizaban kuota di bawah Perkara 153 itu bukan bersifat eksklusif  hanya untuk orang Melayu. Ia perlu dilaksanakan pada kadar yang patut. Patut itu bersifat subjektif dan banyak bergantung pada
budibiacara yang boleh membawa kepada kesewenangan. Apabila ini berlaku maka wujudlah ketidakadilan dan bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan yang menyebut semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak  mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

Tetapi apabila Suqiu dan penyokong-penyokongnya cuba berhujah secara ilmiah untuk mempertahankan pendiriannya bersandarkan hujah-hujah perundangan dan peruntukan Perlembagaan, pendirian mereka akan dicabar dengan hujah bahawa peruntukan dalam Perlembagaan hanya merupakan
sebahagian sahaja daripada kontrak sosial. Manakala sebahagian lagi apa yang dipanggil kontrak sosial itu wujud tidak bertulis, semacam konvensyen dalam tradisi Perlembagaan British. Tetapi apakah kontrak
sosial yang tidak bertulis itu? Mungkin ini yang hendak dicatatkan secara bertulis dalam tuntutan100 perkara GPMS. Satu kemungkinan.

Jadi GPMS memikul tanggungjawab moral untuk menjelaskan janjinya kepada umum untuk mengemukakan tuntutan 100 perkara itu. Mungkin antaranya terdapat kontrak sosial yang tidak bertulis selama ini untuk disebutkan secara bertulis, dan mungkin dilembagakan di dalam undang-undang terutama Perlembagaan. GPMS berhak mengemukakan syor atau tuntutannya tetapi ia mestilah bersedia mempertahankannya dengan hujah-hujah, termasuk alasan-alasan perundangan dan bukti-bukti sejarah. Seperti
Suqiu, GPMS juga tidak boleh memaksakan tuntutan-tuntutannya diterima sepenuhnya begitu sahaja. Terima atau tidak tuntutan-tuntutan itu bukan hak mutlak pemerintah yang sedang berkuasa. Kerana menurut kontrak sosial seperti yang disebut oleh ahli falsafah Kant dan Rousseau, kuasa dalam sesuatu negara sebenarnya terletak di tangan rakyat.

19hb Disember 2000