SOALAN POLITIK GURU BOLEH DIKENAKAN ISA
 
 
Sudah lama juga saya tidak menatap suratkhabar arus
perdana. Bukan apa, kadang-kadang terasa rugi terpaksa
membayar seringgit dua puluh sen semata-mata untuk
membaca berita yang diputarbelit dan propaganda yang
tiada kesudahannya. Sebagai pelajar universiti, sangat
perlu untuk saya mengetahui isu-isu semasa. Tapi tak
semestinya tak baca suratkhabar sehari, kita tak tahu
segala-galanya. Banyak cara lain untuk mengetahui apa
yang berlaku di sekeliling - lagipun baca suratkhabar
sekarang nie tak ubah macam baca majalah politik.
 
Pagi tadi saya ke perpustakaan. Berehat di ruang utama
sambil menonton tv terlihat pula akhbar Berita Harian
di atas meja. Cerita muka depan, Daim berhujah tentang
kenaikan harga petroleum. Mmmm...masih nak pertahankan
setiap tindakan, detik hati saya. Entah macam mana,
tangan ini menggapai akhbar yang entah 2-3 minggu saya
tak pegang. Mula-mula tenangkan fikiran buka ruangan
sukan. Terhibur juga membaca berita prestasi baik
skuad hoki negara. Buka pula ruangan hiburan - tiada
yang menarik. Hati ini memberanikan diri membaca
ruangan dalam negeri. Muka pertama diselak terkejut
membaca tajuk berita 'Soalan Politik: Guru Boleh
Ditahan Dibawah ISA'. Setelah diamati, Ketua Menteri
yang jatuh terjelepuk menjadi Sang Timbalan Menteri Di
Kementerian Dalam Negeri membuat ancaman bahawa guru
yang menyediakan kertas soalan peperiksaan berunsur
politik boleh ditahan bawah ISA. Turut dipaparkan
kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan bahawa guru yang
menyediakan soalan peperiksaan berunsur politik boleh
dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan kerana
meracuni pemikiran pelajar. Ahhh...tak boleh jadi,
detik hati saya. Lantas suratkhabar ditinggalkan, saya
pun melangkah keluar dari perpustakaan. Dalam
hati..."menyesal aku baca suratkhabar".
 
Sebenarnya, apa yang terjadi merupakan impak dari
sikap kerajaan yang takut kepada bayang-bayang
sendiri. Bila sudah ketakutan...batang lidipun
disangka ular, tunggul kayu pun disangka hantu.
Teramat-amat pelik sekali, sebuah kerajaan yang cukup
gah melaungkan demokrasi sanggup menggunakan akta
drakonian ISA dan akta hasutan untuk mendakwa
guru-guru yang membuat soalan peperiksaan yang
berunsur politik. Kalau begitu dahsyatlah guru
tersebut kerana satu dua soalan peperiksaannya mampu
menggugat keselamatan dan keharmonian rakyat di negara
ini. Malulah sedikit pada dunia, menggunakan ISA untuk
menewaskan seorang guru hanya kerana beberapa soalan
peperiksaannya.
 
Akhirnya saya terfikir bahawa, tradisi keilmuan dan
intelek di Malaysia sudah mencapai penghujungnya. Kita
sudah tiba ke satu peringkat di mana, pembelajaran itu
merupakan satu konsep di mana murid perlu menerima
setiap apa yang disuap oleh gurunya. Guru pula hanya
perlu mengajar apa yang telah ditetapkan untuk diajar.
Persoalan di luar topik tidak dibenarkan. Pertukaran
idea dilarang. Perbincangan sihat hanya membuang masa.
Jika itu sikapnya, maka sekolah hanyalah tempat
belajar yang statik. Lebih menarik, jika persoalan
yang lebih meluas dibincangkan seperti persoalan
agama, sosial mahupun ekonomi, maka ianya akan dicap
menyebabkan gangguan kepada keharmonian kamu. Jenaka
bukan? Tapi itulah yang terjadi...
 
Nasihat saya, kerajaan tidak perlu menggunakan akta
yang ada untuk menunjukkan kuasa dan kemegahan. Rakyat
telah mula jelak dengan pelbagai ancaman kerajaan
semata-mata untuk melihat mereka melutut dan
memberikan sokongan palsu kepada mereka. Undang-undang
di tangan pemerintah yang zalim tidak ubah seperti
pisau yang akan memakan diri sendiri.
 
Saya teringat sewaktu saya di tahun pertama. Kerana
kepingin sangat, saya mengambil subjek 'Konsep,
Struktur dan Dasar Politik Malaysia'. Perbincangannya
sihat. Malah dalam soalan kertas kerja projek, saya
diminta membuat kajian perbandingan parti-parti
politik di Malaysia. Setiap isu dikupas dengan
semangat intelek. Kadangkala memuji, kadangkala
mengkritik. Tetapi semuanya berasaskan ilmu. Bila tiba
peperiksaan akhir, soalannya semua berunsurkan
politik. Subjek 'Sains Politik', takkan la soalan
peperiksaan akhir berkaitan sukan pula. Akhirnya saya
terfikir, ingin memberi amaran kepada pensyarah
saya...takut-takut dia merengkok di penjara bahana
ISA, hanya kerana menyediakan soalan peperiksaan
berunsurkan politik. Malunya Malaysia!!
 
Student Life
Nadzryan Faqrul