2 Mac 2001

6 Zulhijjah 2000

 

 

 

Setiausaha

Dewan Undangan Negeri

Selangor Darul Ehsan

Tingkat 2, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

40680 Shah Alam

Selangor Darul Ehsan

 

 

Pertanyaan-Pertanyaan Bertulis di Mesyuarat Pertama ( Pembukaan ) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Selangor Darul Ehsan Yang Kesepuluh pada 27 hingga 30 Mac 2001

 

Sukacita saya menarik perhatian tuan mengenai perkara di atas.

 

Selaras dengan perenggan 22 ( 2 ) Peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri Selangor yang telah dipinda dan diluluskan di dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri pada 29 Julai 1991 yang berbunyi “Pemberitahu berkenaan dengan tiap-tiap pertanyaan hendaklah dikeluarkan oleh seseorang Ahli itu dengan bertulis tidak kurang daripada 21 hari daripada hari yang dikehendaki jawapannya dengan diserahkan ke Pejabat Setiausaha Dewan dalam masa kerja ” ;  maka dengan sukacitanya saya lampirkan pertanyaan-pertanyaan bertulis untuk Mesyuarat Pertama ( Pembukaan )  Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Selangor Darul Ehsan Yang Kesepuluh pada 27 hingga 30 Mac 2001 untuk tindakan tuan selanjutnya.

 

Kerjasama tuan amatlah dihargai dan diucapkan ribuan terima kasih.

 

 

 

 

 

 

………………………….

( Mohamed Azmin Ali )

 

 

PERTANYAAN – PERTANYAAN BERTULIS

 

 

1.                  Beberapa orang peniaga kecil Bumiputera telah dikurniakan lesen menduduki sementara ( T. O. L. ) pada tahun 1971 bagi maksud mendirikan gerai-gerai di Batu 8, Hulu Kelang. Pada pertengahan tahun 1994, gerai-gerai ini dirobohkan atas alasan untuk projek pembesaran jalan. Justeru itu, mereka ditawarkan untuk menyewa    ‘rumah kedai’ atau Bazar MARA bukan gerai di hadapan Zoo Negara. Pada bulan Mei 1998, pihak MPAJ telah bertindak merobohkan 12 unit   ‘rumah kedai’ ( Bazar MARA ) ini atas alasan untuk menyegerakan projek pembinaan lanskap Zoo Negara tanpa sebarang rundingan dan keputusan yang jelas dari MPAJ mengenai masa depan 12 orang penyewa Bazar ini. Pihak MPAJ dengan mudah menawarkan penyewa-penyewa ini unit-unit ‘gerai’ di Medan Selera Taman Melawati dan cuba menyakinkan peniaga-peniaga ini bahawa perpindahan ini adalah bersifat sementara sebelum tapak gerai baru dibangunkan semula berdekatan dengan tapak lama.

 

Saya ingin bertanya kepada YAB Menteri Besar :

 

( a )      Adakah Kerajaan Negeri Selangor menyedari bahawa keengganan penyewa-penyewa ini berpindah ke Medan Selera Taman Melawati mempunyai ‘merit’ dan alasan yang kukuh memandangkan pihak MPAJ menawarkan mereka unit-unit bersifat ‘gerai’ sedangkan mereka adalah peniaga kecil Bumiputera yang telah menjalankan perniagaan runcit selama hampir 40 tahun di dalam premis yang bersifat ‘rumah kedai’ yang dilengkapi dengan kemudahan asas yang lain seperti bilik tidur dan bilik air.

 

( b )      Adakah Kerajaan Negeri Selangor menyedari bahawa mangsa-mangsa ini dilayani seperti penduduk setinggan atau mungkin pendatang asing sedangkan mereka telahpun dikurniakan lesen menduduki sementara oleh Kerajaan Negeri pada tahun 1971 ?

 

( c )      Apakah perancangan Kerajaan Negeri Selangor untuk membantu mangsa-mangsa ini yang terdiri dari peniaga-peniaga kecil Bumiputera memandangkan MPAJ telah berjanji melalui kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pegawai Perhubungan Awam dan dilaporkan dalam media pada 21 Mei 1998 bahawa MPAJ akan memperuntukkan sebanyak RM 300,000.00 untuk membina premis baru bagi menempatkan semula peniaga-peniaga yang ‘rumah kedai’ mereka dirobohkan dan premis baru ini tidak jauh dari tapak lama berhampiran FINAS, Hulu Kelang; namun amat mendukacitakan sehingga hari ini projek ini belum dimulakan dan pihak MPAJ membisu sehingga penyewa-penyewa ini tertanya-tanya bilakah janji MPAJ ini akan ditunaikan ?

 

 

2.                  Semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2001 ( Belanjawan Tahun 2001 ) pada  15  November  2000,  saya membangkitkan isu penghuni rumah pangsa kos rendah Blok C di Taman Keramat Permai. Hulu Kelang di  dalam  Dewan Undangan Negeri Selangor. Petikan perbahasan dan hujah saya yang dirakamkan oleh Dewan Undangan Negeri Selangor adalah seperti berikut :

 

“ Tuan Speaker, saya ingin mendapat penjelasan muktamad daripada Yang Amat Berhormat mengenai nasib penghuni rumah pangsa kos rendah Blok C di Taman Keramat Permai, Fasa 1A, Hulu Klang di mana keseluruhan Blok C tersebut telah dirobohkan oleh pemaju Juru Bena Tenaga Sdn. Bhd. pada tahun 1996 atas arahan MPAJ akibat masalah hakisan tanah. Pihak pemaju telah memberi akujanji untuk membina semula blok baru untuk semua pemilik yang terlibat. Saya difahamkan pindaan pelan susunatur yang baru telah diluluskan namun projek masih terbengkalai dan semua pihak yang bertanggungjawab membisu dan enggan melayani rayuan penduduk-penduduk yang sudah berlarutan lebih 5 tahun. Mangsa ini masih lagi ditempatkan di pangsapuri usang milik PKNS di Pusat Bandar Taman Keramat. Yang lebih mendukacitakan ialah semenjak blok rumah mereka dirobohkan pada tahun 1996, pemilik ini dipaksa untuk meneruskan bayaran ansuran bulanan pinjaman perumahan kepada bank sedangkan nasib mereka masih belum mendapat perhatian dari pihak yang bertanggungjawab. Saya berharap agar Yang Amat Berhormat dapat memberi perhatian segera dan mengambil tindakan yang sewajarnya. ”

 

Lanjutan daripada hujah saya ini, YAB Menteri Besar telah menjawab semasa ucapan penggulungan beliau, yang antara lainnya berbunyi :

 

“ Berkenaan soalan yang ditimbulkan oleh YB Hulu Kelang, kerajaan negeri menyedari masalah yang dihadapi oleh 40 keluarga yang terlibat. Kerajaan negeri bersama PKNS sedang menunggu jawapan tawaran untuk mereka berpindah ke rumah kos rendah di Sungai Buloh yang akan disiapkan pada Mei 2000. Rumah ini ditawarkan secara percuma kepada mereka yang terlibat. ”

 

Saya ingin bertanya kepada YAB Menteri Besar :

 

( a )      Apakah jawapan YAB Menteri Besar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada 15 November 2000 seperti tertera di atas telah disusuli dengan tindakan dan perancangan yang konkrit ?

 

( b )      Adakah YAB Menteri Besar menyedari bahawa pihak pemaju bersama MPAJ telah memulakan kerja-kerja pembangunan blok baru di atas tanah tapak permainan bersebelahan Blok D yang sempit dan tidak sesuai serta membahayakan blok-blok yang berdekatan ?

 

( c )      Saya juga telah membincangkan beberapa rayuan Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Taman Keramat Permai dengan YAB Menteri Besar semasa sesi rehat Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada 15 November 2000 dan menyerahkan surat rayuan persatuan ke tangan YAB Menteri Besar. Apakah tindakan YAB Menteri Besar di atas rayuan penduduk berhubung masalah kemudahan asas yang telah bertahun-tahun tidak diberikan perhatian oleh pihak yang bertanggungjawab seperti keretakan blok bangunan, baikpulih surau, lampu-lampu jalan utama yang tidak berfungsi, kerosakan jalan utama ke Rumah Pangsa Taman Keramat Permai, loji najis yang telah sekian lama tidak berfungsi dan juga masalah sebuah dewan badminton baru yang tidak pernah digunakan semenjak siap dibina hampir 3 tahun yang lalu ?

 

 

 

3.                  Parti-parti komponen Barisan Alternatif yang merupakan parti-parti politik yang bertanggungjawab untuk mengangkat martabat umat dan membangunkan Negeri Selangor akan terus mengadakan program-program kemasyarakatan, majlis-majlis penerangan dan forum ekonomi serta sosial dan pendidikan.

 

Saya ingin bertanya kepada YAB Menteri Besar :

 

( a )      Berapakah jumlah permit yang telah diluluskan berbanding dengan jumlah permohonan ?

 

( b )      Apakah benar YAB Menteri Besar sendiri dan pemimpin-pemimpin politik parti pemerintah telah mempengaruhi dan menekan pihak polis supaya tidak mengeluarkan permit kepada Barisan Alternatif untuk maksud program di para 3 ekoran beberapa insiden yang mengecewakan rakyat berlaku di Sabak Bernam, Tanjong Karang dan Jalan Kebun, Shah Alam ?

 

( c )      Adakah Kerajaan Negeri yang baru di bawah pimpinan YAB Menteri Besar bersedia untuk memastikan tekanan dan ugutan di para 3 ( b ) tidak berulang ?

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

4.                  Keputusan Kerajaan Negeri Selangor untuk menaikkan kadar tarif air secara mendadak baru-baru ini telah membebankan rakyat Negeri Selangor yang rata-rata terdiri dari petani, nelayan, pekebun-pekebun kecil dan juga rakyat kelas menengah.

 

Saya ingin bertanya kepada YAB Menteri Besar :

 

( a )      Adakah kenaikan ini bertujuan untuk menampung kos penggantian paip-paip lama yang didakwa menyebabkan kehilangan air bersih sehingga 40% ?

 

( b )      Apakah rasional kenaikan kadar tarif ini sedangkan bekalan air Negeri Selangor telah diswastakan kepada sebuah syarikat yang diketahui umum mempunyai hubungan rapat dengan pimpinan UMNO Negeri Selangor ?

 

( c )      Apakah YAB Menteri Besar bersetuju bahawa Kerajaan Negeri gagal untuk menangani masalah kebocoran paip-paip air yang mengakibatkan pembaziran air bersih yang terlalu besar jumlahnya sehingga memaksa Kerajaan Negeri mengambil langkah menekan rakyat dengan menaikkan kadar tarif air baru-baru ini bagi menampung kerugian akibat kecuaian Kerajaan Negeri sendiri ?

 

 

 

5.                  Kerajaan Negeri Selangor telah menawarkan projek mega untuk membina Universiti Industri Selangor di Batang Berjuntai, Permatang, Kuala Selangor kepada sebuah syarikat swasta yang diketahui umum mempunyai hubungan yang rapat dengan pemimpin tertinggi Negeri Selangor.

 

Saya ingin bertanya kepada YAB Menteri Besar :

 

( a )      Berapakah jumlah keluasan tanah yang diluluskan kepada syarikat swasta berkenaan sebagai balasan kepada pembangunan universiti ini dan jumlah belanjawan yang diperuntukkan untuk pembinaan Universiti Industri Selangor ?

 

( b )      Siapakah syarikat swasta yang mendapat tawaran ini dan apakah benar Kerajaan Negeri telah membuat pembayaran pendahuluan kepada syarikat berkenaan untuk membina universiti tersebut ?

 

( c )      Adakah Kerajaan Negeri sedar bahawa syarikat Talam Corporation juga telah dikurniakan tanah kerajaan seluas 800 ekar di Puchong, 150 ekar di Sungai Buloh dan 3,000 ekar di Kuala Selangor ?

 

 

 

6.                  Kerajaan Negeri Selangor telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor ( MTES ).

 

Saya ingin bertanya kepada YAB Menteri Besar :

 

( a )      Berapakah kalikah MTES bermesyuarat semenjak YAB Menteri Besar mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor ?

 

( b )      Berapakah jumlah projek yang diluluskan oleh MTES semenjak dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar ?

 

( c )      Berapakah keluasan pemberian tanah kerajaan yang terlibat di dalam projek-projek di para 6 ( b ) dan berapakah jumlah kos projek-projek berkenaan ?

 

 

 

7.                  Jumlah pelaburan langsung asing secara keseluruhannya telah merudum termasuk di Negeri Selangor.

 

Saya ingin bertanya kepada YAB Menteri Besar :

 

( a )      Apakah punca sebenar kemerosotan jumlah pelaburan asing di Negeri Selangor ?

 

( b )      Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk meyakinkan pelabur-pelabur asing masuk dan menanam modal di Negeri Selangor selain daripada pendekatan tradisional yang berbentuk membawa rombongan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional ke luar negara yang kononnya bertujuan untuk menarik pelabur-pelabur asing tetapi sebenarnya ianya hanya membazirkan wang rakyat ?

 

( c )      Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk menubuhkan suruhanjaya bebas bagi meneliti punca kemerosotan ini ?

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

8.                  Kemerosotan harga kelapa dan kelapa sawit telah menjejaskan pendapatan pekebun-pekebun kecil di Negeri Selangor. Nasib nelayan-nelayan juga belum mendapat pembelaan yang sewajarnya.

 

Saya ingin bertanya kepada YAB Menteri Besar :

 

( a )      Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk membela nasib pekebun-pekebun kecil ini ?

 

( b )      Apakah kedudukan Kampung Nelayan di Sabak Bernam yang mana tanah-tanah T. O. L. di Bagan-Bagan masih belum mendapat kelulusan Kerajaan Negeri ?

 

 

 

9.                  Peraturan liberalisasi perdagangan melalui AFTA akan dilaksanakan pada tahun 2003.

 

Saya ingin bertanya kepada YAB Menteri Besar :

 

( a )      Adakah Kerajaan Negeri sudah mengenalpasti industri-industri di Negeri Selangor yang akan terancam ‘survival’nya apabila peraturan ini dilaksanakan selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menangani cabaran persaingan era ekonomi globalisasi ?

 

( b )      Apakah tahap keupayaan industri-industri ini untuk terus bersaing dan apakah langkah persediaan yang telah diambil untuk membolehkan mereka terus bersaing selepas 2002 ?

 

( c )      Jika industri-industri ini tidak boleh bersaing, apakah kesan seterusnya termasuk jumlah kilang dan pembuangan pekerja yang terlibat serta apakah tindakan proaktif Kerajaan Negeri untuk merangka sesuatu agar kesan negatif penyertaan negara dalam AFTA terhadap penduduk di Negeri Selangor dapat dikurangkan seperti bentuk latihan yang perlu diberikan kepada pekerja-pekerja separuh mahir untuk membolehkan mereka mengubahsuai corak pekerjaan justeru peralihan industri yang berintensif buruh kepada industri berintensif modal dan teknologi, bentuk bantuan kepada pekerja-pekerja yang menghadapi pembuangan pekerjaan akibat penutupan kilang yang tidak mampu bersaing dalam AFTA ?

 

 

 

 

 

 

 

 

10.              Isu pendidikan merupakan isu yang penting bagi semua kaum di negara ini termasuk di Negeri Selangor.

 

Saya ingin bertanya kepada YAB Menteri Besar :

 

( a )      Berapakah jumlah SRJK ( C ) dan SRJK ( T ) di Negeri Selangor ?

 

( b )      Berapakah jumlah pelajar-pelajar Melayu dan Bumiputera yang belajar di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil di Negeri Selangor ?

 

( c )      Apakah jumlah sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil yang sedia ada di Negeri Selangor pada hari ini mampu menampung permintaan masyarakat dan sekiranya tidak, apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk membangunkan negeri ini melalui pendidikan ?