SISWA SEJAUH MANA DAPAT BERTAHAN
 
Bangkitnya siswa dalam krisis politik terkini tidaklah
ganjil, khususnya sayap PKPIM kerana sememangnya Anwar
mempunyai pengaruh dalam organisasi ini, begitu juga
badan-badan siswa Islam yang lain, seperti di bawah
pengaruh PAS, JIM atau ABIM. Kumpulan pelajar Islam
ini dan sedikit siswa bukan Melayu memang sentiasa
berkubu di kampus.
 
Tetapi sejauh mana "kebangkitan" ini dapat bertahan?
Jika mereka mahu bertahan atau malah memperkembangkan
pengaruhnya, apakah resipi yang sewajarnya?
 
Ketika Anwar mula menyertai Umno dan ketika kemuncak
namanya dalam parti itu, gerakan pelajar Islam masih
terus bernyawa, kecuali barangkali gerakan pelajar ala
ABIM atau PKPIM, tetapi tidaklah begitu keras seperti
pertembungan dengan kumpulan nasionalis atau GPMS.
 
Oleh itu, apabila Anwar dihadapkan dengan tekanan yang
hebat itu, tenaga yang tersembunyi itu pun bangkit,
dengan pengaruh yang lebih besar. Persoalannya,
sepanjang Anwar di dalam Umno, tenaga pelajar Islam
itu tidaklah melebar, malah boleh dikatakan "tersudut"
dalam kepompong mereka sendiri.
 
Tetapi peristiwa reformasi ekoran pemecatan Anwar itu
-tentunya dipengaruhi mood politik di luar kampus -
menggamit hampir semua jenis kelompok pelajar dan gaya
hidup untuk turut serta, setidak-tidaknya sebagai
pemerhati aktif.
 
Senario politik kampus yang setinggi ini tidak wujud
sepanjang pembabitan Anwar di dalam Umno. Memandangkan
selepas peristiwa Anwar diikuti pula satu suasana
kempen pilihan raya yang pendek, mood itu dapatlah
dipertahankan, tetapi untuk tempoh yang berikutnya,
katakan tiga hingga lima tahun akan datang, bagaimana
jenis pergerakan ini dapat dipertahankan di kampus?
Bagaimana pula perkembangan di luar kampus?
 
Keadaan di kampus selalunya lebih rumit untuk
memantapkan gerakan kesedaran politik ini kerana
beberapa faktor tetapi semuanya berkisar pada
kepimpinan individu atau "batch".
 
Maksud saya, kesinambungan keberkesanan kepimpinan
kampus sukar direalisasikan. Apabila seseorang tokoh
atau batch itu pergi, kualitinya sukar dipertahankan.
Apatah lagi, untuk menarik majoriti siswa agar turut
serta secara aktif sebagaimana wujud dalam tempoh 5
hingga 11 bulan lalu.
 
Malah, pada masa kini pun, siswa sudah mulai "takut"
untuk bergerak lebih ke depan - misalnya menyertai
atau mengorganisasi protes aman (tidak mestinya
demonstrasi). Dan jika dibiarkan berlarutan, maka
mereka back to square one - bersikap separuh sedar dan
malah tidak endah apa-apa!
 
Jerat itu sentiasa menunggu siswa kita. Pertama,
halangan AUKU itu sendiri, apatah lagi dalam suasana
akademia yang lebih buruk dari tahun-tahun sebelumnya.
Malah, ketika siswa kita bangkit dalam tempoh lima
hingga 11 bulan lalu, akademia kita berada di tahap
paling daif dalam sejarah kampus di negara ini! Di
sini, keberanian siswa kita sungguh mengkagumkan.
 
Kedua, senario pengkorporatan universiti yang juga
tersirat di sebaliknya usaha melembikkan aktivisme
sukarela kampus, khususnya dalam harapan mencari
kerjaya yang selesa, pencapaian material di luar
kampus, apatah lagi jika ekonomi negara terus melonjak
semula selepas ini. Saya sempat berbincang panjang hal
ini di awal-awal usaha pengkorporatan IPTA. Nyata
sekali, kebimbangan pemimpin siswa itu berjejak di
bumi nyata.
 
Ketiga, akibat dua faktor pendorong di atas, halangan
yang datang dari ibu bapa sendiri. Ya, ibubapa yang
menyokong parti-parti alternatif sendiri pun akan
mengingatkan anak-anak mereka agar "berhati-hati di
kampus" atau merangsang siswa menangguhkan semangat
itu selepas tamat pengajian. Apatah lagi jika ibubapa
itu beralasankan kemampuan rezekinya yang daif di
celah-celah yuran korporat IPTA dan yuran IPTS yang
menggila tingginya!
 
Dan inilah yang paling berkesan menarik anak-anak muda
kita agar jangan campuri urusan politik di kampus.
Ironisnya, siswa menentang AUKU tetapi "musuh
perjuangannya" bukan datang dari Dewan Rakyat atau
mahligai di Putrajaya tetapi dari rumahnya sendiri di
kampung.
 
Ugutan sang menteri, malah Bukit Aman sekali pun,
masih boleh disanggah, tetapi sepatah pesan ibubapa
sungguh berkesan membekukan semula kampus kita.
Trisakti yang menumbangkan Suharto ibarat jauh
panggang dari api.
 
Tiga faktor ini diburukkan lagi oleh pemimpin-pemimpin
siswa Islam yang gemar menyendiri dalam kepompong
kelompok atau gagal menghangatkan idealisme
majoriti kampus.
 
Ya, itulah yang saya sendiri saksikan seperti mana
ketika Anwar di dalam Umno. Hanya ada satu faktor
sahaja yang boleh mencerahkan harapan siswa -
pergolakan politik yang meluas di luar kampus seperti
tempoh 5 hingga 11 bulan lalu.
 
Itu pun, nampaknya tidak kesampaian kalau mereka
yang ketagih politik suka berkongsi sembang politik
sekadar dalam kelompok parti mereka. Ya, kecenderungan
ke arah itu sudah pun terbentang….
 
------------------
Fathi Aris Omar merupakan bekas aktivis pelajar
1983-1991, mulai di Sekolah Menengah Sains Sultan
Mahmud, Kuala Terengganu dan kini bertugas sebagai
Pengarang Berita, di akhbar web Malaysiakini.Com