Oleh Pena Suasa

 

Siapa yang mulakan kempen membenci?

 

BEBERAPA pemimpin kerajaan mengesa supaya jangan diteruskan kempen membenci pemimpin kerana ia memberi kesan besar kepada kestabilan dan keselamatan negara.

Paling baru, Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Dato’ Dr. Siti Zaharah Sulaiman meminta pengusaha taman bimbingan supaya bertangungjawab ke atas pelajaran yang diajar kepada kanak-kanak.

Dr. Mahathir Mohamad sendiri ketika diwawancara melalui stesen TV baru-baru ini melahirkan rasa hairan mengapa ada pihak-pihak mengajak rakyat membenci kerajaan.

Disebabkan Dr. Siti Zaharah dan Dr. Mahathir lupa mengapa usaha membenci kerajaan masih dilakukan, maka perlulah diiangatkan kembali siapakah sebenarnya yang memulakan cerita ini, iaitu cerita membencikan seseorang.

Ia bermula pada 2 September 1998, ketika dia memecat Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Diarahkannya semua ‘dayak-dayaknya’ di ketuai Dato’ Aziz Shamsuddin dan Dato’ Ibrahim Ali, dengan budak-budak suruhan seperti Fahmi Ibrahim, Tajuddin Rahman, Zainal Abidin Zin dan seorang dua lagi, pusing ke seluruh negara memaki hamun Anwar dan mahukan rakyat, khususnya ahli-ahli Umno supaya ‘membenci’ bekas Timbalan Perdana Menteri ini.

Walaupun Anwar sudah berkhidmat dengan Umno selama 16 tahun, mereka mahu nama Anwar dipadamkan dalam masa 16 jam. Tidak ada langsung peri kemanunusiaan dan rasa simpati terhadap anak dan isteri Anwar.

Suratkhabar digunakan semahu-mahunya, setelah beberapa ketua pengarang disingkirkan. Saban hari ada sahaja cerita liwat, tilam, air mani, bulu dan perkataan kelakuan sumbang disiarkan di muka hadapan akhbar-akhbar.

Akhirnya, rakyat mula muak dan loya membaca akhbar Malaysia yang dipimpin oleh Zainuddin Maidin dan Kadir Jassin (aruah; kerana dia juga akhirnya tersingkir dari organisasi tersebut).

Dr. Mahathir, Aziz Shamsuddin dan Ibrahim Ali mungkin seronok dengan cara pemberitaan dan laporan yang dibuat oleh media Malaysia. Maka, untuk mengembirakan hati Dr. Mahathir, Aziz Shamsuddin dan Ibrahim, maka diteruskan usaha membenci bekas pemimpin Umno itu.

Hati dan perasaan rakyat, orang Melayu/Islam dan sanak saudara Anwar tidak dihiraukan. Berita Idrus Ibrahim, abang kepada Anwar ditangkap khalwat diperbesarkan, termasuk ulasan dari Dato’ Paduka Dr. Abd Hamid Othman kononnya, mahu menggambarkan betapa tidak bermoralnya keluarga dan keturunan Anwar Ibrahim.

Pelbagai buku, risalah dan video diedarkan bagi tujuan rakyat membenci manusia bernama Anwar Ibrahim.

Isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail digambarkan tidak bermaruah bila meminta simpati dari Albright dan mengizinkan anak sulung mereka, Nurul Izah Anwar berjumpa Estrada di Filipina.

Disebabkan keterlaluan inilah, maka kesannya, berbalik kepada muka Dr. Mahathir sendiri, bukan rakyat membenci Anwar, sebaliknya rakyat membencinya. Rakyat bukan sahaja benci Dr. Mahathir, malahan rakyat juga benci Megat Junid, benci Aziz Shamsuddin, benci Ummi Hafilda, benci Dr. Abd Hamid Othman dan benci Ibrahim Ali. Jadi apa yang hendak dihairankan jika hari ini rakyat membenci suratkhabar dan rakyat tidak percaya kepada kata-kata Dr. Mahathir? Bukankah ini yang Dr. Mahathir dan dayak-dayaknya mulakan?

 

23hb. Julai 2000