Aktivis Media Akan Seret KDN ke Mahkamah


KUALA LUMPUR: Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) mungkin akan mengambil tindakan undang-undang kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) ekoran sikap segelintir kakitangan Unit Kawalan Penerbitannya yang dikatakan mengamalkan amalan double standard dan menyalahgunakan kuasa mereka ketika berurusan dengan pemilik dan pengamal media alternatif.

Jurucakapnya, Ahmad Lutfi Othman, ketika dihubungi selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan Suhakam di sebuah hotel terkemuka di sini, 6 Ogos lalu, berkata, mereka sedang mengumpul bukti-bukti berkaitan.

"Malah sebahagian karenah buruk KDN sudahpun didedahkan dalam pertemuan dengan Suhakam itu. Alhamdulillah, ahli-ahli Suhakam yang hadir, yang diketuai Tan Sri Harun Hashim memberi respons yang cukup memberangsangkan," tegas Lutfi lagi.

Dalam pertemuan itu, KAMI diwakili 16 wartawan-penulis bebas manakala Suhakam, selain Harun, diwakili Prof Mehrun Siraj, Prof Hamdan Adnan, Zainah Anwar.

Menurut Lutfi, isu kebebasan media di Malaysia tidak dapat lari dari membincangkan peraturan dan akta-akta yang mengongkong, misalnya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Dalam pertemuan itu, KAMI menggesa agar akta berkenaan dipinda, manakala konsep pemberian permit yang diamalkan selama ini dimansuhkan.

KAMI juga memandang berat peruntukan yang memberi kuasa mutlak kepada Menteri Dalam Negeri untuk melulus atau menolak permohonan baru, menggantung dan mengharamkan mana-mana permit penerbitan tanpa perlu memaklumkan sebarang alasan.

"Dari sudut ini, KAMI juga bercadang untuk mempersoalkan kesahihan peruntukan berkenaan, yang menafikan terus peranan mahkamah sebagai tempat rujukan terakhir. Pindaan yang dibuat pada 3 Disember 1987, hanya selepas 35 hari Operasi Lalang berkuatkuasa, hanya mendedahkan dendam kesumat Mahathir kepada badan kehakiman ketika itu, yang akhirnya membuatkan bekas Ketua Hakim Negara dan dua lagi Hakim Mahkamah Agung dipecat," tambah Lutfi.

"Zaman sekarang sudah berubah, hakim-hakim kini sudah menjadi kroni Mahathir, jadi apa perlu dibimbangi peranan mahkamah untuk menjadi orang tengah dalam perbalahan KDN dengan media alternatif. Tapi kami lebih suka jika Suhakam sendiri dapat bertindak sebagai orang tengah itu," tegasnya lagi. .

"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"








--------------------------------------------------------------------------------
KAMI
24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak
53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks : 03-4630372