KINI

13 June 2000

Edisi 153

10 Rabiul Awal 1421

 

Senjata Makan Tuan di Teluk Kemang [ download ]

Warta Berita Radio Malaysia pukul tujuh pagi Isnin 12 Jun menyiarkan rakaman ulasan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai keputusan Pilihanraya Kecil Teluk Kemang. Suara TPM itu agak cemas dan bimbang. Beliau didengar berkata, "Tentera dan Polis menentang kerajaan".

Abdullah Ahmad Badawi merujuk kepada keputusan undi pos dalam pilihanraya Teluk Kemang Sabtu, 10 Jun lalu. Walaupun Barisan Nasional (BN) menang, tetapi menang dengan majoriti undi yang merosot. Yang lebih membimbangkan Timbalan Presiden Umno itu ialah BN kalah dalam undi pos di Teluk Kemang. Kalah dalam undi pos bagi BN satu perkara yang serius.

Port Dickson terletak di dalam Parlimen Teluk Kemang. Banyak kem tentera di situ. Terdapat ramai tentera jadi pengundi di kawasan itu. Biasanya undi pos memihak kepada BN. Undi pos ialah undi bagi tentera dan polis serta isteri mereka. Najib Tun Razak hampir tewas dalam parlimen Pekan, Pahang. Beliau diselamatkan oleh undi pos (Tentera dan Polis). Bagi BN, undi pos ialah senjata terakhir baginya untuk menyelamatkan diri. Undi pos semacam pelampung atau life-jacket bagi BN.

Tetapi keadaan sebaliknya telah berlaku di Teluk Kemang. "Senjata telah memakan tuan". Tentera dan Polis tidak bulat menyokong BN lagi. Terdapat 5,005 undi pos dalam parlimen Teluk Kemang. S.Sothinathan (BN) mendapat 1,625 undi. Ruslan Kassim (Keadilan) mendapat 1,743 undi. Jadi, bagi undi pos, Keadilan menang dengan 118 undi. Ini yang merisaukan BN. Abdullah Ahmad Badawi berkata BN akan membuat kajian mengapa Tentera dan Polis menentang kerajaan?

Dalam pilihanraya umum 29 November tahun lalu, BN menang dalam pengiraan undi pos di Teluk Kemang dengan kelebihan majoriti 1,144. S.A. Anpalagan (BN) mendapat 1,874, manakala N.Gobalakrishnan (Keadilan) bertanding atas lambang DAP mendapat 730 undi pos.

Sebenarnya Abdullah Ahmad Badawi tersilap apabila berkata Tentera dan Polis menentang kerajaan di Teluk Kemang. Abdullah yang sudah lama jadi menteri kerajaan masih tak faham prinsip pengasingan kuasa (separation of powers). Dalam pilihanraya di Teluk Kemang baru-baru ini bukan kerajaan yang bertanding. Yang bertanding ialah BN dan Barisan Alternatif (BA). BN diwakili oleh MIC dan BA diwakili oleh Keadilan. Kerajaan tidak boleh bertanding dalam pilihanraya.

Kerajaan bukan parti

Yang ditentang oleh kebanyakan Tentera dan Polis di Teluk Kemang seperti yang digambarkan oleh keputusan undi pos itu ialah BN. Kenapa Tentera dan Polis menentang BN, ini Abdullah yang jadi menteri menjaga polis dan Najib yang menjadi menteri yang jaga Tentera kena tanya mereka. Apakah gaji mereka rendah? Kalau gaji tidak rendah, adakah kerana masalah kekurangan rumah dan kuaters kediaman bagi Tentera dan Polis? Kalau rumah dan kuaters semua sudah sedia, kenapa mereka menderhaka kepada BN? Tentu ada sebabnya.

Tentera dan Polis adalah institusi yang berkecuali dari segi politik kepartian. Tetapi anggota mereka secara diri peribadi diberi hak untuk mengundi dalam proses demokrasi berparlimen. Tentera dan Polis sebagai institusi bertugas menjaga pertahanan dan keselamatan awam. Ini termasuk mempertahankan kerajaan yang dipilih rakyat dari ditumbangkan dengan cara di luar perlembagaan seperti tentangan bersenjata.

Tetapi menentang parti yang menjadi kerajaan secara mengundi dalam pilihanraya dibenarkan oleh Perlembagaan negara. Ia bukan satu bentuk tentangan bersenjata. Tentera dan Polis sebagai sebuah institusi tidak boleh mengundi. Sebab ia bukan manusia. Bukan warganegara bernyawa. Tetapi anggota Tentera dan anggota Polis secara diri peribadi boleh menentukan parti politik mana yang mereka suka. Inilah yang telah berlaku selama ini dan inilah demokrasi.

Malangnya selama ini pengundian pos yang melibatkan Tentera dan Polis berjalan dalam keadaan yang tidak telus. Banyak penipuan dilaporkan berlaku selama ini seperti didedahkan oleh bekas Tentera dan Polis. Mereka berkata terdapat kes undi pos itu tidak sampai kepada pengundi. Ketua di kem mengundi bagi pihak mereka tanpa izin. Selama ini, Tentera dan Polis mengundi di depan ketua mereka dan dipastikan mengundi BN sahaja.

Selepas banyak kritikan dari pelbagai pihak tertutama dari parti-parti pembangkang tentang undi pos, kini ada sedikit perubahan yang lebih baik. Pegawai SPR dikatakan menyaksikan proses pengundian pos di kem-kem Tentera dan Polis. Namun begitu ini masih tidak telus dan adil. Sebab?

Najib, Menteri Pertahanan boleh datang berkempen ke kem-kem Tentera seperti yang berlaku di Teluk Kemang. Abdullah, Menteri Dalam Negeri boleh berkempen di kalangan Polis. Tetapi Ruslan Kassim dan pemimpin-pemimpin Parti Keadilan serta parti pembangkang lain tidak boleh berkempen di kem-kem Tentera dan Polis. Malah wakil calon pembangkang juga tidak dibenarkan masuk menyaksikan proses pengundian pos di kem-kem itu.

Sedang dalam keadaan yang tidak adil ini, BN tewas di kalangan Tentera dan Polis yang merupakan tunggak menyokong sesebuah kerajaan. Apabila sesebuah kerajaan yang tidak popular dan dibenci dikepung oleh rakyat, kerajaan itu akan menoleh kepada Tentera dan Polis untuk membantunya. Ini yang berlaku pada akhir zaman Marcos dan Suharto. Tentera dan Polis dikerah untuk menghancurkan tentangan rakyat. Tetapi akhirnya Tentera dan Polis tidak sanggup berterusan mempertahankan pemerintahan yang dibenci rakyat. Tentera dan Polis akhirnya akan berpihak kepada rakyat. Mereka juga akan bersama menjatuhkan regim yang dibenci rakyat itu.

Ramos dan Enrile akhirnya belot dan memberontak terhadap Marcos di Filipina. Ramos ketika itu menjadi Ketua Pemerintah Polis Filipina. Enrile pula ialah Menteri Pertahanan Filipina yang menjaga Tentera. Keduanya kemudian bergabung dengan Corazon Aquino dalam People’s Power, satu revolusi rakyat menjatuhkan diktator Marcos. Begitu juga di Indonesia. General Wiranto akhirnya mendesak Suharto supaya turun.

Sekarang di Teluk Kemang, anggota Tentera dan Polis telah menghantar isyarat awal kepada BN. Tentera dan Polis sudah nampak ada yang tidak betul dalam kerajaan BN sekarang. Abdullah Ahmad Badawi tidak tahu puncanya. Najib juga mungkin tidak tahu sebabnya. Cuba kedua pemimpin tertinggi Umno ini tanya Mahathir. Adakah dia puncanya?