KENYATAAN MEDIA BIRO PENDIDIKAN BARISAN ALTERNATIF MENGENAI SEMINAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Biro Pendidikan Barisan Alternatif (BA) akan menganjurkan satu Seminar Pendidikan Kebangsaan 2001 selama dua hari pada pertengahan bulan Julai tahun 2001 ini. Seminar tersebut telah dirancangkan sejak awal tahun ini lagi.

Tujuan utama Seminar ialah untuk menilai semula sistem pendidikan dari sudut matlamat, polisi serta pelaksanaan, dan mengkaji isu-isu kritikal serta masalah-masalah pokok dalam bidang pendidikan, bagi merumuskan satu Sistem Pendidikan Alternatif yang baru untuk abad ke-21.

Setelah 43 tahun Malaysia merdeka, masih banyak lagi isu serta masalah pendidikan yang masih belum dapat ditangani dengan memuaskan, meskipun beberapa Laporan Pendidikan dan Akta Pendidikan telah bertukar ganti dan dipinda. Isu dan masalah yang berbeza melibatkan peringkat pendidikan yang berlainan, dari pra-sekolah membawa kepada sekolah sehingga ke universiti.

Antaranya ialah: pendidikan dan perpaduan negara; pendidikan dan pembangunan ekonomi, sosial serta moral; mutu pendidikan dari segi penuntut, guru, kurikulum, kelengkapan sekolah dsb.; perbezaan kemudahan pendidikan mengikut wilayah, kaum serta lapisan masyarakat; hubungan pendidikan dengan pelbagai nilai, budaya, sejarah, pemikiran, kepercayaan serta peradaban dalam masyarakat; soal-soal bahasa Melayu, bahasa ibunda, bahasa Inggeris dll. dalam sistem pendidikan; dan banyak perkara lagi.

Seminar ini diadakan secara tertutup. Seramai kira-kira 120 orang akan diundang untuk menyertainya. Mereka terdiri daripada para pemikir, pendidik, ahli politik, aktivis masyarakat serta individu yang berminat atau bergerak cergas dalam bidang pendidikan. Kira-kira 20 buah kertas kerja akan disediakan oleh pakar-pakar pendidikan, guru, pelajar, anggota masyarakat serta NGO yang diketahui membuat kajian atau menjalankan kegiatan pendidikan.

Berikutan seminar ini beberapa buah bengkel pula akan diadakan secara berkala untuk membincangkan dengan lebih mendalam lagi perkara-perkara penting yang dikemukakan dan mungkin tidak dapat dibincangkan sepenuhnya dalam seminar itu. Akhir sekali, sebagai kemuncak, satu Kongres Pendidikan Kebangsaan akan diselenggarakan pada awal tahun 2003. Kongres ini akan diadakan secara terbuka.

Dr Syed Husin Ali Pengerusi Biro Pendidikan Barisan Alternatif (BA)

19hb April 2001