LAPORAN RINGKAS GERAKAN MENYELAMATKAN WANG RAKYAT JOHOR PEMUDA BARISAN ALTERNATIF

JOHOR BAHARU – 3.30 petang 3 Mac 2001, rombongan Pimpinan Pemuda Barisan Alternatif telah sampai ke Tol Kempas iaitu titik pertemuan sepertimana yang dijanjikan. Rombongan kami telah terus dibawa oleh rakan Pemuda BA Johor ke Stesyen Bas Larkin untuk memulakan operasi mengedar risalah. Sdr Ezam dan Salahuddin Ayub telah disambut oleh tokoh-tokoh Pemuda Johor seperti Sdr Mazlan Aliman, Sdr Nasir Tasrip, Sdr Zulkifli Ahmad, Sdr Azam, Sdr Malek dan ramai lagi termasuk tokoh vateran DAP Sdr Ahmad Ton. Operasi menggedarkan risalah berhubung penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh Dr. Mahatir untuk menyelamatkan kroninya dengan merompak duit rakyat telah langsung selama sejam lebih.

Sekitar jam 5.00 petang kami telah beredar untuk ke Plaza Angsana di Skudai. Risalah sebanyak 10,000 helai yang kami edarkan itu telah kami langsaikan tidak sampai setengah jam. Sebelum meneruskan perjalanan kami, Pimpinan Pemuda BA Pusat dan Negeri sempat mengadakan sidang media bersama wartawan yang mengikuti program kami. Sdr Ezam dan Salahuddin juga sempat berucap di Medan Selera plaza tersebut sekitar setengah jam sebelum bergerak ke Taman Senai Utama untuk meninjau tapak program.

Kami sampai di tapak program sekitar jam 6.30 petang, dan disambut oleh PDrM yang sudah hadir lebih awal bagi menjalankan tugas mereka menggagalkan program kami dengan mengepung semua pintu masuk ke tapak program melalui sekatan jalanraya. Kelihatan pihak PDrM begitu teliti dengan persiapan untuk membuat serangan melalui penyusunan anggota dan tinjauan pegawai-pegawai mereka. Lori-lori “water canon” dan trak FRU telah ditempatkan di perkarangan Balai Polis Kulai. Menyedari serangan yang bakal dilakukan, persiapan untuk menghadapi mereka telah dibuat dengan menyediakan kubu yang kukuh bagi memastikan “water canon” hanya boleh menembak dari jauh dan tidak dari jarak dekat. Berbagai persiapan lain termasuk meletakkan petugas di sebelum dan selepas sekatan jalanraya untuk memaklummkan bahawa program tersebut diteruskan juga telah dilaksanakan.

Segala persiapan yang telah dibuat dan keberanian penyokong Barisan Alternatif yang langsung tidak mengendahkan usaha menakutkan rakyat yang dilakukan oleh PDrM telah berjaya mengumpulkan sekitar 10,000 penyokong di Dataran Reformasi Taman Senai Utama itu. Pihak PDrM yang cukup bersungguh untuk melakukan serangan akhirnya membuat keputusan bijak untuk membatalan “operasi gas pemedih dan hujan asid”.

Ceramah Perdana Gerakan Menyelamatkan Wang Rakyat telah dimulakan dengan ucapan wakil DAP diikuti oleh PRM iaitu Sdr Salleh yang menggantikan Sdr Faizal Sanusi (menjalani pembedahan), Sdr Ezam dan akhirnya Sdr Mahfuz. Selepas tamat program, pihak PDrM telah melahirkan kekecewaan mereka dengan kegagalan “operasi gas pemedih dan hujan asid” dengan menangkap Sdr Mazlan Aliman (Ketua Pemuda PAS Johor), Sdr Aminuddin Ayub (Ketua Pemuda PAS Senai) dan Sdr M. Hatta Khalit (Tim. Ketua Bahagian KeADILan Senai). Mereka bertiga dilokap semalaman dan akan didakwa pada 16 Mac ini di Mahkamah Majistreet Kulai. Gerakan Menyelamatkan Wang Rakyat akan diteruskan pada 11 Mac ini di Kota Baharu, Kelantan.

LOKMAN ADAM Setiausaha Pemuda Barisan Alternatif