Aug 1, 2000

Lambaian terakhir 4 Ogos

Fathi Aris Omar

Tiada lagi lambaian Anwar. Tiada lagi senyumannya. Episod Anwar sedikit masa lagi berakhir. Tarikh 4 Ogos ini menjadi saksi perpisahan itu. Segala-galanya kemudian hanya tinggal nostalgia.

Sesiapa yang ‘bercinta' dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu harus memulakan hidup baru. Laungan re-for-ma-si Anwar berakhir walaupun perhimpunan proreformasi gagal dilumpuhkan. Beberapa bekas setiausaha pemimpin nombor dua itu harus belajar menjana tenaga baru daripada isu baru.

Puteri sulungnya dan isterinya sendiri, Dr Wan Azizah Ismail, harus menerima hakikat ini - kali ini tiada peluang meninggalkan medan seperti episod 14 April lalu. Dua tahun berturut-turut tarikh itu menunjukkan seorang isteri yang bertukar ahli politik itu gagal menyelami rakyat marhain di belakang suaminya dan dirinya sendiri.

Kali ini, Kak Wan harus duduk di tengah-tengah para demonstran, jangan melarikan diri ke rumah serta-merta kerana itu bukan tugas seorang wakil rakyat, ahli politik dan lebih-lebih lagi, isteri Anwar.

Beliau seharusnya lebih memerlukan Anwar, bukannya hamba-hamba kerdil di celah-celah sorakan reformasi.

Dua anak Anwar akan berlepas ke Australia untuk menyambung pelajaran, sementara Nurul Izzah mula meneruskan pelajaran. Apakah masih relevan untuk mengekalkan ‘Puteri Reformasi' di sebuah institusi yang dikawal akta universiti?

Lanskap politik yang berkisar pada isu Anwar - atau lebih tepat, batang tubuh Anwar - akan berubah corak. Seorang perwakilan PAS dalam muktamar di Kuala Terengganu pada awal Jun mengingatkan parti itu tentang isu Anwar. Pilihan raya 2004, isu Anwar harus difikirkan semula.

Tetapi parti itu, dan beberapa parti Barisan Alternatif, janganlah meninggalkan Anwar keseorangan pada 4 Ogos ini. Calon Perdana Menteri BA itu tidak wajar dikhianati kerana kehebatan isunya tidak boleh ditunggangi lagi. Apakah wajar politik itu semata-mata berkisar pada soal "siapa memperalatkan siapa"?

Bagaimanapun, sebagai bekas pemimpin berpengaruh, Anwar akan tetap dikenang walau rakan-rakannya meninggalkan Anwar. Badan-badan Islam yang suka dikaitkan dengan Anwar dan mendapatkan durian runtuh boleh jadi melupakannya.

Tetapi episod politik ekoran pemecatan, pemenjaraan dan pembelasahannya akan berbekas dalam ingatan kolektif rakyat Malaysia - khususnya rakyat yang tidak mendapat apa-apa manfaat daripada Anwar.

Semua pemimpin politik - malah semua orang - harus belajar daripada episod Anwar; bahawa rakan ketawa terlalu mudah dicari daripada rakan menangis.

Rakan-rakan yang menangis itulah yang akan menjejakkan kaki di sepanjang jalan 4 Ogos ini. Sebahagiannya tidak pernah bertemu Anwar tetapi jiwa mereka sentiasa dekat dengan pemimpin itu.

Anwar, jalan ini jalan sunyi. Bingitnya hanya apabila ada laungan re-for-ma-si.

Kalau laungan itu sudah tiada, apa lagi hadiah untuknya?

Insan-insan marhain itu akan mengiringi Anwar dan menyambut lambaian terakhirnya. Mereka akan menghadiahkan laungan itu sekali lagi.

Tiada yang lebih daripada itu. Selamat jalan, Anwar.