Oleh Ummu_Natasya

ummu_natasya@hotmail.com

 

DOLAH GUNA “SEJAGAT” SEBAGAI STRATEGI

 

TIMBALAN Perdana Menteri (TPM), Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sudah hilang kemaruk menjadi TPM kini bersiap sedia dan menyusun strategi untuk menjadi Perdana Menteri (PM) pula.

Sebuah akhbar tabloid, dua kali sebulan bernama Sejagat sudah beredar di pasaran dan cuba menjadi pendokong politik Dolah Badawi yang seolah-olah pemikir dan pejuang Islam.

Akhbar yang cuba menjadi akhbar bebas ini tidak dapat lari dari memuji muja Dolah Badawi dan sedikit-sedikit menyelitkan kehebatan Dr. Mahathir tetapi menjadikan kenyataan Ketua DPP, Haji Mahfudz Omar sebagai berita utama muka depan bagi menarik pembeli.

Jangan terkeliru, kerana media ini boleh dibaca tetapi ia tidak lain untuk mengutuk dan mengecam Pas dan kepimpinan dua Tok Guru, iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Gambar-gambar muka tengah dan muka belakang di siarkan gambar penderitaan umat Islam di negara-negara Islam lain kononnya mahu menakut-nakutkan pembaca semua, jika menolak Umno, umat Islam di Malaysia akan senasib mereka.

Strategi dan tektik lama ini sudah tidak berkesan. Jemputlah para bekas wartawan dan jemputlah penulis tidak bermaruah ini. Yang pasti mereka ini ketika menjadi penulis juga kepingin hendak menjadi pemimpin Umno tetapi mereka jelas sudah kalah di bahagian-bahagian. Mereka ingin kembali sebagai penulis, yang pastinya mereka sendiri keliru dengan arah tuju masing-masing, nak popularkan diri sendiri dan nak jadi pengkritik. Orang Umno yang kalah di bahagian biasanya jadi “gila talak” dan jadi penulis sekurang-kurangnya boleh lepaskan geram dengan cara menulis dan menggunakan pelbagai nama samaran.

Ada bekas Ketua Pemuda Bahagian yang menulis, ada bekas Naib Ketua Pemuda Bahagian dan ada juga bekas Naib Ketua Umno Bahagian. Yang jelas, masing-masing tahu bahawa Utusan Malaysia (Utusan Meloya) dan Berita Harian (Berita Hairan) sudah terlalu jauh ditinggalkan oleh pembaca Melayu.

Mereka berhempas pulas mencari media alternatif bagi memastikan mesej Umno boleh disampaikan. Mereka mulai risau, jika tidak berbuat sesuatu, Barisan Nasional (BN) akan tumbang dalam pilihan raya akan datang.

Buatlah apa sahaja. Yang pertama masing-masing sibuk menyusun strategi untuk menjadi orang yang berkuasa. Juak-juak mengatur permainan untuk meletakkan Dolah Badawi sebagai Perdana Menteri kerana mereka tahu, selepas 36 bulan menjadi timbalan, Dolah akan mengalami nasib seperti tiga timbalan Dr. Mahathir yang lalu.

Jika Dr. Mahathir sedar bahawa akhbar Sejagat dikeluarkan kerana “strategi Dolah”, lebih cepat proses mengundurkan Dolah berlaku.

Mustahil dalam sekelip mata, satu permit penerbitan boleh dikeluarkan tanpa “arahan” Dolah. Dolah perlu mempercepatkan proses menjatuhkan Dr. Mahathir jika mahu menjadi Perdana Menteri. Sudah lapan alasan Dr. Mahathir beri untuk berundur tetapi ada-ada sahaja alasannya mengapa dia tidak berbuat demikian hingga saat ini.

Dr. Mahathir tahu, Dolah tidak berkemampuan. Dr. Mahathir tahu, Dolah hanya setanding Tun Ghafar Baba sebagai TPM. Dr. Mahathir tahu, jika Dolah diberikan kepercayaan menggantikannya, parti dan negara tidak akan stabil.

Dalam diri Dolah, musuh dia bukan sahaja Dr. Mahathir selagi Dr. Mahathir tidak berhenti tetapi musuh yang paling dikhuatirinya ialah Najib Tun Razak.

Dolah tahu Najib sibuk membawa Ketua-ketua Umno Bahagian ke luar negara sekarang sebagai persiapan untuk “berhadapan” dengan Dolah bila Dr. Mahathir sudah tidak ada.

Dan Sejagat dijadikan “senjata” untuk menembak Dr. Mahathir dan menembak Najib. Satu “ketul batu” mesti membunuh dua ekor burung… Dolah fikir.

Dolah kena susun strategi untuk “membunuh” dua ekor burung ini. Jika tidak, Dolah juga akan senasib dengan Ghafar yang dikatakan “tok guru politik” Dolah.