Kegagalan Amanah Saham Johor
 
Oleh Hassan Karim
Naib Presiden PRM
 
Pada suatu ketika sebelum kegawatan ekonomi, Kerajaan BN negeri Johor
begitu bangga dengan skim pelaburannya Amanah Saham Johor (ASJ). Seramai
125,000 orang telah melabur di dalam ASJ. Saham ASJ telah dijual pada
harga RM1 seunit. ASJ telah mendapat sambutan hebat terutama apabila
pihak pengurusan ASJ iaitu Perbadanan Johor mengumumkan bahawa nilai
saham ASJ akan naik menjadi RM5 seunit.
 
Suara Johor, sebuah buletin rasmi Kerajaan Negeri Johor, terbitan bulan
Jun 1996 (muka surat 10) melaporkan kenyataan Ketua Eksekutif Perbadanan
Johor, Datuk  Mohammad Ali Hashim bahawa harga jualan ASJ dapat
ditingkatkan kepada RM5 pada tahun 1997. Pengumuman itu telah
menyebabkan ramai rakyat Johor berebut-rebut membeli saham ASJ. Mereka
melihat skim ASJ semacam suatu skim “cepat kaya” sama seperti skim “labu
peram” atau skim “Pak Man Telo”. Bezanya skim ASJ ini sah mengikut
undang-undang dan dijamin oleh kerajaan.
 
Mana orang yang tidak ada wang sendiri, ramailah yang meminjam dari
bank-bank. Sesetengahnya meminjam sehingga RM10,000. Malah ramai pelabur
yang berhutang dengan bank lebih daripada itu. Siapa yang tidak mahu
kaya dengan cepat? Beli saham RM1 seunit  kemudian dalam tempoh terdekat
nilainya menjadi RM 5 seunit.
 
Tetapi matahari pun tidak selamanya menyinar. Ada kalanya ia naik dan
kemudian sampai waktunya ia akan turun dan tenggelam. Tanpa diduga oleh
Perbadanan Johor, krisis ekonomi kemudian datang melanda Malaysia mulai
pertengahan tahun 1997.
 
ASJ terjejas teruk. Harga saham ASJ menjunam seperti payung terjun yang
gagal dikembangkan. Punca utamanya kerana Perbadanan Johor itu sendiri
goyang dan kemudian runtuh. Dari sebuah perbadanan pelaburan kerajaan
negeri yang berjaya, Perbadanan Johor kini berhutang melebihi setengah
bilion ringgit. Pada 1 Ogos tahun ini, di Dewan Undangan Negeri Johor,
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman mengaku bahawa Perbadanan Johor
mengalami kerugian sebanyak RM561.88 juta kesan kegawatan ekonomi yang
melanda negara.
 
Kerugian Perbadanan Johor yang kemudiannya menjejaskan prestasi ASJ
tidak boleh disalahkan hanya ke atas faktor kegawatan ekonomi. Menteri
Besar Johor, Ghani Othman yang juga menjadi Pengerusi Perbadanan Johor
dan  Muhammad Ali Hashim, Ketua Eksekutif Perbadanan Johor sama-sama
patut bertanggungjawab terhadap kegagalan strategi pelaburan perbadanan
tersebut.
 
Di Dewan Undangan Negeri Johor, Ghani Othman telah mengaku bahawa banyak
syarikat-syarikat milik Perbadanan Johor mengalami kerugian. Saiz
operasi Perbadanan Johor terlalu besar. Perbadanan Johor telah
melibatkan diri di dalam pelbagai bidang perniagaan seperti pertanian,
kesihatan, perkayuan, pembangunan perindustrian, hartanah dan usahawan,
perkhidmatan modal, industri berat, kertas dan penerbitan, pengangkutan,
pelancongan, makanan, perhotelan, bisnes sukan, franchise dan lain-lain
pelaburan.
 
Kadang-kadang syarikat milik Perbadanan Johor bersaing dengan
syarikat-syarikat kecil milik bumiputera. Perbadanan Johor terlalu
mengejar keuntungan wang ringgit. Sebagai contoh, ia telah telibat
dengan pembangunan perindustrian seperti di Tanjong Langsat berdekatan
Pasir Gudang. Untuk membangunkan kawasan itu Perbadanan Johor sehingga
tergamak mengusir secara paksa (dengan pampasan tidak seberapa) beratus
keluarga Melayu miskin di kampung-kampung tradisi di kawasan berkenaan.
Kezaliman yang dilakukan atas nama pembangunan.
 
Selain yang disebutkan itu, banyak lagi tempat dan perkampungan rakyat
miskin di dalam kawasan Johor Bahru dan Pasir Gudang berlaku perobohan
rumah rakyat miskin oleh perbadanan Johor. Misalnya di Rumah Rakyat SEDC
di Tampoi.
 
Pada satu ketika, Perbadanan Johor begitu angkuh kerana dalam tempoh 27
tahun ia beroperasi, ia sentiasa untung dan tidak rugi. Perbadanan Johor
tidak peduli akan protes rakyat miskin kerana berasa dirinya cukup
berpengaruh. Sebab Perbadanan Johor menyumbang berjuta-juta ringgit
setahun hasil untungnya kepada kerajaan negeri. Lalu pihak pengurusan
Perbadanan Johor bertindak bebas tanpa kawalan kerajaan negeri, hatta
oleh Menteri Besar yang merangkap jawatan Pengerusi Perbadanan Johor
itu.
 
Tetapi kesan kegawatan ekonomi dan kelemahan strategi pelaburan telah
menyebabkan akhirnya pihak pengurusan Perbadanan Johor tersedar akan
kesilapan dan keangkuhannya. Malangnya, kesedaran itu berlaku hanya
setelah ia mengalami kerugian lebih RM500 juta. Sudah terantuk baru
terngadah!
 
Salah satu pihak yang menjadi mangsa akan prestasi buruk Perbadanan
Johor ialah 125,000 pelabur ASJ. Kebanyakan mereka yang melabur itu
berhutang dengan bank. Kesemua pelabur ASJ ini Melayu. Sebab skim ASJ
hanya untuk bumiputera. Dengan harga ASJ yang begitu rendah (27 sen
seunit ketika rencana ini ditulis) bermakna ramai pelabur kecil Melayu
yang bukan orang kaya, kini terpaksa menanggung beban membayar hutang
bersama-sama faedah kepada pihak bank. Dividen ASJ mereka tidak dapat
tetapi hutang berserta bunga faedah, mereka kena bayar setiap tahun.
Ramailah pelabur yang bernasib malang kerana “tidak ada beban batu
digalas”.
 
Ketua Eksekutif Perbadanan Johor Datuk  Mohammad Ali Hashim, tidak lama
dahulu telah membuat pengumuman terbuka meminta maaf  kepada para
pelabur ASJ akan kemerosotan saham ASJ itu. Tetapi maaf itu tidak dapat
mengurangkan kesengsaraan ke atas 125,000 pelabur ASJ.  Pihak bank yang
memberi hutang tidak kenal maaf. Hutang tetap hutang. Pernyataan maaf
tidak boleh melunaskan hutang pelabur. Para pelabur yang meminjam dari
bank mesti membayar.
 
Jadi, isu kegagalan ASJ telah menjejaskan imej kerajaan BN Johor. Ramai
pelabur yang marah kepada pemimpin kerajaan negeri kerana isu tersebut.
Prestasi buruk ASJ sekarang semacam duri dalam daging BN Johor. Ramai
rakyat Johor, termasuk ahli-ahli UMNO sendiri marah kepada pihak
pengurusan ASJ, iaitu Perbadanan Johor. Datuk Mohammad Ali Hashim selaku
Ketua Eksekutif Perbadanan Johor telah meminta maaf. Tetapi Datuk Ghani
Othman selaku Pengerusi Perbadanan Johor masih belum meminta maaf kepada
para pelabur ASJ. Ramai pelabur rasa tertipu.
 
Walaupun BN telah menang di semua kawasan Dewan Undangan Negeri dan
Parlimen di Johor dalam pilihanraya umum 29 November tahun lalu tetapi
prestasi BN merosot di semua kawasan undi. Jumlah undi majoriti yang
diperolehi BN telah banyak berkurang. Sokongan pengundi Melayu
terutamanya jelas merosot. Ini mungkin terjadi akibat beberapa sebab,
termasuk isu Anwar Ibrahim. Tetapi ada kemungkinan juga disebabkan
kemarahan para pelabur ASJ yang berasa tertipu dan rugi.
 
Jadi, prestasi lembab ASJ ini amat merisaukan Kerajaan BN Johor pimpinan
Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman. Pada 4 Ogos lalu, di Dewan
Undangan Negeri Johor juga satu soalan berhubung dengan prestasi ASJ
telah dibangkitkan. Ghani Othman telah menjawab. Kata Menteri Besar
Johor itu,  Kementerian Kewangan Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC)
memandang serius akan prestasi tidak memberangsangkan ASJ dan Dana Johor
(DJ), iaitu satu lagi amanah saham yang diuruskan oleh Pelaburan Johor
Berhad (PJB), anak syarikat Perbadanan Johor.
 
Suruhanjaya Sekuriti telah memantau syarikat pengurusan iaitu syarikat
Pelaburan Johor Berhad sejak tahun 1997. Pemantauan SC itu dibuat
menerusi dua badan bebas iaitu Juruaudit Tetuan Price Waterhouse Coopers
dan perunding pengurusan dana, Tetuan Watson Wyatt.
 
Kemudian, sekali lagi iaitu pada 11 September lalu ketika berucap pada
majlis penutup Konvensyen Umno Johor 2000 di Batu Pahat, Ghani Othman
membangkitkan isu ASJ. Kerajaan negeri katanya telah mengarahkan
Perbadanan Johor supaya segera mengambil langkah sewajarnya  untuk
mengukuhkan harga Amanah Saham Johor (ASJ) dan Dana Johor.  Ghani Othman
kena bertanya dirinya sendiri: Siapa sebenarnya Pengerusi Perbadanan
Johor?
 
Presatsi ASJ jika tidak dikembalikan pulih, sekurang-kurangnya ke paras
RM1 seunit dalam tempoh dua tahun akan datang ia akan menjadi satu isu
yang boleh mencetuskan kemarahan rakyat terutama para pelabur. Ini akan
membahayakan kedudukan BN Johor dalam pilihanraya umum akan datang,
mungkin pada tahun 2004.
 
Sejak awal tahun ini harga ASJ pada paras di bawah 30 sen seunit. Tidak
ada tanda-tanda ia akan pulih. Ini yang menjadikan pemimpin BN di Johor
terutamanya Ghani Othman risau. Semenjak Ghani Othman menjadi Menteri
Besar Johor, bukan ASJ sahaja yang merosot. Banyak lagi
syarikat-syarikat milik kerajaan negeri yang rugi berjuta-juta ringgit.
Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), sebuah syarikat milik kerajaan
negeri yang ditubuhkan oleh Ghani Othman juga telah merekodkan hutang
dengan bank sebanyak RM429.4 juta pada bulan Disember tahun lalu.
 
Justeru itu, kita berasa masanya sudah sampai untuk mendesak Badan
Pencegah Rasuah (BPR) supaya segera membuat penyiasatan apa sebab
sebenarnya Perbadanan Johor, ASJ dan KPRJ mengalami kerugian
beratus-ratus juta ringgit masing-masing.