TINDAKAN POLITIK TIDAK BERMARUAH OLEH UMNO
 
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini negara kita
heboh dengan ancaman kerajaan untuk menarik balik
royalti minyak yang diberikan kepada kerajaan
Terengganu selama ini. Ramai yang terkejut, bahkan
ramai yang marah. Kalau dilihat dari segi komposisi
keuntungan politik, jelas bahawa kredibiliti kerajaan
semakin jatuh, namun demi mencapai objektif politik
balas dendam mereka, kerajaan sanggup mengenepikan
perjanjian yang telah dipatuhi selama hampir 25 tahun.
 
Sekali imbas, tindakan kerajaan tidak mendapat respons
baik dari rakyat. Seperti isu Sauk, beberapa hari
lepas, Rais Yatim terpaksa menjadi budak suruhan untuk
memberi penerangan kepada rakyat. Dan seperti
diketahui, hujah-hujah yang dikemukakan langsung tidak
mempunyai logika dan asas ekonomi serta perundangan
yang kukuh dan meyakinkan. Yang cuba diberitahu
hanyalah alasan popular bahawa tindakan tersebut
bukanlah sesuatu yang bermotifkan politik.
 
Sebenarnya tidak sukar untuk mengagak mengapa rakyat
Terengganu dihukum sebegitu rupa. Sebab yang paling
besar ialah kerana mereka menjadi pengundi yang bijak
mengundi. Akibatnya, mereka dituduh tidak bersyukur
kerana memilih sebuah kerajaan yang bertunjangkan
kepimpinan ulama'. Mereka dituduh tidak bersyukur
kerana memilih kerajaan yang menyatakan syukur itu
hanya untuk Allah, UMNO bukan pemberi rezeki. Sebagai
balasan, hak 5 peratus royalti minyak itu dinafikan.
Secara mudahnya, bolehlah dianggap tindakan itu
sebagai membuktikan bahawa wang royalti berjuta-juta
untuk negeri Terengganu itu sebenarnya datang dari
kerajaan pusat. Kalau tidak memilih UMNO, mereka akan
hidup sengsara. Akibatnya, kini menjadi suatu tanda
tanya, adakah dalam sebuah negara demokrasi, hak
rakyat yang memilih pembangkang sebagai kerajaan boleh
dinafikan sewenang-wenangnya. Sikap ini menunjukkan
betapa biadap kerajaan untuk tidak menghormati
perjanjian yang telah dimeterai sekian lama hanya
kerana perbezaan fahaman politik. Jadi kita mahu
bertanya kembali kepada UMNO, mana yang lebih penting
kini, fahaman politik atau kebajikan rakyat?
 
Apapun, polemik in tampak akan terus berpanjangan
apatah lagi dengan kenyataan terbaru Perdana Menteri
bahawa pihak kerajaan sanggup untuk membawa perkara
ini hingga ke mahkamah antarabangsa - satu kenyataan
yang bukan sahaja angkuh tetapi menunjukkan betapa
bersungguh-sungguhnya kerajaan untuk menghalalkan
tindakan tidak bermaruah mereka. Namun berdasarkan
rekod Perdana Menteri yang sanggup mencabul apa sahaja
institusi kerajaan, maka tidak pelik untuk mendengar
keputusannya yang hanya berdasarkan pemikiran
amarahnya itu. Apatah lagi setiap kata yang terkeluar
dari mulutnya merupakan arahan yang maha tinggi.
 
Apapun bagi saya, persoalan yang paling penting ialah
bagaimana rakyat melihat isu ini secara lebih kritis.
Amat penting bagi pihak pembangkang terutamanya
kerajaan Terengganu untuk selain mempertahankan hak
rakyat Terengganu, mereka juga perlu memberi
penerangan kepada rakyat untuk memahami sepak terajang
politik balas dendam BN. Biar rakyat tahu betapa
jijiknya sifat kerajaan dan biar mereka faham betapa
bobroknya hujah kerajaan. Nasihatkan mereka - jangan
rasa kecewa membuat perubahan walaupun diuji
sedemikian rupa.
 
Propaganda UMNO akan terus datang dan pergi. Kerajaan
PAS Terengganu dibawah pimpinan Ustaz Hadi perlu
sentiasa bersedia menerima ancaman demi ancaman. Isu
royalti mungkin hanya permulaan kepada agenda yang
lebih pelbagai. Namun yang pasti, akan tiba suatu masa
nanti apabila rakyat semakin bosan dengan gelagat dan
sikap para pemimpin UMNO yang mempertaruhkan maruah,
material, hak dan survival kehidupan rakyat, mereka
akan hilang sabar dan pada waktu itu, UMNO sudah
semakin hampir untuk dikuburkan.
 
Student Life
Nadzryan Faqrul