Oleh PENA SUASA

pena_suasa@hotmail.com

 

Usah Turun Ketika Orang Sudah Menyampah-Tok Mat

 

DI MANA-MANA dan bila-bila masa sekarang, di kalangan pemimpin-pemimpin Umno bercakap sesama sendiri, mereka kagum dan tabik kepada Ketua Pemuda keADILan, Mohd Ezam Mohd Nor yang nyata cukup popular dan berwibawa.

Kata mereka, gandingan Mohd Ezam dan Mahfudz Omar, Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat cukup untuk menjadi kepimpinan Umno gamam, demam dan geram.

Hari ini mereka dapat melihat betapa lemahnya Umno yang mereka dokongi, kerana kepimpinan yang ada dalam Umno nyata gagal menyediakan barisan pelapis. Pemuda Umno nyata goyah dan lemah kini.

Pergerakan Wanita Umno pula sibuk berkelahi dengan “Puteri” Umno.

Dr. Mahathir Mohamad jelas menjadi “sasaran” sekarang. Ucapan bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Mohamed Rahmat di Majlis Makan Malam Umno Pulai berkata; “Tahu bila hendak berundur dan jangan turun ketika orang sudah menyampah,”.

Kata-kata Tok Mat itu disambut pula oleh Setiausaha Agung Umno sekarang, Tan Sri Khalil Yaakob ketika merasmikan Konvensyen Umno Terengganu; “Pemimpin lama Umno di Terengganu mesti bersedia berundur dan memberi peluang kepada pemimpin muda.”

Kata-kata ini datangnya dari dua Setiausaha Agung Umno. Tok Mat dan Khalil adalah mereka yang duduk di Kementerian Penerangan. Mereka ada Bahagian Hal Ehwal Khas. Mereka mendapat maklumat sebenarnya Dr. Mahathir sudah tidak dikehendaki lagi. Tetapi, mereka tidak berani untuk berterus terang.

Cuma, terpulang kepada ahli-ahli Umno kini, apakah mereka mahu menyimpan lagi Dr. Mahathir yang sudah menjadi “beban” kepada Umno dan negara.

Seluruh dunia sudah mengecam beliau. Seluruh dunia marah akan kezalimannya. Seluruh dunia sudah muak dengan leterannya.

Hari ini, Dr. Mahathir bergaduh dengan setiap orang. Dr. Mahathir mengecam Mohd Ezam kononnya Mohd Ezam buat kerja-kerja “buruk” di luar negara. Dr. Mahathir menuding jari ke sana dan ke sini kononnya pembangkang buat kerja memburuk-burukkan nama negara.

Semua kerja-kerja ini dimulakan oleh Dr. Mahathir. Dia bertindak mengecam Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra dahulu. Dia buat-buat lupa, bila dia buat kat orang, orang akan buat kat dia. Ini balasan Tuhan kepadanya.

Ini baru sedikit. Kalau dia tunggu lagi, lagi teruk dia kena. Perbuatannya terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan “terbalas” di dunia. Macam mana teruk dia hina Dato’ Seri Anwar, begitulah dia akan dihina bila sampai masanya nanti. Mungkin lebih teruk lagi. Dia tidak sedar semuanya ini. Dia ingat dia boleh menungkat langit. Dia ingat dia boleh kekal berkuasa selama-lamanya.

Hari ini dia boleh melindungi anak-anaknya. Tapi, kita boleh lihat bagaimana Suharto kini di Indonesia. Bukan sahaja dia takut ke mahkamah seperti takutnya Dr. Mahathir, malahan anaknya, Tommy sudah disabitkan kesalahan dan dihukum penjara. Ini amaran Tuhan kepada Dr. Mahathir. Dia sepatutnya sedar dan dia sepatutnya tahu akan “pengajaran” yang perlu dia ikut.

Mohd Ezam sudah melakukan apa yang sepatutnya dilakukan. Dia usah diugut dan usah digertak. Pemimpin Umno kena belajar cara Mohd Ezam bertindak. Dalam sekelip mata, seorang yang lemah lembut, seorang yang tidak begitu popular ketika berada di dalam Umno tiba-tiba menjadi “orang” yang mampu menggugat ekonomi dan maruah negara (?).

Ini anak didik Dato’ Seri Anwar. Dalam tempoh setahun dua, Anwar sudah melahirkan seorang “pahlawan”. Siapa yang Dr. Mahathir lahirkan? Pondan Siam dan kaki pengampu terkenal, Datuk Noh Omar.

Nak mencari seorang Mohd Ezam dan seorang Mahfudz Omar dalam Umno, parti itu perlu tukar Presiden. Jika tidak, Umno bukan sahaja gagal mencari seorang Mohd Ezam, malahan Umno juga akan gagal kekal menjadi sebuah parti yang kuat seperti di zaman Dato’ Seri Anwar berada di dalamnya. Tanpa Anwar, Umno akan musnah dan hanyut bersama-sama kayu-kayu reput.

Umno tidak akan terus kuat walaupun ada Shahidan Kassim, Osu Sukam dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Kita tunggu perkembangan terbaru, khabanya Tengku Razaleigh Hamzah akan bertindak meninggalkan Umno sebaik sahaja pindaan perlembagaan terbaru dikuat kuasakan. Pindaan ini adalah “paku terakhir keranda Umno”. Tentunya Tan Sri Zaki Tun Azmi bersetuju dengan pandangan ini!