Pilihanraya 2004: Reputnya Relevensi Umno Dalam Kepercayaan Orang Melayu!

 

MUQADDIMAH: Benarkah Umno sudah ditolak oleh orang-orang Melayu? Bolehkan keputusan pilihanraya umum lalu, menjadi ukuran Umno sudah melepasi era relevansinya? Apa yang pasti, undi orang-orang Melayu mula dilonggokkan kepada parti-parti komponen BA. Isyarat ini, mencemaskan Umno. Namun begitu apakah, harapan luas terbuka untuk BA menggantikan Umno yang kian monopaus ini? Ikuti sebahagian pandangan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, YB. Datuk Fadzil Mohd Noor ketika membahaskan Titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung.

 

Mengimbas kembali keputusan pilihanraya ke-10 baru-baru ini, kalaupun Barisan Nasional mengekalkan 2/3 majoriti di Parlimen, ternyata bahawa kemenangan 42 kerusi Parlimen Barisan Alternatif atau 45 kerusi Parlimen pembangkang seluruhnya dengan  2 negeri yang telah berada dalam pemerintahan Barisan Alternatif sekaligus menunjukkan kemerosotan populariti dan penghakisan keyakinan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional. 

Di lihat dari kayu ukur undi popular (dengan izin popular vote), jelasnya bahawa Barisan Nasional mengalami kemerosotan undi popular dari jumlah 65% pada pilihanraya ke sembilan (1995)  kepada 56.1% pada pilihanraya ke-10 baru-baru ini.  Analisis dan post-mortem yang terperinci telah pun didedahkan oleh beberapa pihak samada di dada akhbar luar negara, akhbar perdana atau alternatif  akan kemerosotan kepercayaan dan peralihan sokongan rakyat keseluruhannya dan orang Melayu khususnya daripada Umno/Barisan Nasional kepada Barisan Alternatif. 

Antara penulisan terawal yang menerbitkan analisis post-mortem pilihanraya, di Asian Wall Street Journal (Leslie Lopez, 2hb, 1999), ada menegaskan bahawa Umno memerlukan perubahan budaya untuk terus kekal berkuasa.  Beliau antara lainnya, memetik kata-kata Abdul Razak Baginda (Ketua Eksekutif Malaysian Strategic Resource Centre, MSRC), "bahawa meskipun BN menang, tetapi Umno kalah kerana Umno telah kehilangan sokongan masyarakat Melayu". 

Kalau dulunya Umno mempunyai 94 kerusi parlimen, ia hanya ada 71 sekarang ini.  Hakikat ini diakui sendiri oleh pihak Barisan Nasional seperti pengakuan yang dibuat dalam penulisan YB Kota Tinggi (Syed Hamid Albar) dalam Utusan Malaysia baru-baru ini, (26hb. Januari) yang menyebut "bahawa ramai calon Barisan Nasional dari Umno  menang kerana sokongan yang diberikan oleh pengundi bukan Melayu.." Yang anehnya, kata beliau lagi, "terdapat kawasan-kawasan di mana jumlah undi yang diperolehi oleh calon Umno kurang dari jumlah ahli Umno di kawasan tersebut", Ya, memang cukup aneh!

Sudah terlalu banyak pihak yang menuntut supaya satu pemikiran semula perlu dilakukan oleh Umno secara introspektif dan ikhlas.  Diberitakan yang paling mutakhir adalah dalam seminar “Politik Malaysia Dalam Abad ke 21” yang dianjurkan oleh Malaysian Strategic Resource Center (MSRC) sebuah tink-tank kerajaan Barisan Nasional.  Antara yang merakamkan pandangan mereka termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif MSRC sendiri yang menyimpulkan bahawa "Umno has become quite irrelevant" (menyebutkan sambil memohon izin dari peserta seminar) kecuali berlaku satu pemikiran semula (dengan izin a rethinking)

 

Selaku Ketua Pembangkang saya juga ingin merakamkan bahawa Umno sedang mengakhiri era relevansinya khususnya dalam konteks politik kontemporari dalam alaf baru. Saya ingin menyebut satu ungkapan dalam jurnal "Current History" yang mengiklankan dengan izin; "if you are not current, you are history".  (Kalau anda tidak terkini, anda adalah sejarah).

Perjuangan nasionalisme khususnya Kebangsaan Melayu adalah asas dan ideologi yang menunjangi perjuangan Pertubuhan Melayu Bersatu (Umno) dalam menuntut Kemerdekaan.  Dengan ideologi ini Umno telah mempelopori tuntutan kemerdekaan dari pihak penjajah British, lalu mewariskan seluruh sistem pemerintahan demokrasi liberal berparlimen ala-Westminster ini kepada kerajaan Umno/Perikatan.  Dengan kefahaman ideologi ini juga Umno telah menolak gagasan “Malayan Union” tajaan Dato Onn Jaafar. 

Tidak   kurang mendapat tentangan adalah perjuangan yang berteraskan agama sebagai ideologi yang dipelopori oleh Hizbul Muslimin yang hanya mampu bertahan beberapa bulan sebelum pengharamannya lantas diusuli dengan penubuhan Parti Islam Se Malaysia  PAS dalam tahun 1951. Dengan kefahaman ideologi sempit nasionalisme bangsa ('asobiyah qaumniyah) ini juga, bertaut dan bersatunya partai-partai politik berteraskan ras dan perjuangan bangsa masing-masing khususnya Umno, MCA dan  MIC. Ini telah mewarnai sejarah politik Gelombang Pertama dalam tahun 50an, 60an dan 70an. Kerajaan Umno/Perikatan telah membangunkan negara dalam era pasca merdeka itu dengan bertunjangkan kefahaman nasionalisme.

Mungkin ideologi Kebangsaan Melayu atau nasionalisme (yang berbeza dengan semangat patriotisme) ini telah memainkan peranannya dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dan pembangunan dalam beberapa dekad yang lalu.  Kini nostalgia ini telah kehilangan daya juang dan daya tariknya kerana realiti dan zaman telah berubah.  Telah ada dua generasi  pengundi yang lahir dalam era 60an dan 70an yang  tidak  hidup dalam suasana perjuangan kemerdekaan. 

Sementara itu zaman sudah berubah dengan begitu pantas terutama dalam saingan dunia teknologi maklumat yang menyaksikan ledakan ilmu, pengetahuan dan lonjakan kesedaran nilai dan kemanusiaan sejagat.  Psaikologi dan pemikiran golongan ini khususnya agak jauh berbeza dan tidak mudah diterapkan nostalgia perjuangan politik zaman silam. 

Perjuangan menuntut kemerdekaan sebagai asas penyatuan negara-bangsa Malaysia itu sendiri sudah agak usang dan tidak bermaya lagi.  Rakyat amnya dan golongan yang  berpendidikan (bermaklumat) khususnya, juga cukup peka dengan angin perubahan dan jatuh-bangun pemerintahan yang berlaku bukan sahaja dirantau Asia Pasifik ini bahkan di seluruh dunia. 

Dalam suasana sebegini pastinya politik perkauman (Racial Politics) yang menjadi teras dan budaya politik pelbagai partai (muti-party syatem) sejak kemerdekaan lagi, sudah ketandusan tarikan dan relevansi.  Pemikiran dan fahaman warisan penjajahan ini sudah terlalu lapok tambahan pula diresapi dengan segala kepincangan pengurusannya yang menginstitusikan penyelewengan, ketidakadilan dan penyalahgunaan kuasa samada dalam politik mahupun amalan pengurusan ekonomi dan pembangunan, dalam bentuk yang “disahkan” dan “dilindungi” oleh institusi-institusi dan agensi pemerintahan.

 

Lantas terbit satu terminologi baru dalam dunia perundangan di Malaysia dengan istilah pemerintahan "Rule by Law" (Pemerintahan Undang-Undang)  dan bukan "Rule of Law"

(Keluhuran Undang-Undang) yang diistilah oleh bekas Ketua Pembangkang, Saudara Lim Kit Siang. 

Kini, masyarakat tampak jelas dan menyaksikan sendiri bagaimana proses perundangan telah dipergunakan untuk "membetulkan yang salah"  dan sebaliknya "mempersalahkan yang betul", mangsa menjadi penjenayah sementara penjenayah dianggap wira yang  dibela. 

Paling anehnya, kesemuanya mengikut Process of Law (Proses Undang-Undang) atau Rule by Law.  Sebagai contohnya amalan pendakwaan  dan hukuman terpilih (selective prosecution) seolah-olah menjadi sebahagian dari ciri perundangan di Malaysia hari ini.  Rakyat masih tertanya-tanya apakah tindakan yang akan diambil oleh pihak mahkamah terhadap laporan polis yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kes Dato Paduka Rafidah Aziz yang menghadapi 5 kes rasuah, Tan Sri Eric Chia dalam kes skandal Perwaja melibatkan hampir RM 10 bilion. 

Juga kita ingin tahu apakah tindakan pihak polis terhadap laporan tentang Tun Daim Zainuddin yang menerima wang dari tiga tokoh koporat sementara beliau masih merupakan Menteri Kewangan ketika itu.  Begitu juga kes Tan Sri Rahim Tamby Chik atas empat kes rasuah yang dilaporkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikut maklumat bekas YB Kota Melaka, Lim Guan Eng.

Zaman terus berubah.  Umno terus ditelan dek usia zaman.  Kekuatannya satu ketika dahulu telah menjadikan ianya terperangkap dalam paradigma  kuasa hegemoni yang seterusnya mengongkongnya.  Mungkin Umno gagah satu masa dalam sejarah.  Namun, seumpamanya  dinasur (dinosaurs) yang besar dan gagah satu ketika dalam sejarah, ia hanya dapat disaksikan kini dalam muzium. 

Umno juga gagal mengikut peredaran zaman dan tuntutan realiti baru alaf baru, juga sedang menempah kesudahan yang mirip dinasur.  Yang diperlukan oleh UMNO kini bukan hanya sekadar menukar beberapa spare-parts yang telah terlalu “lama” bahkan yang diperlukan adalah satu overhaul yang menyeluruh bermula dari segi dasar dan matlamat perjuangan hinggalah kepada persoalan kepimpinan.

Kita jangkakan akan menyaksikan Perhimpunan Agung Umno bulan Mei akan datang nanti, sebagai usaha dari pihak akar umbi untuk membuat perubahan kepimpinan yang dirasakan oleh parti telah menjadi liabiliti dan petualang kepada proses rejuvenasi (keremajaan atau mengawetmudakan atau tajdid/ihya) Umno kembali. 

Sekali lagi Umno akan bergolak sekaligus mengesahkan jangkaan ramai bahawa parti akan cuba menyingkirkan kepimpinan yang bertanggungjawab akan kemerosotan keyakinan rakyat terhadap Umno.  Mungkin telah sampai masanya untuk kepimpinan Umno sedar bahawa orang Melayu samada orang berpartai atau pun tidak, sudah tidak lagi boleh menerima fahaman kebangsaan atau  Nasionalisme  Melayu sebagai  teras perjuangan. 

Telah berlalu politik perkauman.  Kini, mereka, khususnya orang Melayu mahukan Islam di mertabatkan dan tidak di hina serta rakyat amnya dahagakan keadilan dan mahukan pemerintahan yang telus (Transparent) dan boleh dipertanggungjawab   (Accountable).

 

IKLAN TERBARU: Dapatkan sekarang dipasaran ISU: Mengapa Takut Haji Hadi? Pada harga RM3.50 senaskah. Eksklusif dari Editor Tarmizi Mohd Jam. Hubungi emeil isu_malaysia@hotmail.com  bagi mendapatkan keterangan lanjut dan buat pesanan. Pengedar dikehendaki segera! Sila lihat promosi pada hampir semua laman web 1, 2 & 3 Ogos 2000 atau kunjungi Laman Jebat 2020.