‘Kain kapan’ buat Umno

 

PINDAAN Perlembagaan Umno yang dijadualkan pada 18 November 2000 ini merupakan “kain kapan” kepada institusi Umno itu sendiri, setelah Presidennya, Dato’ Seri Dr. Mahathir bin Mohamad benar-benar menghina, memperbodohkan dan merendah-rendahkan kemampuan ahli-ahli parti berfikir dan bertindak.

 

Mereka, lebih kurang 2000 orang, tidak mampu lagi bersuara, malahan tidak mampu lagi untuk berkata apa-apa kerana mereka akan datang ke Kuala Lumpur, dengan berpakaian baju Melayu, bersamping dan bersongkok hanya kerana mahu mengangkat tangan mengatakan “setuju” mengekalkan Dr. Mahathir bin Mohamad duduk di situ, selagi dia mahu.

 

Pilihan sekali selepas pilihan raya dibuat kerana Dr. Mahathir bin Mohamad bercadang mahu mengisytiharkan dharurat dan pilihan raya tidak akan diadakan sampai ke satu masa yang dia sendiri sahaja yang tahu. Maknanya, jika pilihan raya tidak diadakan, maka pemilihan Umno juga tidak perlu diadakan.

 

Dr. Mahathir bin Mohamad menipu semua ahli-ahli Umno supaya “duduk” di bawah kelengkangnya dan bersetuju menangguk-angguk tanda mahu mengekalkan Dr. Mahathir di situ, di kerusi Presiden Umno selama mana dia mahu.

 

Dr. Mahathir tidak mahu turun dari kerusi itu. Dia tahu, dia sudah buat banyak keuntungan kepada anak dan keluarganya. Maka, dia mahu tunggu di situ, kerana anak-anaknya masih mahu meneruskan perniagaan lagi. Kalau dia sudah tidak ada, nanti bimbang anak-anaknya tidak ada peluang berniaga.

 

Mana dia Dato’ Shahrir Samad yang dikatakan seorang tokoh lantang dalam Majlis Tertinggi Umno? Mana dia Dato’ Annuar Musa yang menulis berjela-jela dalam akhbar Utusan Malaysia kononnya Umno perlu “memperbaiki diri”? Apa yang dia cakap dalam mesyuarat MT Umno, 30hb. Oktober 2000 lalu? Apakah dia juga menjadi pengampu kerana masih berangan-angan nak jadi menteri lagi atau dia rasa dia boleh jadi Perdana Menteri?

 

Datuk Hasan Harun (KUB) memang tidak boleh diharap. Dia penakut dan tidak berguna untuk duduk sebagai ahli MT. Mana dia ‘ngo’ yang dikatakan akan menjadi “watch dog” dalam MT? Mana dia Zahid Hamidi, mana dia Jamaluddin Jarjis? Mana dia Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang tidak berjawatan dalam kerajaan? Takut ke?

 

Orang-orang seperti Ali Rustam, Azmi Khalid, Azimi Daim, Dr. Nuraeshah dan Kadir Sheikh Fadzir memang tidak boleh diharap. Mereka ini pengampu dan penjilat. Umno mereka (yang penakut ini) rosakkan dan nanti mereka menyerang Dato’ Seri Anwar Ibrahim kononnya, tidak mengenang jasa Umno yang pernah meletakkannya sebagai Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri.

 

Kesihannya dengan perwakilan Umno yang akan datang ke perhimpunan Agung Khas untuk meminda perlembagaan.

 

Mereka meninggalkan anak dan isteri, meninggalkan semua pekerjaan hanya kerana mahu mengekalkan Dr. Mahathir duduk sebagai Presiden.

 

Dr. Mahathir buat “undi bonus” kerana dia mahu kekal. Dr. Mahathir buat pendaftaran sahaja kerana mahu melihat siapa yang hendak melawannya. Dia buat peratusan, kerana menjaga kepentingannya. Dia buat cadangan supaya Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingi kerana mahu menyelamatkan kedudukannya.

 

Kini, dalam usahanya menyediakan “kain kapan” dia buat peraturan, pemilihan Umno hanya sekali dalam tempoh 12 bulan selepas pilihan raya.

 

Cukuplah Dr. Mahathir. Nak apa lagi. Orang benci sangat dah. Orang meluat dah. Nak apa lagi? Mahligai 200 juta sudah didiami. Putrajaya yang “super mewah” sudah diduduki. Nak apa lagi? Tak akan tak ingat mati? Atau Dr. Mahathir mahu melihat Umno lebih dahulu reput dari dia reput di atas kerusinya?

 

Ahli-ahli Umno pun cukup-cukuplah membenarkan diri diperbodohkan. Sudahlah. Apa lagi yang hendak mereka lihat, setelah 20 tahun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri? Negara sudah cukup malu dengan tindak tanduk Mahathir.

Bangsa Melayu cukup terhina dengan perangai Dr. Mahathir. Agama Islam tercemar kerana tingkah laku dan kata-kata Dr. Mahathir.

 

Cukup-cukuplah ahli-ahli Umno jadi budak suruhan, budak hingusan dan dihina begitu sekali oleh Dr. Mahathir. Dia bukan orang yang patut dihormati lagi. Dia sudah menjadi manusia yang “hidung tinggi” dan mahu mati dalam pejabat. Dia akan terus mendendangkan lagu lama dan dia mahu kekal sebagai Perdana Menteri kerana dia tahu orang-orang Melayu dalam Umno bodoh-bodoh belaka.

Sepatah dia mencadangkan, sepuluh patah ahli-ahli Umno menyokong. Cadangan bernas, kata Datuk Noh Omar, Ahli Parlimen Tanjung Karang yang menjadi pengampu nombor satu sekarang.

 

Khabarnya ada 40 cadangan pindaan perlembagaan yang sudah dihalusi oleh JK Pindaan Perlembagaan dan JK Pengurusan Umno yang diketuai Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi tetapi semuanya ditolak oleh Dr. Mahathir kecuali satu, yang dia sendiri cadangkan, iaitu pemilihan sekali dalam tempoh sekali pilihan raya.

 

Oleh Pena Suasa

pena_suasa@hotmail.com