SEKADAR RENUNGAN 3 OLEH AZMAN

 

Nampaknya politik UMNO alaf baru ini lebih banyak menumpukan kepada aspek fitnah memfitnah yang berkisar kepada salah laku seks dan liwat. Apakah mentaliti kotor sebegini cuba diterapkan oleh Dr. Mahathir kepada anak-anak buahnya di dalam UMNO?

Belum puas Anwar dianiaya, kini giliran anak sulungnya pula, Nurul Izzah dimalukan oleh UMNO dengan tuduhan mempunyai hubungan sulit dengan Ezam. Nauzubillah! Jelas kepada kita semua sekarang bahawa UMNOlah yang menyuburkan budaya fitnah memfitnah di dalam masyarakat Melayu khasnya dan lain-lain bangsa amnya.Tergamak sungguh UMNO menganiaya keluarga Anwar setelah Anwar mereka aibkan dengan begitu dahsyat sekali.Apakah rakan-rakan Anwar di dalam UMNO masih boleh berdiam diri melihatkan perkara ini berlaku di depan mereka? Apakah mereka masih mempunyai hati perut? Apakah rakyat Malaysia masih mempunyai hati perut? Tidak mustahil pada masa akan datang Wan Azizah, Nurul Nuha dan adik-adiknya akan difitnah melakukan hubungan seks atau liwat oleh UMNO.

Kita bukan sekadar bersimpati dengan Anwar dan keluarganya tetapi juga terhadap Lim Guan Eng, Nallakarrupan, keluarga doktor yang ditembak mati oleh polis, wanita mengandung berbangsa India yang mati ditembak polis, pekerja BSN berbangsa Melayu yang mati ditembak oleh polis dan ramai lagi mangsa-mangsa yang tidak dinyatakan di sini termasuklah mangsa pemindahan darah yang mengandungi HIV. Sewajarnyalah kita sebagai rakyat Malaysia prihatin kepada nasib yang dialami oleh mereka kerana tidak mustahil kita juga akan menerima nasib yang sama kelak.

Pengundi-pengundi di Teluk Kemang perlu memikirkan apakah akibat yang mereka terima sekiranya mereka memilih BN. masih belum terlewat lagi untuk mereka berfikir dan jadikanlah Pilihanraya kecil Teluk Kemang sebagai satu titik perubahan dalam diri masing-masing dengan memilih calon Keadilan iaitu Ruslan Kassim.

Walaupun Barisan Alternatif baru sahaja ditubuhkan tetapi kerjasama di antara parti-parti komponen di dalamnya amat mesra sekali. Jika dibandingkan dengan BN yang kini kelihatan bergolak dengan krisis dalaman yang berlaku di dalam UMNO, MCA, Gerakan dan kini tinggal MIC terkapai-kapai sendirian melawan arus. UMNO yang semakin goyah akibat perselisihan antara Dr. Mahathir dan Daim, persengketaan antara team Rafidah dengan team Zaharah,team Semangat 46 dengan masalahnya sendiri, kemunculan team wawasan di dalam Naib Presiden UMNO dan team 15 NGO di dalam Majlis Tertinggi UMNO menyerlahkan lagi bibit-bibit perpecahan di dalam UMNO. Begitu juga perselisihan di antara UMNO dengan MCA berhubung jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang, penambahan kerusi kabinet untuk MCA, isu pampasan penternak babi di Bukit Pelanduk dan banyak lagi. Krisis dalaman MCA ekoran perselisihan di antara Ling Liong Sik dengan timbalannya Lim Ah Lek juga telah menggugat kekuatan MCA yang sebelum ini telah bersengketa dengan Gerakan kerana mencuri dua orang ahli Dewan Undangan Negerinya di Pulau Pinang. Hakikatnya nasib BN terumbang ambing dan menunggu masa untuk rebah.

Ingatlah semua! wang bukanlah segala-galanya. Apakah hidup kita semakin senang dengan memilih BN? Apakah yang kita dapat selama ini setelah memilih BN?Apakah wang boleh memberikan kebahagian? Fikirkanlah. Tentu ada sebabnya kenapa semakin ramai rakyat menentang BN. Tentu ada sebabnya rakyat menjadi streetfighter di jalanan. Demokrasi yang ada semakin terhakis di negara kita ini sehinggakan ruang untuk bersuara disekat dengan akta ISA, OSA, AUKU dan macam-macam lagi akta drakonian.
Apabila mahasiswa memberikan sokongan atau berkempen untuk UMNO ketika pilihanraya Sanggang, Kerajaan memejamkan mata dan memekakkan telinga mereka. Namun apabila mahasiswa menyokong Keadilan di Teluk Kemang, Kerajaan mula memgeluarkan taringnya.

Kewujudan sistem parlimen dan pilihanraya membuktikan bahawa kerajaan boleh ditukar ganti. Kerajaan dan negara adalah entiti yang berbeza. Tidak bermakna kita pengkhianat negara sekiranya kita menentang kerajaan. Perubahan adalah lumrah dan pasti akan berlaku sebagaimana yang kit saksikan di India, Parti Kongres tumbang walaupun berjaya memerdekan India daripada penjajah British, Parti Golkar di Indonesia juga tumbang walaupun mempunyai ahli seramai 165 juta orang dan berjaya mengusir pengaruh komonis dari Indonesia, Parti koumintang di Taiwan juga tumbang dan Parti LDP di Jepun juga telah tumbang walaupun berjaya menjadikan Jepun sebuah kuasa ekonomi dunia.Kenapakah semua ini berlaku? Ini kerana berlakunya penyalahgunaan dan penyelewengan kuasa serta rasuah oleh mereka.

Kitaran hidup kita sebagai manusia juga menyaksikan kita berubah daripada bayi kepada kanak-kanak, kemudian remaja, dewasa, tua dan mati. Kita bukan selama-lamanya kanak-kanak atau bayi. Begitu jugalah dengan pemikiran kita. Makanan yang kita makan hari-hari tidak sama dan ianya bergantung kepada selera kita. Begitu juga dengan pemandu kereta, jika dia memandu secara merbahaya kita akan menukar pemandu yang lain sebagaimana yang berlaku kepada UMNO yang dipimpin oleh Dr. Mahathir.
Apakah kerana budi kita perlu menggadaikan maruah diri kita. Nabi Musa berbapa angkatkan Firaun dan Nabi Ibrahim mempunyai seorang bapa yang bekerja membuat berhala. Apakah mereka tunduk kepada bapa mereka kerana budi? Apakah jati diri Melayu akan hilang kerana keluar daripada UMNO? Hakikatnya jati diri Melayu akan hilang apabila mereka keluar daripada agama Islam atau Murtad. Apakah peranan UMNO untuk membela agama Islam dan penganutnya di Malaysia? Adakah UMNO menguatkuasakan undang-undang untuk melarang umat Islam di Malaysia daripada murtad sedangkan ramai yang murtad ketika ini dan ada yang sanggup menyaman jabatan Agama Islam kerana permintaan mereka untuk murtad dihalang. Adakah UMNO menguatkuasakan undang-undang melarang umat Islam daripada minum arak, berjudi dan pergi ke disko? Gejala sosial semakin berleluasa dan apakah tindakan UMNO?

Bagaimana pula dengan kebajikan rakyat? bagaimana dengan  kos pendidikan yang semakin meningkat? Begitu juga dengan kos perubatan, harga barang-barang dan rumah. Apabila perkara sebegini didedahkan oleh pembangkang, kerajaan menyifatkannya sebagai fitnah. Sudah lama kita lena dibuai mimpi dengan dendangan arus pembangunan oleh BN. Sudah sampai masanya kita sedar. Kenapa UMNO dan rakan-rakan memindahkan TV pendidikan kepada ASTRO daripada TV 2 sedangkan ianya satu langkah yang merugikan hanya untuk menguntungkan kroni-kroninya. Suatu ketika dulu BN membina KLCC yang hanya 38 tingkat didiami daripada 88 tingkat keseluruhan, KL Towers, Litar Sepang,Istana Airmata Putrajaya dan lain-lain lagi projek mega. Tol-tol yang membebankan dan sepatutnya hasil kutipan tol dibentangkan di Parlimen setiap kali belanjawan dibentangkan supaya rakyat mengetahui hasil sebenar kutipannya. Apakah kita kenyang sekadar menyaksikan KLCC tersergam indah. Bagaimana pula dengan pertanian? Apakah tindakan kerajaan sekiranya berlaku krisis makanan kepada negara? Indonesia walaupun mengeksport beras tetapi menghadapi masalah kebuluran ketika kemelesetan ekonomi baru-baru ini.
Kerajaan lebih sibuk membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk menukar logo Petronas kerana mirip kepada Parti PAS.

Hakikatnya BN sudah tidak relevan lagi pada alaf baru ini. Ada yang tidak kena apabila semakin ramai golongan muda yang terpelajar daripada IPT, golongan professional dan intelektual, golongan ulama, miskin dan kaya tua dan muda sama-sama berganding bahu menentang kerajaan. Kini Shit oleh Shahnon Ahmad terjawab sudah. Masih ada waktu untuk  kita berfikir dan sedar.