Assalamua'laikum dan salam sejahtera,

Saya mengikuti isu pelawaan rundingan perpaduan Melayu oleh Dr. Mahathir dan reaksi PAS dan KeADILan dengan penuh minat kerana semua ini menjadi kayu pengukur kepada kelicikan dan kematangan berpolitik semua pihak yang berhadapan secara langsung dengan isu ini.

Selaku sekadar pemerhati jalanan yang selama ini hanya berjuang di pinggiran jalan bersama rakyat lainnya, saya agak kecewa dengan pendekatan yang diambil oleh PAS dan KeADILan dan menghadapi isu ini. Saya mengharapkan setelah selama lebih 2 1/2 tahun kita berjuang menghapuskan stigma pemikiran bahawa UMNOlah segala-galanya, kita kembali membiarkan PM membuka ruang pengarahan baru bagi 'mencuri' sedikit masa untuk bernafas dalam menghadapi serangan yang tidak kunjung putus dari rakyat.

Episod ini bagi saya dan teman-teman hanya sekadar suatu ulangan atau 're-run' episod yang pernah dimainkan UMNO suatu ketika dulu bagi memperolehi kembali keyakinan orang Melayu yang semakin terhakis setelah pilihanraya umum 1969. Dalam Episod itu, PAS terjerumus serta mengambil masa bertahun-tahun berhempas pulas untuk mengembalikan keyakinan orang Melayu terhadap perjuangan mereka, dalam orang Cina selamanya terus-terusan menolak PAS dari kalbu perjuangan mereka. UMNO dan arwah Tun Razak muncul sebagai hero Melayu dan Arwah Tunku Rahman beroleh jalan keluar yang terhormat. Episod ini cuba dilakunkan kembali, tetapi dengan pengarahan baru. Tatkala UMNO menghadapi pergolakan dalaman yang runcing serta krisis keyakinan oleh orang Melayu terhadap mereka, mereka cuba memancing menghulur tangan perdamaian dan perpaduan. Dengan mobolisasi media yang mantap walaupun disangsikan oleh rakyat akan kebenarannya, UMNO dan Mahathir berjaya memainkan sentimen ini di kalangan rakyat atas pagar.

Malangnya PAS seolah-olah sekali lagi terperangkap dengan mainan politik murahan ini. Sebagai seorang Melayu dan Islam, saya hanya mampu mendoa'kan pimpinan PAS agar tidak menghampakan harapan rakyat yang berjuang di jalanan agar mereka tidak sekali lagi dijadikan kuda tunggangan Mahathir atas nama perpaduan Melayu.

KeADILan pula, dalam memilih untuk menolak terus jemputan tersebut yang berasaskan pada isu perpaduan Melayu sahaja, juga mengambil tindakan yang terburu-buru dan mengikut rentak permainan politik Mahathir. Walaupun perlu dipuji tindakan tersebut, KeADILan seharusnya lebih memahami tentang permainan media oleh Mahathir yang tidak pernah simpati kepada perjuangan rakyat.

Isu fitnah dan kezaliman terhadap Sdr. Anwar tidak pernah sekalipun dibangkitkan oleh pimpinan KeADILan dan membicarakan isu perpaduan Melayu ini. Adakah KeADILan sudah menjadi terlalu opologetik terhadap sumber asal kekuatan perjuangan mereka dan hanya ingin menumpukan kepada isu-isu besar melampaui isu sdr Anwar?

Tidak ada apa yang perlu dirisaukan kalau isu sdr Anwar terus-terusan menjadi tema dan simbol perjuangan KeADILan. Harus disedari oleh seluruh pimpinan bahawa isu Anwarlah pembuka kunci kepada gudang isu-isu kezaliman dan pengkhianatan terhadap rakyat yang selama ini tidak pernah dibangkitkan atau dibicarakan secara terbuka. Isu Anwarlah yang memberikan kekuatan jiwa yang luarbiasa kepada rakyat untuk tampil bersemuka dengan penguasa yang zalim. Isu Anwarlah juga yang membuka mata dan jiwa hampir setiap kita bahawa masih ada banyak tugas besar yang perlu dilaksanakan bagi membebaskan Malaysia dari sebarang bentuk penjajahan oleh anak bangsa sendiri.

Selama ini rakyat boleh 'tolerate' dengan hampir segala tindak-tanduk rakus sang penguasa. Selama ini rakyat, terutamanya orang Melayu seolah-olah memberikan 'blank cheque' kepada UMNO dan Barisan Nasional untuk berbuat sesuka hati mereka tanpa banyak halangan dan rintangan. Selama ini juga ramai di kalangan kita sendiri yang secara tidak langsung turut sama melangsungkan kezaliman penguasa ini kepada rakyat. Rakyat masih sedia memaafkan kerajaan jika ekonomi kita menghadapi kemelesetan. Rakyat tidak pernah ambil endah jika selama ini badan kehakiman dijadikan 'gelanggang pelacuran' maruah dan kedilan untuk rakyat sendiri. Tapi Isu Anwarlah yang merubah segalanya!!!!!

Jadi untuk apa harus kita bersikap opologetik terhadap memperjuangkan isu Anwar????? Selama ini, atas sikap opologetik dan malu berjuang inilah, Mahathir serakusnya memperdayakan dan mengkhianati kita. Maaf jika saya katakan, budaya pemikiran pemimpin-pemimpin lama, sama ada di dalam PAS, DAP mahupun sesetengah dari KeADILan sendirilah yang memudahkan segala kerja-kerja pengkhianatan Mahathir. Respon yang terlalu proaktif tanpa merujuk kepada yang asal, terlalu percayakan kepada media yang tidak pernah simpati, pemikiran yang mudah difahami kerana, mungkin seperti Mahathir sudah terlalu lama berkawan atau sikap yang terlalu mengkagumi Mahathir sendiri adalah antara ciri-ciri yang sudah lama perlu dibuang dan sudah lama kami buangkan dari jiwa perjuangan.

Isu Perpaduan Melayu atau apa-apa saja isu selepas ini tidak boleh tidak mesti dikaitkan dengan sdr Anwar. Selama ini isu sdr Anwar inilah yang melemaskan Mahathir, kenapa harus kita berganjak??? Kenapa harus kita terima pelawaan Mahathir untuk bermain permainan lama yang beliau sendiri cipta peraturannya, sedangkan beliau sedang kepenatan dan kegusaran bermain dengan permainan baru oleh rakyat. Mohon seluruh pimpinan jangan terpedaya buat kesekian kalinya. Jangan hampakan harapan kami kerana kelak, mungkin kami terpaksa bergerak mencipta kekuatan baru yang lebih mendokong aspirasi rakyat.

Wallahua'lam

Reformistulen