RAZAK AHMAD DAN LIMA ORANG LAGI DITAHAN POLIS

Peguam Abdul Razak Ahmad, Timbalan Presiden PRM merangkap Pengerusi PRM Johor, telah ditahan oleh polis tengah hari ini. Lima orang lain, iaitu Dr Boo Cheng How (Setiusaha Penerangan DAP Johor), Zainal Abidin (Ketua keADILan Gelang Patah), seorang wakil dari PAS dan seorang wakil penduduk turut juga ditahan.

Mereka ditangkap oleh polis kira-kira jam 12.00 tengah hari. Pada ketika ini mereka masih ditahan di Balai Polis Sekudai untuk disoal siasat di bawah seksyen 112 atas tuduhan mengadakan perhimpunan haram. Ketika dihubungi pada jam 1.40 petang, saudara Razak memberitahu mereka masih belum dibebaskan lagi.

Pagi ini kira-kira 40 orang telah berhimpun di Majlis Daerah Johor Bahru Tengah di Skudai untuk menyampaikan memorandum membantah kenaikan cukai pintu. Sungguhpun kadar cukai tidak dinaikkan, akan tetapi oleh kerana penilaian harta dinaikkan, maka jumlah cukai bertambah sampai seratus peratus.

PRM membantah sekeras-kerasnya tindakan menahan lima orang pemimpin dari parti-parti alternatif serta seorang pemimpin penduduk ini. Kami mendesak sekuat-kuatnya supaya mereka dibebaskan dengan segera.

Dr Syed Husin Ali Presiden PRM

10hb Mac 2001