Oleh Pena Suasa

 

Jangan kita dilekakan

 

KALAU kita masih ingat, suatu ketika dahulu seorang pemimpin Umno, yang duduk sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) bernama Dato’ Ibrahim Ali pernah membuat laporan polis kononnya dia ada bukti melalui pita rakaman kononnya ada suara yang mengarahkan Dr. Mahathir Mohamad dibunuh.

Kalau tidak silap saya, pita rakaman itu dihantar melalui pos dan sampai di sebuah sekolah di Pasir Mas, dan ada orang yang menyerahkannya kepada Ibrahim Ali yang ketika itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Menangani Fitnah.

Sibuklah orang-orang Umno buat aduan polis dan sibuklah polis mengambil kenyataan daripada orang-orang ini.

Sehingga hari ini, tiada apa yang kita dengar, apakah sudah terjumpa suara orang yang rakamkan arahan membunuh Dr. Mahathir itu atau belum. Atau pihak polis harus menyiasat Dato’ Ibrahim kalau-kalau dia buat repot palsu.

Hari ini, selepas peristiwa rompakan senjata di Grik, Dr. Mahathir mengadakan mesyuarat MT dan dalam sidang akhbar juga mengatakan ada tuntutan supaya Perdana Menteri dan kuli-kulinya meletakkan jawatan. Boleh percayakah ini? Boleh percayakah cakap-cakap Dr. Mahathir ini? Apakah tidak perlu siasatan polis untuk mengesahkannya atau, polis hanya bertanggungjawab kepada Dr. Mahathir dan Umno?

Dengan wajah muram Dr. Mahathir melakonkan betapa seriusnya kumpulan itu yang mahu menumbangkan kerajaan, kononnya.

Dalam soal ini, kerajaan sepatutnya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja untuk menyiasat rompakan senjata ini dan motif mereka berkubu di Sauk sebelum didengarkan lagu Getaran Jiwa dan menyerah diri.

Rompakan senjata ini adalah perkara serius dan penjenayah ini mestilah disiasat hingga ke akar umbi dan jangan percaya cakap-cakap Dr. Mahathir seorang. Dia sudah desprate dan inilah usahanya untuk membuangkan perkataan Islam daripada PAS.

TV3 dan akhbar arus perdana akan terus memainkan peranan jahatnya dengan mengarah kepada “mengaitkan” kumpulan perompak senjata ini dengan PAS. Dan akhirnya, PAS akan dikenakan tindakan atau dicabut perkataan Islamnya.

“Drama ini” kita tidak tahu siapa pengarahnya tetapi bertujuan menekan PAS dan kedua, mengalih perhatian dan perbualan orang ramai daripada membincangkan soal kenyataan bersumpah Dato’ Shafie Yahaya mengenai tangkapan RM100,000 di pejabat Ali Abul Hassan Sulaiman, dan Perdana Menteri mengarahkan siasatan itu dihentikan serta merta.

Dr. Mahathir juga bertanya kepada Dato’ Shafie apakah serbuan yang dibuat oleh BPR itu atas arahan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Laporan polis yang dibuat Pemuda keADILan di merata tempat sekarang mahu didiamkan dan dalam masa yang sama episod “drama Grik” ini dijadikan “topik” baru untuk melekakan kita semua.

Jangan lupa, dalam kita bercakap mengenai kes Grik, kita juga mesti terus mendesak BPR meneruskan siasatan kepada Ali Abul Hassan dan pihak polis perlu menjalankan siasatan ke atas Dr. Mahathir yang menyalah gunakan kuasanya menghalang Ketua Pengarah BPR menjalankan siasatan.

Menentang rasuah dan pelindung perasuah perlu ditentang demi agama, bangsa dan negara kita yang berdaulat.