www.detik.daily.tripod.com
Kenyataan sidang akhbar Setiausaha Publisiti DAP Melaka Dan ADUN Kawasan
Durian Daun Betty Chew Gek Cheng Di Pejabat DAP di Melaka pada 5 Oktober
2000

Kajian Prestasi Kewangan Lima Anak Syarikat Yayasan Melaka Menunjukkan
Kerugian Dan Juga Pembayaran Dividen Yang Hampir Sama Dengan Kerugian
Kajian prestasi kewangan lima daripada 10 buah anak syarikat Yayasan Melaka
menunjukkan kerugian kewangan dan juga sebuah syarikat membayar amaun
dividen yang hampir sama besar dengan kerugian. Maklumat dari penyata
kewangan terakhir anak syarikat adalah seperti berikut:-
Kerugian(RM)
* Melaka Dairies Sdn Bhd pada akhir tahun 1997 157,970 (perniagaan
susu mentah, lembu daging dan produk yang berkaitan)
* Dataran Selat Sdn Bhd pada akhir tahun 1997 813,669 (memberikan
perkhidmatan "tug-boat")
* YM Resources Sdn Bhd pada akhir tahun 1998 227,657 (penyewaan bot)
* Panca Sri Holdings Sdn Bhd pada akhir tahun 1998 36,883 (mengurus
ladang getah dan kelapa sawit, menyediakan khidmat keperluan Bangunan
Yayasan Melaka, menjual polisi insurans serta mengurus konsesi pasir negeri
dan bekalan bahan)
* Kolej Yayasan Melaka - tidak ada penyata kewangan sejak 1996
Penyata kewangan 1998 untuk Melaka Dairies Sdn Bhd dan Dataran Selat Sdn Bhd
belum lagi disediakan dan dijangka melaporkan kerugian yang lebih besar
lagi.
Adalah tidak bertanggungjawab sebuah kolej seperti Kolej Yayasan Melaka,
yang mengajar bidang pengurusan perniagaan dan juga perakaunan tidak dapat
melakukan sesuatu perkara yang begitu penting kepada mana-mana syarikat,
iaitu menyediakan lapuran kewangan tahunan. Saya tidak tahu macam mana Kolej
Yayasan Melaka boleh dihormati oleh pelajar-pelajar mereka, kalau ia tidak
dapat menyediakan lapuran kewangan sejak 1996.
Yang lagi mengejutkan ialah keputusan YM Resources Sdn Bhd membayar dividen
30% sebanyak RM216,000 pada akhir tahun 1998 sungguhpun mengalami kerugian
sebanyak RM227,657. Jumlah dividen RM216,000 hampir sama besar dengan
kerugian RM227,657 susah diterima oleh rakyat kerana biasanya syarikat hanya
akan bayar dividen bila ia untung, bukan bila ia rugi.
Kerugian yang begitu besar menunjukkan anak-anak syarikat Yayasan Melaka
tidak diuruskan. Ia bukan sahaja merugikan rakyat dari segi kewangan tetapi
juga menafikan peluang kepada pelajar miskin mendapat biasiswa dan pinjaman
kewangan. Ini boleh dilihat dalam % perbelajaan untuk pendidikan berbanding
dengan jumlah perbelanjaan tahunan:-
1998(juta) 1997(juta)
Pinjaman Wang Pengajian Tinggi 3.4 2.7
Biasiswa & Tabung Pelajar Miskin 0.7 0.7
Sumbangan kepada pelajar 0.4 0.4
Jumlah Perbelanjaan Pendidikan 4.5 3.8
Perbelanjaan Tahunan Keseluruhan 77.9 70.8
% Perbelanjaan Pendidikan 5.8% 5.4%
Melihat prestasi kewangan 5 anak syarikat di atas, kita boleh faham mengapa
perbelanjaan pendidikan oleh Yayasan Melaka hanya 5-6% daripada perbelajaan
tahunan kira-kira RM80 juta setahun dan di mana sebahagian besar
perbelanjaan ditujukan. Masa sudah sampai Yayasan Melaka menumpukan
perbelanjaannya kepada matlamat meningkatkan prestasi pendidikan
pelajar-pelajar di Melaka dan bukannya berniaga dengan kerugian dalam pasir,
menjual insurans, menyewa bot, menguruskan ladang kelapa sawit dan getah
ataupun menjual susu dan daging lembu.


Kenyataan akhbar Setiausaha Publisiti DAP Melaka merangkap ADUN bagi kawasan
Durian Daun, Betty Chew Gek Cheng di Melaka pada 6 Oktober 2000


Keputusan Kerajaan "Menutup" Sungai Melaka Kerana Terlalu Kotor Adalah Satu
Skandal Yang Membuktikan Perbelanjaan RM9 Juta Membersihkan Sungai-sungai Di
Melaka Dalam 5 Tahun Antara 1995-2000 Tidak Berkesan Langsung
Keputusan Ketua Menteri Melaka Datuk Mohd. Ali Rustam semalam "menutup"
Sungai Melaka dengan mengharamkan bot-bot pelancung beroperasi kerana Sungai
Melaka terlalu kotor telah mendedahkan satu lagi skandal yang membazirkan
wang rakyat. Ini adalah kerana di antara tahun 1995-2000, kerajaan negeri
telah membelanjakan RM9 juta untuk membersihkan sungai-sungai di Melaka.
Saya tidak tahu macam mana sungai boleh tetap jadi kotor selepas ia sudah
dibersihkan dengan harga RM9. Ini dinyatakan dalam satu jawapan bertulis
oleh Datuk Mohd. Ali Rustam dalam mesyuarat Dewan Undangan Negeri Melaka
pada 7hb September 2000 seperti berikut:-
Jumlah wang yang diperuntukkan setiap tahun sejak 1995-2000 untuk
membersihkan sungai-sungai di Negeri Melaka adalah seperti berikut:-
Tahun Peruntukan(RM)
1995 1,380,000
1996 1,548,000
1997 1,690,000
1998 480,000
1999 360,000
2000 3,400,000
JUMLAH 8,858,000
Apakah gunanya membelanjakan wang begitu besar sehingga RM9 juta dalam masa
6 tahun untuk membersihkan sungai kalau ia tidak berkesan langsung? Tindakan
keras harus diambil ke atas kontraktor membersih sungai dan juga pegawai
kerajaan yang bertanggungjawab kerana gagal memastikan wang rakyat digunakan
dengan baik dan terus membuat bayaran wang sungguhpuh sungai tetap kotor.
Malah Ketua Menteri Melaka dalam jawapan sama juga menyatakan,
"Sepanjang tahun 1999-2000, dua projek utama telah dilaksanakan oleh
pihak Kerajaan bagi meningkatkan keupayaan hidraulik di samping mengeluarkan
sisa enapcemar yang mendap di dasar sungai. Projek yang menelan belanja
kira-kira RM1.25 juta ini telah disiapkan pada pertengahan tahun ini. Ia
melibatkan Sungai Melaka dari Kampung Morten hingga ke regulator/weir di
Batu Berendam."
Kerajaan negeri harus dikecam membayar RM1.25 juta ini sungguhpun Sungai
Melaka tetap kotor sehingga terpaksa "ditutup" sekarang. Apakah jenis
pembersihan RM1.25 juta yang telah dijalankan pada tahun ini kalau Sungai
Melaka tetap kotor selepas ia dibersihkan. Selain daripada memalukan Melaka
di kalangan pelancung yang melawat Sungai Melaka ini, ia juga merupakan satu
lagi skendal kewangan baru dan kelemahan pentadbiran kerajaan negeri di
Melaka.
Saya ingin mencabar Datuk Mohd. Ali Rustam menuntut balik wang RM1.25 juta
kerana pihak kontraktor jelas "curi ayam" bila dibayar tanpa menjalankan
kerja dengan betul. Pada masa yang sama, pegawai yang bertanggungjawab juga
harus dihukum kerana membuat bayaran RM1.2 juta secara "buta", tanpa
memeriksa bahawa Sungai Melaka masih kotor selepas 'dibersihkan'.