Kenyataan PRM
Tanah rakyat dirampas untuk Pelabuhan Tanjung Pelepas

Lebih 800 penduduk di lapan kampung di Mukim Tanjung Kupang dekat Gelang
Patah, Johor tidak puas hati dengan ganti rugi RM8000 bagi bangunan
kediaman dan perniagaan yang diambil kerajaan untuk pembangunan
Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) [lihat Berita Harian, Edisi Selatan 9
Disember 2000]

Para penduduk tidak puas hati dengan Kerajaan Negeri, Kerajaan Pusat dan
pihak pemaju PTP yang membayar pampasan yang tidak munasabah kerana
terlalu rendah. RM8000 untuk rumah, tanah tapak kediaman dan perniagaan
dianggap tidak munasabah kerana ia jauh berbeza daripada taksiran firma
penilaian. Menurut sebuah syarikat perunding hartanah yang berpangkalan
di Johor Bahru, harga tanah di kawasan berhampiran projek Pelabuhan
Tanjung Pelepas dan Laluan Kedua sekarang sudah mencecah sehingga RM10
sekaki persegi, walaupun tanah itu berstatus pertanian.[Berita Harian 2
September 2000]

Pelabuhan Tanjung Pelepas dibangunkan secara penswastaan. Pemaju projek
tersebut ialah Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Sdn Bhd. 30 peratus
ekuiti Pelabuhan Tanjung Pelepas kini telah dimiliki oleh sebuah
syarikat asing, Maersk Sealand (Maersk), sebuah syarikat perkapalan
terbesar dunia. Seluas 2,400 hektar tanah rakyat, kebanyakannya miskin
telah dirampas dengan pampasan yang rendah.

Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Johor telah mengambil tanah-tanah
rakyat itu dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486).
Seksyen 3 Akta tersebut memberi kuasa yang amat luas kepada Pihak
Berkuasa Negeri untuk mengambil mana-mana tanah rakyat. Berdasarkan Akta
tersebut, ia bermakna, lebih 800 penduduk di lapan kampung Melayu
tradisional di Mukim Tanjung Kupang tidak  boleh mencabar pengambilan
tanah mereka di mahkamah, walaupun tanah tapak rumah kediaman dan
perniagaan mereka dirampas.

Mereka sekadar boleh mempertikaikan di mahkamah tentang pampasan yang
rendah itu. Tetapi perbicaraan di mahkamah memerlukan perbelanjaan yang
besar. Sedangkan, mereka adalah penduduk kampung yang berpendapatan
rendah dan sebahagiannya telah tua. Tanah yang dirampas bagi setiap
orang itu tidak luas tetapi penting dan sangat berharga kepada mereka
kerana itu tanah tapak kediaman mereka. Dengan pampasan RM8000 dan
ditolak bayaran perkhidmatan kepada  syarikat penilai, penduduk hanya
mendapat RM7,200. Harga sebuah rumah murah pun bernilai RM25,000. Ini
bermakna wang pampasan itu tidak cukup walaupun sekadar untuk membeli
sebuah rumah murah. Jadi, beratus keluarga di Mukim Tanjung Kupang
tersingkir dari kampung halaman mereka secara amat tidak adil.

Dalam hal ini, Parti Rakyat Malaysia menyokong tindakan penduduk
terlibat membentuk Jawatankuasa Bertindak Penduduk bagi memperjuangkan
pampasan yang lebih adil. PRM menyeru Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri
Johor dan pihak pemaju  Pelabuhan Tanjung Pelepas supaya memenuhi
tuntutan yang terkandung di dalam memorendum rayuan penduduk tersebut.


Oleh Hassan Karim
Naib Presiden PRM
10 Disember 2000