PARTI SOSIALIS MALAYSIA UTUSAN TAHUN BARU 2001:

Kita sekali lagi akan merayakan satu lagi tahun baru dengan pelbagai permasalahan dan kontradiski dalam masyarakat yang masih belum terjawab. Masyarakat kita akan memasuki ke tahun baru dengan beberapa kerisauan seperti ketegangan isu perkauman, kemelesetan ekonomi dan ketidakpastian politik.

Menilai 2000 Tahun 2000 bermula dengan pembentukan kabinet baru parti pemerintah yang telah memerintah sejak kemerdekaan lagi. Kemenangan pahit manis Barisan Nasional tidak berjaya mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pemerintah. Malah dalam tahun 2000, populariti parti pemerintah semakin merosot. Dalam pilihanraya kecil Lunas baru-baru ini, nampaknya masyarakat cina yang menjadi satu kuasa penentu dalam politik tanahair telah memberi sokongan kepada pembangkang sebagai reaksi terhadap hasrat kerajaan melaksanakan sekolah wawasan, yang belum diketahui kejujuran konsep pendidikannya.

Prestasi Hak Asasi Manusia terus merosot Prestasi hak asasi manusia pada tahun 2000 terus menunjukkan kemerosotan. Pembentukan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia(SUHAKAM) walaupun memberi harapan baru nampaknya ssuruhanjaya ini tidak mempunyai taring untuk melaksanakan tugas dengan berkesan. Banyak isu-isu hak asasi manusia melibatkan mereka yang berpengaruh dan berkuasa.

Kita juga dapat melihat bagaimana pemerintah cuba mengugut SUHAKAM apabila SUHAKAM menyiasat peranan polis dalam perhimpunan aman di Taman Kebun, Klang. Sistem Kehakiman dan Polis terkongkong Kita juga dapat melihat bagaimana sisitem kehakiman negara kini menjadi bahan ketawa orang ramai manakala pihak polis juga telah kehilangan keyakinan dan kepercayaan dari rakyat jelata .

Kedua Institusi ini yang sepatutnya memperlindungi rakyat sebagai tunjang demokrasi nampaknya kecundang dan menjadi penyelamat kepada pemerintah yang semakin gelisah akan kehilangan kuasa. Hak bersuara dan meluahkan fikiran disekat Hak untuk rakyat berhimpun terus diperkosa dan undang-undang dan kuasa polis digunakan untuk menyekat kebebasan rakyat berhimpun secara aman. Tahun ini juga memperlihatkan beberapa akhbar dan majalah disekat keluarannya atau diberi amaran.

Akhbar-akhbar dan majalah-majalah kritikal dan milik parti pemerintah seperti HARAKAH, DETIK dan WASILAH sudah menjadi mangsa Kementerian Dalam Negeri. Jurang Kaya dan miskin semakin meningkat Lapuran kewangan kerajaan menunjukkan bahawa jurang antara golongan kaya dan miskin semakin meluas. Semakin kita menuju ke wawasan 2020, nampaknya semakin meluaslah jurang antara yang berada dan yang tidak berada. Isu-isu pekerja jauh dari selesai. Malaysia terus menafikan pelaksanaan Akta gaji minimum kepada para pekerjanya. Pelaksanaan satu akta gaji minimum yang sedikit sebanyak dapat memberi perlindungan minimum kepada pekerja tidak mendapat sokongan dari kaum majikan dan pemerintah.

Selain daripada itu, kita lihat bagaimana Akta Wang Simpanan Pekerja yang mengawal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP atau EPF) ) dipinda untuk membolehkan wang dikeluarkan untuk membeli komputer. Bunyinya macam baik tetapi dasar-dasar baru KWSP ini lebih memberi keuntungan kepada Syarikat-syarikat komputer manakala Skim Anuiti pula menjadi penyelamat kepada Syarikat-syarikat insuran.

Pada masa yang sama, kita dikejutkan dengan pendedahan Menteri Sumber Manusia bahawa PERKESO (SOCSO) kini tidak mempunyai wang yang secukupnya untuk membiayai tuntutan pekerja. Pemerintah yang begitu efisyen dalam membuat pindaan untuk mengeluarkan wang dari KWSP nampaknya tidak dapat menggubal sebarang undang-undang untuk menyelamatkan para pekerja yang dihentikan kerja. Tidak ada skim untuk menyelamatkan pekerja apabila Syarikat atau kilang mereka ditutup.

Satu Tabung untuk menyelamatkan pekerja yang dihentikan kerja kerana syarikat tutup telah disyorkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia(MTUC) tetapi tidak mendapat layanan kaum majikan dan pemerintah. Pekerja Ladang pula terus dikhianati apabila gaji bulanan yang sepatutnya dilaksanakan akhir tahun 2000 tidak diberikan. Kes ini telah dirujuk kepada Mahkamah Perindustrian walaupun para Tuanpunya Ladang besar-besarnya semua dimiliki kerajaan melalui saham awam PNB dan ASN. Sepanjang tahun 2000, Datuk Fong Chan Onn dan Datuk Seri S Samy Vellu menari dan menyanyi mengikut rentak suara pekerja ladang dan berjanji akan membayar gaji bulanan pada akhir tahun 2000. Kini nampaknya nyayian dan tarian mereka sudah menjadi basi.

Nampaknya tahun 2001 perlu ditingkatkan tekad kaum pekerja bahawa majikan dan pemerintah sama-sama bersekongkol untuk mengetepikan mereka. Bagi pemerintah dan majikan, pekerja hanyalah seperti hamba yang dibayar upah dan dilayan seperti budak-budak. Kontroversi dan kontradiksi Isu perkauman dan agama Tahun 2000 juga memperlihatkan bagaimana isu perkauman diungkit-ungkitkan dan masih digunakan sebagai satu senjata yang berkesan untuk memecah-belahkan rakyat.

Konsep negara majmuk adalah slogan semata-mata manakala segala percaturan politik , keputusan ekonomi dan sosial adalah berlandaskan kepada kaum dan agama. Kemanusiaan hilang dalam percaturan kaum dan agama ini dimana segala keputusan diambil berdasarkan warna kulit, bahasa pertuturan dan agama. Kedua-dua pihak -parti pemerintah mahupun pembangkang nampaknya mengeksploit isu perkauman dan agama untuk mencari populariti di kalangan masyarakat Malaysia yang sememangnya sejak lama dipecah-pecahkan berdasarkan garis perkauman dan agama. Beberapa isu seperti Al-Maunanah pada bulan Julai, pengumuman mengenai Sekolah Wawasan, tuntutan Suqiu untuk Malaysia yang lebih demokratik dan adil, telah diekspoit untuk mengungkitkan kontroversi perkauman.

Selain daripada itu, enakmen mengawal akidah agama Islam di Perlis, kontroversi Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS) dan hasrat pengubalan undang-undang murtad terus menimbulkan persoalan-persoalan dan mencabar kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan negara. Polisi ekonomi terus bermotifkan keuntungan untuk segelintir kecil Cubaan mengabungkan bank-bank, pembelian saham dari syarikat-syarikat yang rugi merupakan satu polisi untuk menguntungkan segelintir kecil kroni-kroni Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Walaupun agak reda sedikit isu kornisme dan nepotisme sejak dua tahun yang lalu, ternyata ia cuma disembunti seketika. Hanya beberapa minggu lalu, pembelian balik saham MAS dengan harga yang terlalu tinggi dengan menggunakan wang rakyat dan pengambilan balik perkhidmatan LRT dan IWK menunjukkan bagaimana segelintir golongan yang kaya terus mendapat perlindungan daripada kerajaan, yang tidak rasa tersalah menggunakan wang rakyat, yang dikutip dari hasil cukai pendapatan, cukai pintu, cukai perkhidmatan dan bermacam-macam cukai untuk "bail-out" sesetengah orang kaya yang tidak pandai berniaga.

Selain daripada itu, manipulasi isu royalti minyak Terengganu dan mengubah nama wang ehsan menunjukkan bagaimana undang-undang dan dasar dapat dipinda sekelip mata demi untuk mengawal aliran wang yang semakin sedikit. 2001 …apa yang membimbangkan

Dua isu pokok yang saling berkait nampaknya akan mengelubungi tahun 2001. Kedua isu ini ialah kestabilan ekonomi dan politik. Pakar-pakar ekonomi sudah menjangka satu kemelesetan akan melanda pada tahun 2001. Ini akan membawa kesan yang buruk kepada para pekerja dan masyarakat secara umumnya. Disebabkan ekonomi negara masih bergantung kepada sistem ekonomi dunia, maka kita terpaksa berlayar mengikut rentak. Pada masa yang sama, para pekerja masih tidak mempunyai sebarang perlindungan.

Seperti dahulu, pihak pemerintah lebih cenderung untuk menyelamatkan para kroni yang tenggelam. Keadaan ekonomi ini akan terus merumitkan keadaan politik tanahair. Kedudukan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri akan terus menjadi agenda utama parti alternatif. Pada akhir tahun 2000, kita juga nampak tanda-tanda dan suara-suara pembangkang dalam UMNO sendiri. Ini akan memperdalamkan lagi krisis politik.

Keadaan ini juga membuka tirai kepada satu pemerasan "crack-down" keatas para pembangkang demi untuk membolehkan pemerintah terus berkuasa. Segala isu seperti perkauman dan agama dapat diexploitasi untuk mengujutkan suasana ini. Harapan Parti Sosialis Malaysia Parti Sosialis Malaysia (PSM) amat berharap keseluruhan rakyat dapat berfikir secara waras dan rasional demi untuk menangani cabaran 2001.

Isu perkauman dan agama yang dipelopori oleh pelbagai pihak hanya mempunyai agenda sempit untuk menyatupadukan kaum atau agama tertentu. Rakyat mesti dapat bergabung atas satu pentas yang lebih besar dan lebih bererti. Parti Sosialis Malaysia berharap rakyat dapat mengabung berlandaskan menghormati kemanusian dan hak asasi manusia yang sejati dan hak demokrasi. Hak dan kebebasan mesti dihormati. Rakyat tidak patut dipaksa menurut atau dikongkong secara paksa mengikuti satu ideologi atau satu kepercayaan.

Akhirkata, masa depan kita tidak boleh dikongkong oleh kepercayaan mana-mana pihak baik kepercayaan perkauman yang sempit mahupun kepercayaan agama yang sempit tetapi harus berdasarkan keadilan dan kemanusianan sejati. Rakyat juga tidak boleh lagi mengalah dan mengatakan "kita tidak boleh buat apa-apa" terhadap rasuah, penyelewengan, penipuan, penindasan dan segala tindakan zalim yang berlaku di sekeliling kita. Dalam Demokrasi, rakyat menjadi penentu kepada segala-galanya.

Sekian terima Kasih Salam Perjuangan dan Selamat Tahun baru 2001

S.Arutchelvan Setiausaha Agung (TEL: 019-2409612) 31-12-2000