PRM Ucap Selamat Tahun Baru Cina

Bagi pihak Parti Rakyat Malaysia (PRM), saya dengan penuh sukacita mengucapkan kepada semua, terutama sekali kawan-kawan dari kaum Tionghua, “XIN NIAN JIN BU!” (Selamat Tahun Baru Yang Maju!) dan “XIN NIAN KUAI LE!” (Selamat Tahun Baru Yang Bahagia!).

Di negeri kita yang tercinta ini tiap-tiap perayaan, sama ada yang bercorak agama atau budaya, semakin menjadi perayaan untuk semua rakyat daripada pelbagai kaum, bukan hanya untuk satu kaum saja. Ini memang sewajarnya berlaku dalam masyarakat Malaysia yang majmuk, dan sewajarnya dialu-alukan sekiranya kita ingin melihat perpaduan dan perdamaian terus berlanjutan.

Sesuai dengan perkembangan ini, Hariraya Aidul Fitri bukan dimuliakan oleh orang Melayu saja, akan tetapi turut dirayakan oleh orang bukan Melayu. Begitu juga, Deepavali menjadi hari gembira bukan saja untuk orang India, bahkan untuk orang Melayu dan Cina. Seterusnya, Tahun Baru Cina disambut oleh orang Tionghua dan juga oleh Melayu dan India.

Bukan itu saja. perayaan-perayaan orang Iban, Kadazandusun dan lain-lain lagi semakin luas dihormati dan disertai oleh ramai orang lain, yang berbeza agama atau budaya. Buat masa ini perayaan-perayaan ini bertumpu terutama di Sabah dan Sarawak. Mungkin satu hari nanti sambutannya akan meluas pula ke seluruh Malaysia.

Kesemua perayaan ini menggalakkan semangat persaudaraan, silaturrahim dan hormat-menghormat di antara manusia. Semangat ini boleh membantu menyuburkan perpaduan di antara pelbagai kaum. Di negeri kita ini, perpaduan tidak harus menjurus hanya kepada perpaduan di kalangan satu-satu kaum saja; bahkan ia perlu meluas menjadi perpaduan di antara berbagai-bagai kaum.

Kita hendakkan perpaduan nasional yang tulen. Perpaduan ini haruslah diasaskan kepada prinsip-prinsip keadilan, demokrasi, pemerintahan yang baik dan kebajikan bagi rakyat jelata.

Mengikut kepercayaan orang Tionghua, Tahun Baru kali ini jatuh pada tahun ular (atau dalam bahasa Mandarin “se”). Ular mempunyai beberapa sifat yang tidak baik. Kita lihat bahawa sesetengah sifat yang tidak baik itu terdapat pada pemimpin serta pemerintahan yang bersifat tidak adil seta zalim, dan mengamalkan rasuah serta kronisme.

Rakyat harus sedar dan bangun menentang sifat-sifat buruk yang meluas di kalangan pemimpin serta pemerintahan negeri ini. Kita harus berusaha dengan penuh azam untuk menukar keadaan yang tidak baik kepada yang baik.

Dr Syed Husin Ali

Presiden PRM 22hb Januari 2001