PRM PAHANG BERGERAK SEMULA

PRM Pahang Bergerak Semula Oleh Wartawan Suara PRM Pada 14hb Oktober 2000, jam 8.40 malam, dalam suasana hujan renyai-renyai sedikit, Markas Parti Rakyat Negeri Pahang, telah dirasmikan. Alamatnya ialah di Lot 4824, Permatang Badak, 25150 Kuantan, Pahang. Turut dirasmikan ialah tiga buah Bahagian PRM, iaitu di Kuantan, Paya Besar, Temerloh dan Mentakab. Perasmian itu dilakukan oleh Presiden PRM, Dr Syed Husin Ali. Tepat jam 8.30 malam, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras PRM Negeri Pahang, Saudara Zulkifli Ismail (Cikgu Zul) telah mengiringi Syed Husin bersama Dr Sanusi Osman, Setiausaha Agung PRM, ke pentas untuk memulakan majlis. Syed Husin  menyampaikan ucapan ringkas, menyatakan rasa gembira dan mengucapkan tahniah  kerana PRM mulai  mengorak langkah bersejarah. Beliau menyeru agar para anggota PRM meneruskan perjuangan gigih untuk menegakkan keadilan, kebenaran, demokrasi dan kesejahteraan rakyat. Setelah beliau melakukan perasmian dengan menekan butang merah, semua lampu padam sebentar dan papan tanda Bahagian Pahang dengan lambang parti menyala terang dengan gagah serta indah. Ini diikuti pukulan kompang. Selepas itu kira-kira 50 orang anggota Pemuda PRM (lelaki dan perempuan) membaca ikrar. Antara lain mereka “berikrar akan menggembleng tenaga untuk  memperjuangkan kepentingan rakyat demi menegakkan keadilan sosial dan kebenaran demokrasi” dan seterusnya menegaskan keazaman “untuk menghancurkan penindasan, penyelewengan, rasuah dan pembaziran”.  Mereka juga “bertekad untuk bekerja keras dan sentiasa setia kepada perjuangan rakyat”. Selesai saja ikrar mereka, Syed Husin, Sanusi dan Zulkifli turun pentas untuk  bersalaman dengan barisan pemuda itu. Kira-kira 200 orang anggota parti di Pahang telah mengikuti perasmian ringkas ini. Turut hadir juga ialah Saudara Razak Ahmad, Timbalan Presiden PRM, Hassan Abdul Karim, Naib Presiden PRM, Ang Hiok Gai, Timbalan Setiausaha Agung PRM, Khor Swe Yong serta Lee Sang, anggota Jawatankuasa Pusat, Latheefa Koya, Setiausaha Angkatan Pemuda PRM Pusat dan Muhamad Ali, ahli Jawatankuasa Angkatan Pemuda PRM Pusat. Kelihatan juga pemimpin PRM dari Terengganu, seperti Mazlan Embong serta Haji Mukhtar A. Rahim, Abdullah Hamid, pemimpin PRM Kelantan dan Syed Shahir, seorang pemimpin gerakan pekerja yang berasal dari Pahang. Majlis Perasmian ini diikuti dengan jamuan makan malam. Pada jam 9.30 Majlis Ceramah bermula. Mengikut giliran, Syed Husin, Soon San Chong Timbalan Setiausaha DAP Pahang, YB Mohd Jafri Timbalan Ketua Perhubungan keADILan merangkap ADUN Chini, Sanusi Osman, Ustaz Hj Ahmad Baqi Ketua Perhubungan PAS Pahang, dan Zulkifli Ismail telah berucap. San Chong dan Ahmad Baqi menegaskan betapa pentingnya kerjasama parti-parti dalam BA bekerjasama rapat untuk menjatuhkan BN. Mohd Jafri bercakap tentang ketidakadilan serta kezaliman BN, dengan  bertumpu kepada contoh hukuman penjara panjang terhadap Anwar Ibrahim dan sekatan royalti minyak kepada kerajaan Terengganu. Zulkifli banyak bercakap tentang keadaan di Pahang, terutama sekali perpecahan dalam UMNO, perebutan kuasa di kalangan pimpinan dan rasuah. Beliau juga menerangkan tentang surat terbuka kepada MB yang menuntut beliau supaya memberikan penjelasan mengenai beberapa contoh rasuah serta penyelewengan kuasa oleh pucuk pimpinan Pahang. Surat terbuka ini diedar kepada semua hadirin semasa ceramah berjalan. Sanusi telah mengkritik kerajaan BN kerana semakin menekan parti-parti serta para pemimpin BA dan menggunakan polis serta media untuk mencekik demokrasi. Beliau menyentuh juga mengenai kenaikan harga barang-barang keperluan akibat kenaikan harga minyak. Syed Husin pula menerangkan bagaimana pucuk pimpinan BN menggunakan kuasa media, wang dan undang-undang untuk memastikan supaya ia tidak akan jatuh dalam pilihanraya akan datang.   Beliau menyeru pemimpin-pemimpin BA berusaha kuat menggembleng  tenaga BA dan tenaga rakyat terbanyak untuk mencapai perubahan politik yang akan memanfaatkan rakyat dan negara. “Dengan Izin Allah, tidak ada kuasa yang lebih kuat daripada kuasa Rakyat untuk membuat perubahan ini”, tegas beliau. Sungguhpun hujan turun sebelum dan pada permulaan ceramah, namun hampir seribu orang datang mendengar. Sepanjang majlis perasmian dan ceramah, satu pasukan polis yang datang dengan sebuah van dan tidak memakai uniform telah merakam dengan video  seluruh perjalanan majlis. Majlis tamat jam 11.30 malam, mengikut syarat yang dikenakan oleh pihak polis.