KENYATAAN MEDIA

EKONOMI NEGARA BERKEMBANG TETAPI RAKYAT TERUS TERTEKAN

Mengikut laporan Bank Negara semalam, kadar pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 2000 mencapai 8.5 peratus, iaitu satu peratus lebih tinggi daripada yang diduga. Sebelum ini, mengikut Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, dan Penasihat Ekonomi, Datuk Mustapha Mohamed, ekonomi negara semakin pulih. Soalnya pulih untuk siapa?

Apakah erti pertumbuhan kadar ekonomi ini kepada rakyat biasa, terutama yang berpendapatan kecil dan sederhana? Kita diberitahu bahawa harga kelapa sawit kini telah menjunam kepada kira-kira RM80 satu tan, daripada sekitar RM400 satu tan tiga tahun dahulu. Manakala pertukaran wang ditetapkan pada kadar RM3.8 bagi satu dolar Amerika, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pernah mendabek dada bahawa pendapatan pengeluar kelapa sawit, yang mengeksport hasil keluaran mereka, mendapat pendapatan yang tinggi, walaupun negara menghadapi krisis ekonomi. Akan tetapi sekarang ini pekebun kecil kelapa sawit, misalnya di Johor, susah hendak mencapai pendapatan lebih daripada RM200 sebulan.

Begitu juga harga getah sudah lama jatuh pada tahap yang rendah. Tidak ada tanda yang jelas bahawa harganya akan bertambah naik. Manakala harga kelapa pula jatuh begitu teruk sekali. Ada tempat di kawasan Pantai Selangor, seperti di Sabak Bernam, pekebun kelapa tidak dapat menjual kepala dengan lebih daripada lima sen sebutir. Salah satu sebabnya ialah kerana dikatakan negeri ini mengimport kira-kira dua juta butir kelapa dari Indonesia. Jadi, ramai pekebun kecil yang bergantung hidup kepada kelapa berada dalam keadaan kemiskinan yang semakin teruk. Walaupun begitu, harga kelapa muda dan kelapa parut di bandar-bandar masih melebih seringgit sebiji.

Bukan pendapatan para petani atau pekebun kecil saja yang menurun. Pendapatan buruh atau kakitangan awam (kerajaan) dan swasta juga tidak bertambah. Memandangkan harga barang keperluan harian semakin naik, pendapatan sebenar mereka semakin merosot; ertinya, dengan pendapatan yang sama mereka boleh membeli barang yang semakin sedikit. Buruh atau kakitangan ini mencarum kepada KWSP (EPF). Kita lihat bahawa dividen daripada caruman atau simpanan mereka ini semakin merosot, tahun ini kepada kurang daripada enam peratus. Tidak cukup bagi Perdana Menteri menyalahkan harga saham di pasaran yang rendah sebagai punca kejatuhan dividen yang terendah dalam tempoh 25 tahun itu. Apakah punca kemerosota harga saham? Adakah ini salah satu bukti bahawa ekonomi negara sebenarnya belum pulih?

Masalahnya, bukan harga barang saja yang meningkat, bahkan banyak pula bayaran untuk khidmat atau barang lain juga semakin naik. Baru-baru ini Lembaga Air Selangor, dengan restu kerajaan negeri, telah menaikkan kadar bayaran air sebanyak 30 hingga 70 peratus. Pada hal khidmat bekalan air dan mutu air yang dibekal semakin buruk. Menteri Besar Selangor mencadangkan supaya bayaran air dikenakan sebulan bukan dua bulan sekali seperti sekarang, kononnya untuk mengurangkan beban kepada rakyat. Lojik apakah ini? Sama ada bayaran dikenakan sebulan ataupun seminggu sekali, beban kenaikan itu tetap akan dirasakan oleh rakyat biasa.

Selain itu, ada pula cadangan sekarang ini untuk menaikkan harga ubatan dengan sebanyak lebih kurang 10 peratus. Persatuan Insuran Malaysia pula telah mengemukakan cadangan untuk menaikkan bayaran insuran kereta sebanyak hingga 300 peratus. Memang benar, seperti yang ditegaskan oleh persatuan ini, bahawa kenaikan insuran ini baru dicadangkan saja kepada kerajaan dan belum berkuatkuasa lagi. Namun begitu kami percaya, sudah tentu akhirnya kerajaan akan memberi alasan untuk bersetuju dengan kenaikan ini, walaupun mungkin dengan kadar yang lebih rendah sedikit.

Dengan segala yang berlaku ini, rakyat boleh lupakanlah omong-omong kosong kerajaan dulu untuk memastikan Inflasi Sifar. Segala yang berlaku sekarang ini pasti akan menaikkan lagi kadar inflasi. Bahkan selama setahun kebelakangan kadar inflasi secara keseluruhan memang telah melampaui empat peratus. Sekiranya kita tumpukan kepada kenaikan harga barang keperluan, terutama yang melibatkan makanan, tentulah kadar inflasi ini lebih tinggi lagi. Akan tetapi pendapatan petani/pekebun kecil di kampung dan pekerja buruh serta golongan menengah di bandar tidak naik dengan selaras. Ertinya, hidup rakyat biasa semakin tertekan. Siapa kata ekonomi sudah pulih bagi mereka? Ekonomi telah pulih hanya bagi kroni atau kerabat pucuk pimpinan kerajaan saja.

Harta kekayaan serta khazanah negara sekarang ini banyak digunakan untuk membantu projek-projek kroni serta kerabat pemimpin negara, bukan untuk meningkatkan kedudukan ekonomi rakyat yang miskin, yang berpendapatan rendah ataupun yang berpendapatan sederhana. Wang PETRONAS dirompak untuk tujuan ini. Wang simpanan/keuntungan PETRONAS selama ini, yang sepatutnya berjumlah RM300 bilion kini tinggal kira-kira RM50 bilion saja. Ke manakah perginya yang RM250 bilion itu? Ke mana lespnya?

Kita mengetahui sebahagian daripadanya telah digunakan untuk projek-projek seperti KLIA, KLCC dan Putrajaya. Ada pula bahagian yang digunakan untuk menyelamatkan tokoh-tokoh korporat dan syarikat-syarikat kroni juga. Antara mereka Tan Sri Tajuddin Ramli (MAS), Tan Seri Halim Saad (RENONG) dan Mirzan Mahahathir (Perkapalan). Jikalau dibandingkan jumlah wang PETRONAS yang digunakan untuk pemulihan ekonomi petani dan buruh, misalnya, jumlahnya jauh lebih kecil.

Jikalau kita hendak memahami betapa besarnya jumlah RM250 bilion (atau RM250,000,000,000) yang telah lesap itu, cuba kita bahagikan jumlah ini dengan bilangan penduduk seramai 22,000,000 di negeri ini. Jawabnya ialah kira-kira RM11,400 bagi tiap-tiap seorang penduduk. Kita bukan menuntut supaya wang PETRONAS itu dibagi-bagikan kepada setiap orang di negeri ini. Kita hanya menuntut supaya, jikalaulah wang PETRONAS ini hendak dibelanjakan, lebih baik ia dibelanjakan untuk mendirikan lebih banyak rumah, sekolah dan hospital bagi membantu golongan miskin atau berpendapatan rendah di negeri ini, dan juga untuk menghapuskan tol lebuhraya. Perbelanjaan seperti ini lebih ekonomik daripada membazirkan wang ke atas projek-projek mega yang membazir ataupun menyelamatkan tokoh-tokoh atau syarikat-syarikat kroni yang sedang nazak.

Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM

1hb Mac 2001